Nostalgia & Nasihat Cinta Dalam Satu Lagu
Siti Nordiana Persembahkan “AHAI” – Irama Malaysia Moden Sarat Jiwa dan Nilai
PENYANYI tersohor dan serba boleh, Siti Nordiana, atau mesra disapa Nana, kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Ahai, sebuah karya yang menggabungkan nostalgia Irama Malaysia dengan sentuhan moden yang segar dan berjiwa rakyat.
Diterbitkan di bawah 1711 Music, lagu ciptaan duo komposer prolifik Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh ini merupakan hasil impian dua tahun Nana untuk mengangkat semula keindahan dan kemerduan muzik warisan ke dalam arus kontemporari.
“Sudah lama sebenarnya saya berniat nak keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam genre ini dan teringin nak hidupkan semula momen itu. Selepas dua tahun berfikir dan merancang, akhirnya hasrat itu menjadi kenyataan apabila saya kongsikan idea ini dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” ujar Nana.
Mengambil masa beberapa bulan perancangan dan sesi rakaman, Ahai menampilkan kolaborasi serasi antara ketiga-tiga nama besar tersebut, menghasilkan karya yang bukan sahaja segar dari segi melodi, tetapi juga menyentuh emosi melalui susunan muzik yang halus dan autentik.
“Saya sangat berpuas hati dengan hasilnya. Ahai benar-benar jiwa saya — ada kompang, gendang, elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar, tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun kami olah bersama supaya kekal lembut tapi bertenaga,” katanya.
Menurut Nana, Ahai bukan sekadar lagu hiburan, tetapi juga usaha kecil untuk memartabatkan semula Irama Malaysia agar terus dekat di hati generasi muda.
“Saya membesar dengan lagu-lagu Irama Malaysia, malah pernah menghasilkan album genre ini, Firuz pada 2003. Ramai peminat juga minta saya bawakan semula lagu-lagu begini di pentas, jadi saya rasa inilah waktu yang tepat untuk memperkenalkannya semula dengan pendekatan lebih moden,” jelasnya.
Dari aspek konsep dan melodinya, Ahai menonjol dengan bunyi gendang, kompang dan struktur rentak asli, menjadikan lagu ini unik namun tetap mudah diterima khalayak hari ini.
Lagu ini juga membawa mesej yang mendalam — nasihat penuh kasih sayang kepada pasangan suami isteri tentang kejujuran, tanggungjawab dan kesetiaan dalam perhubungan.
“Liriknya sangat indah dan bermakna. Ia mengingatkan kita supaya menjaga niat perkahwinan, berbuat baik kepada pasangan, dan jangan aniaya orang yang kita sayang. Setiap perbuatan ada balasannya. Ahai boleh jadi panduan hidup — bukan sekadar hiburan,” kata Nana.
Rakaman Ahai turut memberi cabaran baharu buat beliau, khususnya dalam menyampaikan karakter vokal yang seimbang antara kelembutan, ketegasan dan gurauan — sesuai dengan lirik yang berunsur nasihat namun bersifat santai.
“Rentaknya laju, jadi saya kena kawal tenaga dan emosi agar tetap berjiwa,” tambahnya lagi.
Bersempena pelancaran ini, video muzik rasmi Ahai turut dilancarkan pada 7 November jam 9 malam di saluran YouTube 1711 Music, menampilkan Siti Nordiana FC sebagai artis undangan istimewa — memberi sentuhan peribadi dan kemesraan tersendiri kepada karya ini.
Lagu Ahai kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital mulai 7 November 2025, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Seventeen Eleven Music di pautan berikut:
🔗 https://youtu.be/jXNGC3N6eHk?si=O9EVoI3638skcGpI





