Empat Remaja Malaysia Wakili Negara ke Kejohanan Memanah Dunia di Hungary
Empat pemanah remaja negara telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke World Historical Archery Championships 2025 yang akan berlangsung di Gyula, Hungary dari 20 hingga 26 Ogos ini.
Atlet muda yang bakal membawa nama negara di pentas dunia itu ialah Muhammad Adam Mukhriz Saipulanuar (Lelaki Cilik bawah 14 tahun), Muhammad Hifzhuddin Zaidi (Lelaki Junior 15–20 tahun), Aira Imani Muhammad Zulfadhli (Wanita Cilik bawah 14 tahun), dan Dahlia Asira Abdullah (Wanita Junior 15–20 tahun). Pemilihan mereka dibuat berdasarkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa yang berlangsung baru-baru ini di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.
Kejohanan itu menghimpunkan lebih 300 pemanah dari Malaysia dan 10 negara ASEAN termasuk Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Hong Kong, India dan Jordan, yang bertanding sambil memperagakan pakaian tradisional masing-masing, menjadikannya platform unik penyatuan sukan dan budaya serantau.
Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur (PMTKL), Mohd Fadli Adha Mohamad Rashid menyifatkan kejohanan ini sebagai lebih daripada sekadar pertandingan sukan.
“Kejohanan ini menjadi wadah menyatukan warisan, pelancongan dan pembangunan belia. Ia bukan sahaja tentang kemahiran memanah, tetapi juga usaha melestarikan identiti dan tradisi budaya ASEAN secara kolektif,” ujar beliau.
Malaysia turut diumumkan sebagai Pengerusi Memanah Bersejarah ASEAN 2025 sempena penganjuran tahun ASEAN oleh negara, dan akan mengetuai pasukan gabungan ASEAN ke kejohanan dunia di Hungary. Sebagai langkah memperkukuh struktur sukan warisan ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani untuk menerbitkan buku undang-undang rasmi pertandingan HDH-IAA dalam Bahasa Malaysia. Usaha sama serantau juga akan dijalankan untuk menterjemah buku tersebut ke dalam Bahasa Indonesia, Tagalog, Hindi dan Mandarin.
Lebih membanggakan, Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Memanah Bersejarah ASEAN HDH 2026, yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami berhasrat menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan tetap yang bukan sahaja meraikan sukan memanah warisan, tetapi turut memacu pelancongan sukan serantau. Ini merupakan peluang besar untuk Malaysia memperkenalkan kekayaan budayanya kepada dunia,” jelas Mohd Fadli lagi.
Kejohanan baru-baru ini turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hadir menyampaikan geran padanan sukan bernilai RM100,000, manakala hari pertama diserikan dengan kehadiran Duta Besar Hungary ke Malaysia, T.Y.T. Dr Petra Ponevacs-Pana.
Dengan penyertaan pemanah muda yang berbakat dan sokongan pelbagai pihak, Malaysia dilihat semakin ke hadapan dalam memperkukuhkan peranan sebagai peneraju sukan memanah warisan di peringkat serantau dan global.





