ITC DAN BUMITRA PERKUKUH JALINAN STRATEGIK DENGAN CHINA
Budaya dan Perdagangan Bergabung Menyokong VM2026
PROGRAM “Huanying Lai Malaysia! Discovery Familiarisation Trip” yang dijalin secara strategik antara Islamic Tourism Centre (ITC) dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) melabuhkan tirainya dengan penuh bergaya menerusi Majlis Penghargaan dan Jaringan Perniagaan di Hotel Seri Pacific malam ini.
Program selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Oktober 2025 itu menghimpunkan 76 peserta utama dari China merangkumi pengusaha pelancongan, ejen pelancongan, pemimpin komuniti dan pempengaruh media sosial dari 13 wilayah. Ia memberi peluang kepada peserta menyelami keunikan produk pelancongan budaya dan alam semula jadi Malaysia, sambil menonjolkan kehangatan hospitaliti serta perkhidmatan mesra inklusif yang sinonim dengan negara ini.
Inisiatif strategik ini menjadi sebahagian usaha berterusan Malaysia menarik kemasukan pelancong dari China, di samping memperluas peluang ekonomi untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta komuniti tempatan – selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan inklusif dan kesejahteraan bersama.
Sokongan Padu Kementerian
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, yang hadir menyempurnakan majlis, menzahirkan penghargaan terhadap komitmen ITC dan BUMITRA dalam memperkukuh pasaran pelancongan China menerusi pengalaman imersif yang bermakna.
Beliau berkata,
“Inisiatif ini mencerminkan hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin lebih 50 tahun. Dengan pasaran pelancong China menjadi rebutan destinasi terkenal dunia, usaha ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala tetapi juga membina keyakinan pelancong serta mempererat hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.”
Tambah beliau,
“Melalui pengalaman langsung di Malaysia, para peserta kini mampu berkongsi pandangan autentik mengenai tarikan negara ini kepada masyarakat China, sekali gus menyokong matlamat Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi mesra serta selamat untuk semua.”
Malaysia – Penanda Aras Global Pelancongan Mesra Muslim
Pemangku Ketua Pengarah ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin, berkata program ini memanfaatkan kedudukan kukuh Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka dunia.
Tahun ini, Malaysia sekali lagi dinobatkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik (OIC) oleh Global Muslim Travel Index (GMTI) 2025 Mastercard-CrescentRating – buat tahun ke-10 berturut-turut.
“Malaysia menawarkan pengalaman autentik yang menggabungkan budaya, warisan dan hospitaliti berteraskan sensitiviti budaya. Melalui program seperti Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) dan Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG), kami memastikan kualiti dan inklusiviti pelancongan berada pada tahap tertinggi,” jelas Nur Alyssa Coraline.
Beliau turut menggesa agar BUMITRA MALAYSIA terus mengekalkan hubungan erat dengan peserta program bagi memastikan kesinambungan strategik ke arah merealisasikan sasaran 47 juta pelancong antarabangsa menjelang VM2026.
Kuasa Lembut Malaysia di Pentas Dunia
Nur Alyssa Coraline menegaskan bahawa kejayaan berterusan dalam sektor pelancongan mesra Muslim menjadi bukti kuasa lembut (soft power) Malaysia di peringkat global.
“Kepimpinan Malaysia dalam sektor ini bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancongan, malah memberi isyarat keyakinan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk membangunkan infrastruktur serta produk pelancongan berteraskan budaya dan nilai tempatan,” katanya.
Beliau turut menyeru lebih ramai pemain industri bekerjasama dengan ITC, mengambil inspirasi daripada kejayaan kolaborasi dengan BUMITRA MALAYSIA, MICA, dan MATTA yang telah membuktikan keberkesanan usaha bersama ini.
Manfaat Ekonomi dan Impak Industri
Presiden BUMITRA MALAYSIA, Dr. Wan Muhamad Adam Norudin, pula berkata, penyusunan program ini memberi tumpuan kepada penyampaian pengalaman autentik Malaysia yang relevan dengan kehendak pelancong China.
“Setiap aktiviti direka agar peserta berinteraksi langsung dengan pengusaha tempatan, penggiat warisan serta penyedia perkhidmatan pelancongan. Fokus kepada rantaian PKS – dari restoran tempatan hingga tapak warisan – memastikan minat pelancong diterjemah terus kepada pulangan ekonomi sebenar,” katanya.
Menurut beliau, program seperti ini mencetus “reaksi berantai positif” dalam ekosistem pelancongan negara dengan memupuk keyakinan pelabur dan meningkatkan hasil ekonomi tempatan.
Perjalanan Budaya dan Warisan
Sepanjang program, peserta menjelajah ke destinasi terpilih di Kedah, Perak, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk:
-
Masjid Putra, Putrajaya
-
Sekinchan, Selangor
-
Kompleks Kraf Kuala Lumpur
-
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
-
Kampung Budaya Bagan Datuk, Perak
-
Gunung Jerai dan Muzium Padi, Kedah
-
Masjid Zahir dan Menara Alor Setar
-
Pekan Rabu, Alor Setar
Pertumbuhan Kolaboratif dan Sasaran VM2026
Program ini merupakan siri ketiga di bawah seliaan ITC dan pertama dikendalikan oleh BUMITRA MALAYSIA, hasil kerjasama strategik antara ITC, MATTA, MICA, dan BUMITRA MALAYSIA yang dimeterai awal tahun ini.
Dua program perintis sebelumnya yang dijalankan pada Januari 2024 dan Februari 2025 telah menjana anggaran pulangan melebihi RM100 juta, memberi manfaat besar kepada sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, serta pelbagai cabang industri pelancongan.
Menutup 2025, ITC merancang untuk melaksanakan satu lagi siri familiarisasi, kali ini memfokuskan pasaran Eropah – sebagai langkah penting ke arah merealisasikan kejayaan Visit Malaysia 2026.





