TRANSFORMASI ODEON KL : LEGASI 1936 DIBANGKITKAN SEMULA UNTUK GENERASI MODEN

ODEON KL KEMBALI MEGAH SEBAGAI HAB SENI, MUZIK & BUDAYA IBU KOTA

  ODEON KL, salah satu panggung wayang paling ikonik sejak 1936, kini melalui era kebangkitan baharu apabila menjalani proses transformasi menyeluruh untuk kembali berfungsi sebagai pusat seni persembahan berkelas profesional di tengah-tengah ibu kota.

Terletak di atas tanah milik UDA Holdings Berhad, projek berprestij ini diuruskan sepenuhnya oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, diterajui Pengarah Urusan, Mozylir Mokhtaruddin. Dengan lokasi strategik di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya beberapa minit dari Stesen LRT Bandaraya dan Stesen Monorel Medan Tuanku, Odeon KL kembali terletak di tengah denyut nadi kehidupan metropolis.

Dikelilingi pusat komersial ternama seperti Kompleks Pertama, SOGO dan Kompleks Campbell, Odeon KL muncul semula sebagai destinasi ideal untuk komuniti seni, pelancong dan pencinta budaya.


Transformasi Menyeluruh Bernilai RM6 Juta

Selaras visi menjadikan Odeon KL sebagai pusat acara bertaraf profesional, Rockstation menggariskan pelan pembangunan 10 tahun yang menumpukan kepada pemuliharaan warisan serta penaiktarafan fasiliti moden. Pelaburan RM6 juta meliputi:

  • Sistem bunyi, akustik dan teknikal setaraf industri global

  • Bilik persalinan artis yang lebih moden dan selesa

  • Ruang logistik khusus untuk produksi acara

  • Kemudahan parkir yang ditambah baik

  • Laman Odeon sebagai ruang niaga & aktiviti komuniti

  • Kemudahan surau bagi keselesaan pengunjung

Projek penaiktarafan dijalankan secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026. Transformasi ini bukan sahaja menghidupkan semula warisan lama, malah membuka peluang baharu kepada usahawan, memperkukuh ekosistem seni serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.


Destinasi Seni Utama Tahun Melawat Malaysia 2026

Seiring usaha memperkaya pengalaman budaya negara, Rockstation kini menilai penganjuran pelbagai program seni, muzik, festival dan acara kebudayaan bagi menjadikan Odeon KL antara pusat tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dengan hampir satu abad sejarahnya, gabungan elemen warisan dan pembangunan moden menjadikan Odeon KL simbol kebangkitan semula budaya bandar yang lebih progresif, inklusif dan hidup.


BARBARIK PILIHAN PEMBUKA TIRAI ODEON KL

Kumpulan rock legenda Barbarik—dianggotai Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol—dipilih sebagai artis pertama menggegarkan pentas Odeon KL selepas penaiktarafan besar-besaran ini. Konsert eksklusif “Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL” akan berlangsung pada 12 Disember 2025, dianjurkan bersama Odeon KL dan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd.

Pemilihan Barbarik dibuat berdasarkan reputasi mereka dalam arena rock tanah air serta kemampuan muzik mereka menguji “keupayaan sebenar” sistem bunyi dan akustik baharu Odeon KL. Kejayaan siri konsert Peluru Cokelat serta sokongan kuat komuniti Rejim Barbarik turut mengukuhkan keputusan tersebut.

Pengarah Urusan Rockstation, Mozylir Mokhtaruddin, berkata:
“Aksi bertenaga Barbarik di Zepp KL sebelum ini membuktikan mereka adalah pilihan tepat untuk membuka tirai baharu Odeon KL. Melihat sambutan luar biasa sehingga tiket habis terjual, kami optimis untuk meneruskan kerjasama pada masa hadapan.”

Semua tiket konsert pembukaan telah habis dijual, dan seramai 2,500 peminat dijangka memenuhi Odeon KL pada malam bersejarah tersebut.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *