KEPIMPINAN BERPRINSIP, SUARA GLOBAL – ANWAR IBRAHIM ANTARA 10 TOKOH MUSLIM PALING BERPENGARUH DUNIA


PM Anwar Ibrahim Diiktiraf Antara 10 Tokoh Muslim Paling Berpengaruh Dunia 2026

Pengiktirafan Antarabangsa Kukuhkan Kedudukan Malaysia di Peta Kepimpinan Global

 PERDANA Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mengukuhkan reputasinya di pentas dunia apabila diiktiraf sebagai tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh di dunia dalam penerbitan edisi 2026 The World’s 500 Most Influential Muslims, diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (Royal Islamic Strategic Studies Centre, RISSC) yang berpusat di Amman, Jordan.

Kenaikan Anwar daripada kedudukan ke-15 pada tahun sebelumnya mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan berprinsip, visi reformis dan sumbangan diplomatiknya dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai suara berpengaruh dunia Islam di arena global.

Dalam senarai berprestij itu, Anwar tersenarai sebaris dengan pemimpin berprofil tinggi termasuk Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani (tempat pertama), Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan), dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (ke-15).

RISSC turut menempatkan Anwar di tangga ketujuh dalam kategori Pemimpin dan Ahli Politik Islam Paling Berpengaruh Dunia, naik dua anak tangga daripada tahun lalu — mendahului beberapa pemimpin utama dunia Islam termasuk Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Penilaian tahunan yang dijalankan oleh RISSC menilai tahap pengaruh tokoh Muslim berdasarkan keupayaan membawa perubahan ketara kepada dunia Islam dan masyarakat global – sama ada dari segi politik, budaya, ideologi, kewangan mahupun sosial.

Dalam ringkasan profilnya, penerbitan tersebut menyorot peranan aktif Perdana Menteri dalam mendamaikan ketegangan serantau serta ketegasan beliau dalam mempertahankan hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa.

“Anwar memainkan peranan penting dalam membina semula kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh selepas insiden pertempuran sempadan, memperkukuh imej Malaysia sebagai pengantara keamanan konstruktif di Asia Tenggara. Beliau juga lantang membela perjuangan rakyat Palestin menentang penindasan Israel,” menurut laporan itu.

Penerbitan tersebut turut menyebut bagaimana pendirian tegas Anwar terhadap dasar media sosial antarabangsa yang dilihat berat sebelah terhadap isu Palestin menonjolkan suara moral Malaysia di peringkat global.

Pengiktirafan ini sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai negara Islam sederhana berpengaruh, yang mendukung keadilan sejagat dan memperjuangkan keamanan sejagat berlandaskan nilai kemanusiaan sejagat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *