ANDI BERNADEE PERSEMBAHKAN SINGLE TERBAHARU
SIAPAKAH NAMAMU – NAFAS BAHARU DALAM LANSKAP MUZIK POP ROMANTIS
Penyanyi dan komposer berbakat besar, Andi Bernadee, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul Siapakah Namamu, sebuah karya yang mengangkat keindahan pertemuan cinta yang hadir tanpa diduga.
Single ini lahir daripada kolaborasi mantap antara Andi, Kuizz selaku penerbit dan penyusun muzik, serta The T yang menjadi pencetus melodi asal. Perpaduan tenaga kreatif ini menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja segar, malah mampu menawan hati pendengar dengan melodinya yang memikat.
Menurut Andi, Siapakah Namamu membawa pendengar menyelami pengalaman indah pada detik pertama jatuh cinta – momen di mana hati terpaut pada pandangan pertama, lalu lahir rasa ingin mengenali insan istimewa yang mempesona.
“Lagu ini menceritakan tentang penantian cinta yang akhirnya hadir tepat di depan mata. Saat itu, wajahnya begitu ayu, cantik dan memikat, membuatkan hati terdorong untuk mengenalinya lebih dekat,” ujar Andi.
Sebagai seorang artis yang sentiasa mementingkan sentuhan peribadi, Andi – atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile – turut menyumbangkan idea dalam penulisan lirik. Hal ini memberi warna eksklusif kepada karya ini, sekaligus menjadikannya lebih dekat dengan jiwa penyanyi kelahiran Kota Kinabalu tersebut.
Walaupun proses rakaman berjalan lancar, Andi mengakui bahawa lagu ini menuntut kepakaran vokal yang tinggi.
“Melodinya kedengaran mudah, tetapi sebenarnya penuh cabaran kerana memerlukan kawalan vokal yang rapi pada bahagian turun naik nada. Keunikan inilah yang memberi kekuatan kepada lagu ini,” jelasnya lagi.
Andi turut menzahirkan penghargaan terhadap rakan kolaborasi yang telah memberi komitmen penuh sepanjang penghasilan lagu ini.
“Saya amat menghargai dedikasi Kuizz dan The T. Mereka adalah tulang belakang di sebalik Siapakah Namamu. Tanpa mereka, karya ini mungkin tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya penuh penghargaan.
Lebih menarik, Andi berharap lagu ini mampu menjadi iringan istimewa buat mereka yang sedang merasai indahnya cinta baru.
“Anda tidak perlu terlalu mendalami makna liriknya. Putarkan sahaja lagu ini ketika sedang dilamun cinta, dan anda akan segera mengerti perasaannya,” tambah Andi dengan senyuman.
Siapakah Namamu kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama bermula 15 Ogos 2025, manakala muzik video rasmi akan dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.





