ASTRA, Bateri Pilihan Mekanik Kini Disahkan SIRIM – Bateriku Perkukuh Keyakinan Pengguna dengan Peluncuran Makmal Kualiti Bateriku
Bateriku (M) Sdn. Bhd. (“Bateriku”), penyedia perkhidmatan Connected Roadside Assistance nombor satu di Malaysia, melakar pencapaian baharu dengan pelancaran rasmi bateri automotif ASTRA yang telah menerima pengiktirafan penuh persijilan SIRIM bagi kesemua 28 SKU produknya.
Dalam majlis yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bateriku turut memperkenalkan Makmal Kualiti Bateriku – fasiliti ujian dalaman berteknologi tinggi bagi memastikan setiap bateri ASTRA melalui penilaian menyeluruh dari segi prestasi, ketahanan dan keselamatan.
Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, ASTRA telah mencatatkan lebih daripada 1 juta unit terjual, disokong oleh ekosistem Bateriku yang mantap merangkumi 225 pitstop fizikal di seluruh negara dan lebih daripada 1,500 juruteknik gig bergerak yang dilatih melalui Akademi Bateriku.
Persijilan IEC 60095 yang diperoleh ASTRA menepati piawaian antarabangsa dari segi keselamatan dan kualiti, menjadikan ASTRA satu-satunya jenama bateri automotif di Malaysia yang menerima pengiktirafan SIRIM untuk semua kategori produknya – Bateri MF, Bateri EFB dan Bateri AGM.
Menariknya, setiap pembelian bateri ASTRA disertakan dengan Perlindungan Kumpulan Insurans Takaful Kemalangan Diri (GPA) sehingga RM7,000 secara percuma – satu inisiatif pertama dalam industri bateri tempatan. Pengguna juga dilindungi oleh perkhidmatan Nationwide Warranty Assist, yang membolehkan bantuan diberikan di mana sahaja di Malaysia, tanpa mengira lokasi pembelian asal.
Menurut Tuan Haji Azarol Faizi Bin Zakaria Ansari, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku:
“ASTRA bukan sekadar bateri – ia adalah simbol komitmen terhadap kualiti, ketelusan dan sokongan selepas jualan. Dengan pengiktirafan SIRIM, perlindungan takaful percuma dan waranti nasional, kami memastikan pengguna mendapat ketenangan fikiran di setiap perjalanan.”
“ASTRA menjadi pilihan mekanik kerana ia menghapuskan beban tuntutan waranti di pihak mereka. Pelanggan boleh terus mendapatkan bantuan di mana-mana Pitstop Bateriku atau menghubungi talian hotline 24 jam kami – segalanya akan diuruskan secara profesional oleh Bateriku,” tambah beliau.
YBhg. Datuk Hanafi Sakri turut mengiktiraf sumbangan Bateriku dalam membina jenama tempatan berdaya saing global, dengan ekosistem dinamik yang melibatkan juruteknik gig (BHero), usahawan (BPreneur), serta rangkaian bengkel dan trak tunda (BBuddy). Beliau juga memuji inisiatif kelestarian alam Bateriku melalui Briged Hijau, yang menguruskan pelupusan bateri lusuh dan sisa elektronik secara berhemah.
Dengan pelancaran Makmal Kualiti Bateriku di bawah Makmal Hijau Sdn. Bhd., Bateriku kini melangkah lebih jauh dalam memperkukuh kualiti, inovasi dan kepercayaan pengguna terhadap jenama ASTRA – bateri yang benar-benar dicipta untuk ketahanan, keselamatan dan ketenangan di jalan raya.
Mengenai Bateriku
Bateriku (M) Sdn. Bhd. ialah penyedia perkhidmatan bantuan tepi jalan (Connected Roadside Assistance) yang beroperasi di seluruh Malaysia. Sejak penubuhannya, Bateriku telah membina ekosistem perkhidmatan automotif bersepadu yang merangkumi pitstop fizikal, juruteknik gig, usahawan bengkel dan rakan strategik industri, dengan misi untuk memberikan pengalaman bantuan automotif yang pantas, selamat dan telus.





