BAB 11 – LELAKI DI SEBALIK PELANGI

 
Bab 11
 
 Kau tak dengar tadi. Dia mulakan perubatannya dengan Bismillah. Selawat bagai. Tang mana syiriknya?
 
“BRIAN pakai pelaris?”
“Pelaris?”
“Ilmu pemikat.”
“Aku tak percaya semua tu.”
“Apa yang Brian percaya?”
“Aku sedar aku jahil bab agama ni. Tapi kalau bab nak memikat lelaki menggunakan ilmu pemikat ni bukan cara aku. Aku lebih percaya pada cara semula jadi. Cara kita membawa diri. Penampilan kita. Itu rasa lebih berkesan,” tingkah Brian tentang pendiriannya. 
“Tapi ramai yang guna pelaris untuk memikat hati pasangannya. Sanggup berbomoh dengan sesiapa juga. Daripada bomoh siam, bomoh orang asli, bomoh seberang, mana yang difikirkan mujarab mereka akan sanggup pergi berjumpa. Pengeras tu jangan cakap lah,”
“Bukan golongan kami saja yang buat semua tu. Mereka yang normal pun ramai. Bersolat lima waktu pun ramai yang percaya pada ilmu-ilmu pelaris penunduk ni,” jelas Brian seolahnya mahu aku jangan menunding jari pada orang sepertinya sahaja. Mengamalkan ilmu hitam adalah pilihan mereka yang tidak yakin dengan diri sendiri. Tidak percaya bahawa jodoh pertemuan, rezeki dan ajal maut itu datang dari ALLAH.
“Kiranya pengalaman mengikut Bada berbomoh itu meninggalkan kesan yang teruk dalam diri Brian lah?”
 
Dia angguk. Itulah perasaannya. Dia kesal atas tindakan Bada itu. Seboleh mungkin kalau Bada berterus terang pada awalnya, dia akan menentang dan menghalang. Dia tidak mahu Bada tergolong dalam golongan yang lebih mempercayai kuasa ghaib berbanding kelebihan diri sendiri. 
 
 
                           ***
 
 
SEPANJANG perjalanan pulang, aku mendiamkan diri. Keinginan untuk berbual seakan mati. Ditambah dengan rasa mengantuk, aku membiarkan Bada memandu sendirian. Aku cuba memejamkan mata. Pura-pura tidur. Tetapi pada hakikat sebenarnya fikiran ligat berfikir. Keinginan untuk lena tiada. Hanya mata yang dipejamkan. 
 
Sama ada Bada menyedari atau tidak perubahan sikap dingin aku itu, aku tidak peduli lagi. Ini bukan soal tujuannya melakukan apa yang dihajati, tetapi apabila dia tidak berterus terang tujuan sebenar, itu yang mengecewakan aku.
Andai dia memberitahu tujuannya berjumpa pakcik Din itu, aku tidak akan menghalang. Aku akan tetap menemaninya. Itu yang sebaiknya daripada membiarkan dia pergi sendiri. Andai terjadi sesuatu yang tidak disangka, sekurangnya aku ada bersama. 
 
Dibohongi oleh orang yang kita percaya adalah sesuatu yang memeritkan. Pedihnya begitu menikam perasaan. Tiada perkataan yang selayaknya untuk dijelaskan betapa aku benar-benar kecewa dengan tindakan kurang waras Bada itu. Hanya kerana lelaki dia sanggup berbuat apa saja. Hanya kerana tidak mahu kehilangan Johari, Bada berani melakukan sesuatu yang aku kurang setuju.
Bagaimana sayang pun kita kepada seseorang, ia bukan alasan untuk mempertaruhkan harga diri dan prinsip hidup. Dia patut sedar, pasangan yang normal pun ada masalah. Berpisah juga sekiranya tiada jalan penyelesaian. Inikan pula hubungan yang tidak sempurna antara dia dan Johari. Hubungan yang berlandaskan hawa nafsu dan pertaruhan wang ringgit. Lalu apakah kerana tidak mahu kehilangan dia sanggup melakukan apa saja. Apakah ada jaminan, apa yang dibuatnya itu akan membuahkan kesan yang diharapkan?
 
Apakah Johari akan terus terikat dengannya. Apakah juga Johari akan tetap setia selamanya. Dan satu persoalan lain, bagaimana dengan naluri Bada yang tidak pernah puas dengan seorang lelaki. Sanggupkah dia menghabiskan masa dan kehidupannya hanya kerana Johari?
 
Inilah persoalan yang membuatkan kepala aku berasa berat dan sakit sekali. Ikutkan bukan masalah aku yang perlu memikirkan keterlaluan begitu. Namun apabila melibatkan aku, sama ada suka atau tidak, aku perlu ambil tahu. Andai di luar pengetahuan aku, tidak mengapalah. 
 
Mata kepala aku sendiri melihat upacara Bada mandi bunga dan diasap kemenyan di tengah malam tepat jam dua belas. Mandi di bawah jambatan usang dengan  bertelanjang bulat. Bayangkan sendiri bagaimana perasaan aku melihat kawan baik aku serakus itu. Tidakkah dia sedar tindakannya itu amatlah keterlaluan dan memalukan? 
Usah bercakap soal akidah. Memang bertanya pada sesiapa pun, ia bukan satu pujian. Walaupun kesungguhan itu sesuatu yang terpuji, tetapi pujian yang silap pada tempatnya.  Tiada pujian yang patut diberikan jika tujuannya berlandaskan sihir dan ilmu mistik. Bergantung kepada sesuatu yang kita sedia maklum akan akibat yang bakal mendatang. 
 
“Aku tau kau terkejut dengan tindakan aku itu. Tapi percayalah aku lakukan semua itu bersebab,” Bada bersuara setelah kesepian merajai suasana. Perjalanan malam yang sepi dan suram itu seolah begitu lambat untuk sampai ke kediamanku. Seolahnya ada ‘sesuatu’ yang menumpang sama. 
Aku tidak menjawab. Hanya mendengar Bada bercakap sendiri. Kalau aku membalas pun semua sudah terjadi. Lebih malangnya lagi, dia perlu datang lagi pada malam jumaat akan datang. Mendengar janji dan kesungguhan Bada untuk terus menyediakan kelengkapan untuk rawatan seterusnya, aku menarik nafas panjang. Dia sanggup. Janji pak Din yang bongkok tiga itu, dengan wajah yang kusam dan mata yang cengkung, diterima dengan senyum penuh harapan. Seolahnya apa yang dilakukannya itu akan membuahkan hasil yang diinginkan. Johari akan menjadi miliknya sampai bila-bila.
 
“Berapa kau bayar pengeras dengan pakcik tu?” itu sebenarnya yang ingin aku tahu dahulu. Melihat Bada menyerahkan sekeping sampul sebelum kami balik, aku tahu jumlah yang dikenakan bukan sedikit. Tebal sampul surat telah membuktikan.
“Ada lah sikit,”
“Sikit tu berapa?” Aku buka mata. Menjeling Bada yang kelihatan serba salah. Dia tahu aku akan meroyan sekejap lagi.
“Seikhlas hati…”
“Ikhlas hati siapa?”
“Hati aku lah…”
“Jadi berapa ikhlasnya kau sehingga sanggup mandi bogel di bawah jambatan tu?”
“Bayaran ni sekali je, lepas ni tak ada dah,” balas Bada masih bermain teka teki. Dia sedaya upaya cuba mengelak daripada menjawab persoalan sebenar.
“Tak kisahlah sekali atau dua kali. Aku cuma nak tahu je. Mana tau kalau menjadi, boleh aku try jugak. Syed Ikram tu pun bukan boleh percaya pun!” jawabku memancing. Sengaja aku berkata demikian. Jika terlalu mendesak, Bada tidak mungkin mengaku jumlah yang dibayar. Jalan terbaik aku perlu kendurkan suaraku. Tidak melenting seperti tadi. 
 
“Mesti menjadinya. Ramai dah yang buat. Kau ingat, Fiona, pondan lorong yang pernah kau tolong dulu. Berbanding aku, dia lagi azab. Buruk. Macam tak sesuai jadi pondan. Tetapi sekarang dialah pondan yang paling laku di lorong tu,” jawab Bada penuh yakin. 
Nampaknya pancinganku mengena. Mood Bada yang gembira bercerita sahkan dari mana dia mendapat alamat pakcik Din itu. Fiona rupanya yang mencadangkan. Sejak bila dia berkawan dengan Fiona ni?
“Dia datang salon aku buat rawatan badan dan potong rambut. Dari situ lah kami selalu bertukar cerita. Nak tunggu kau lepak dengan aku, lambat lagi lah tu. Semenjak ‘kahwin’ dengan Ikram, kau dah jarang nak jumpa aku,” 
 
Timbul pula rasa bersalah. “Perkahwinan” aku dengan Syed Ikram membuatkan Bada tersisih. Dia kehilangan teman untuk berkongsi cerita. Bukan aku sengaja. Syed Ikram yang lebih suka aku duduk di rumah selepas habis waktu kerja. Dia kurang senang aku melepak di luar sekiranya tiada keperluan. Kalau Bada ingin bertemu, dia boleh datang ke rumah kami. Itulah yang sering kali Syed Ikram tekankan. Lebih-lebih lagi dia tidak suka makan di luar. Dia mahu aku yang memasak. Air tanganku lebih sesuai dengan seleranya.
“Jangan jadikan soal aku dengan Ikram alasan untuk kau buat benda syirik ni?” akhirnya terpacul perkataan yang aku simpan di hati untuk diluahkan.
 
“Apa pulak syiriknya. Kau tak dengar kata Pak Din tadi. Dia mulakan perubatannya dengan Bismillah. Selawat bagai. Tang mana syiriknya?” balas Bada mempertahankan proses perawatan yang dibuat Pak Din.
“Memanglah mula dengan ayat Quran. Selepas tu engkau tau ke dia seru siapa? Mentera selepas tu kau faham ke?”
“Tu bahasa dahulu kala. Kita tak kan faham. Bahasa purba…”
 
Aduhai, sakitnya hatiku mendengar jawapan ala kadar Bada itu. Dia takkan tak perasan mentera tersebut begitu asing dan berbunyi seperti menyeru sesuatu. Aku sendiri yang melihat sendiri proses perubatan itu pun seram sejuk. Sudahlah rumah usang itu bukan seperti rumah. Pondok durian di kampungku lagi elok. Hanya bertemankan lilin, dupa kemenyan, kain kuning dan keris, aku yakin ia bukan amalan agama. Sejahil aku, apa yang dilihat sesuatu yang tidak masuk akal.
“Habis mandi bawah jambatan dengan berbogel tu?”
“Tu prosesnya. Untuk lebih mujarab. Boleh je mandi sendiri di rumah tapi kurang mujarablah. Ni kira oklah. Ada syarat tu kena berendam dalam kolam babi sehari semalam…”
 
“Kau sanggup buat?” mengucap panjang aku sambil membayangkan kena berendam dalam kolam babi. Kolam mana yang nak dicari untuk berendam tu? 
“Kata Fiona, kalau sanggup boleh saja. Kesannya lagi hebat. Semua lelaki akan tewas dalam dakapan. Petik jari semua datang beratur!”
“Sekarang Fiona penasihat kau lah? Tu yang sanggup berhabisan demi jantan!” balasku cuba menutup rasa sesal. Johari dan stok skandal yang lain masih ramai, mengapa perlu aku dipersalahkan atas tujuannya itu?
 
“Dia hanya mencadangkan. Terpulanglah sama ada aku nak buat atau tidak…sebab pengerasnya bukan sedikit sebenarnya,”
“Kalau menjadi berapa pun aku sanggup!” keinginan aku untuk mengetahui jumlah yang dibayar itu membuak-buak. Pasti bukan seratus dua. Aku yakin.
“Kau ambillah pakej yang lebih mujarab. Tapi mahal sikit lah. Prosesnya pun lagi lama,” 
“Mula dengan pakej yang kau ambil tu cukuplah dulu. Mana tahu kalau kena bayar ribu-ribu, aku kenalah sediakan awal-awal,” pujuk aku semakin tidak sabar.
Tiba-tiba seekor babi hutan yang  entah datang dari mana, melintas. Bada terjerit kuat sambil menekan brek. Aku terdorong ke depan. Mujur tali pinggang keledar menghalang aku mencium cermin kereta. 
 
“Babi betul la… nasib baik dapat brek!” marah Bada dengan wajah mencuka. Dia merenung keluar. Kelibat babi hutan sudah hilang ditelan kegelapan malam. 
Aku hilang kata-kata. Semangat bagaikan hilang. Aku urut dada dan mengucap panjang. Petanda apakah ini?
“Kalau ada babi kawasan ni, mesti ada kolam dia kan?” ucap Bada tanpa sedar. Aku menjelingnya dengan geram.
“Nak berendam jugak ke nanti?” sindirku.
Bada tidak menjawab. Mukanya merah menahan malu. Dia terlepas cakap. Tak disangkanya apa yang bermain di hati setelah ternampak babi melintas itu, terhambur di bibir. Dia hanya bercakap sahaja. Tiada niat untuk berendam dalam kolam babi seperti cadangan Fiona itu.
“Kalau kau nak secantik Fazura atau JLo buatlah. Menjadi tau. Kalau berendam tujuh hari tujuh malam lagi lah kesannya,” cerita Fiona penuh bersemangat dalam satu pertemuan di salonnya minggu lalu.
Meskipun ngeri membayangkan tujuh hari tujuh malam berendam dalam kolam babi, keinginan untuk tahu cerita seterusnya membuak-buak. Bada memang sukakan cabaran. Baginya kalau berbaloi dia memang sanggup mencuba.
 
“Habis soal makan minum macam mana?” Bada mempersoalkan tentang bab makan minum. Takkan nak berendam sahaja atau minum air kumbahan babi itu sebagai syarat.
“Bomoh tu la akan hulurkan makanan dan minuman untuk kau. Kau mesti makan minum berak kencing dalam kolam itu. Tak boleh keluar…”
“Sampai begitu sekali ke syaratnya?” Mulut Bada terlopong sambil membayangkan dirinya berendam selama seminggu itu.
“Kata nak cantik. Nanti beratur jantan nak kau. Petik jari je!” jawab Fiona dengan yakin. Seolahnya dia juga pernah melakukan perkara yang sama.
“Kau ada buat ke?”
“Aku tak seberani tu. Nak mandi pagi pun aku malas, ni kan pulak nak berendam dalam kolam babi. Tak cantik pun tak pe. Pakai ilmu pemikat biasa pun dah cukup berbaloi untuk aku. Aku kan dah operate!” bangga benar Fiona bila bercerita tentang dirinya yang telah menjalani pembedahan jantina itu. Mungkin sebab itu dia hanya memakai tangkal pelaris sahaja untuk menambah ‘sahamnya’ setelah tukar jantina.
“Kalau nak jugak nanti aku belikan tujuh ekor anak babi, kau bela dan letak dalam bilik mandi kau tu. Kau boleh mandi hari-hari dengan ‘anak angkat’ kau tu. Mesti menjadi. Silap hari bulan kau boleh buat bisnes baru. Bada Babi Care!” sindir aku dengan hati terbakar.
 
Bada terus terdiam. Dia pura-pura tidak mendengar bebelanku. Dia memperkuatkan volume lagu dangdut kegemarannya. Mulutnya bernyanyi riang, seperti tiada apa yang perlu dirisaukan. Bebelanku itu sedikit pun tidak memberi kesan padanya.  
“Kau sediakan je Ringgit Malaysia empat ribu empat ratus empat puluh empat sen! “ beritahu Bada ketika memberhentikan aku di pintu pagar. Serentak dengan itu aku memandangnya dengan tajam.   Banyaknya! ‘Keras’ betul pengeras mandi bunga bawah jambatan rupanya! 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *