BAB 8
SELEPAS bersarapan, Iskandar mengajak Sulaiman dan Farid ke bandar. Alasan Iskandar dia ingin membeli barangan dapur. Meskipun Sulaiman agak keberatan kerana ada urusan di kolam ikan patinnya, dia tetap akur dengan permintaan adik kesayangannya itu.
Tanpa pengetahuan Sulaiman, Iskandar sudah membuat perancangan sendiri. Kepada Farid, dia meminta terus bersetuju dengan sebarang cadangan atau permintaan apabila dia utarakan pada abangnya itu. Farid yang sudah bersedia dengan bantuannya, terus bersetuju tanpa alasan lagi.
Malahan dia yang bersungguh pula mengajak Sulaiman untuk menemani mereka ke bandar. Mereka juga akan singgah bertemu Camelia sebelum makan tengah hari bersama.
Destinasi utama Iskandar sudah pastinya restoran milik Suraya. Dia ingin menemukan abangnya itu dengan Suraya. Dia mahu melihat sendiri bagaimana reaksi keduanya bila diketemukan nanti. Apakah masih lagi diburu kepahitan kenangan lalu atau masih malu-malu untuk meluahkan rasa hati antara satu sama lain?
Sulaiman yang menyedari muslihat Iskandar itu cuba mencari alasan untuk segera balik setelah membeli barangan dapur di pasar. Tetapi dia kalah dengan desakan Iskandar dan lakonan Farid yang kononnya begitu teringin menikmati hidangan patin tempoyak. Dicadangkan pula restoran atau warung lain, Farid tetap memilih restoran milik Suraya. Kata Farid, restoran Suraya itu sudah terkenal sehingga ke Kuala Lumpur. Jadi dia ingin merasai sendiri sejauh mana benarnya kehebatan masakan patin tempoyak di Restoran Patin Tempoyak Suraya itu.
Iskandar hampir ketawa melihatkan reaksi Farid memujuk Sulaiman. Walhal semalam hampir pecah perut dia menikmati hidangan ikan patin itu. Pandai sungguh Farid berlakon. Begitu menyakinkan. Tewas akhirnya Sulaiman dengan pujukan Farid dan Iskandar.
Camelia dan Amira sudah sampai dahulu ketika mereka tiba. Awal-awal lagi Iskandar sudah menghantar lokasi pertemuan. Melihat Camelia dan Amira sudah duduk di meja, Sulaiman semakin hilang punca. Dia perlu juga menghabiskan masa bersama kawan-kawan adiknya itu. Soal itu tidak menjadi hal baginya. Dia sanggup membelanja makan sebanyak mana mereka inginkan, tetapi dia kurang selesa untuk berlamaan di restoran Suraya itu.
Menghantar bekalan ikan patin dan talapia pun dia hanya pekerjanya menguruskan. Jarang sekali dia bertemu dengan Suraya. Jika bertemupun atas urusan jual beli sahaja. Tidak lebih daripada itu.
“Kak Su ke bandar,” jawab salah seorang pelayan ketika Iskandar bertanyakan di mana Suraya berada.
Jawapan pelayan itu melegakan Sulaiman. Dia segera mempercepatkan langkahnya menuju ke meja Camelia dan Amira yang sejak tadi melambai ke arahnya. Farid memandang Iskandar yang kelihatan hampa. Niatnya tidak kesampaian.
“Pukul berapa Kak Su akan datang?” Farid pula bertanya. Dia tidak sampai hati melihat reaksi Iskandar yang membatu itu.
“Biasanya dah sampai. Kejab lagi lah tu…”
“Tak pe Is, kita makan lambat-lambat. Aku boleh teruskan lakonan aku. Amira tu boleh sokong aku. Kita makan semua menu yang ada di sini. Camelia dan Amira belum pernah datang sini. Tentu mereka pun teruja nak makan juadah enak yang ada di sini,” pujuk Farid seraya memeluk bahu Iskandar. Keduanya lantas beriringan ke meja Camelia.
Seperti yang dirancang, Farid yang memang gemar makan itu terus menjiwai lakonannya. Dia banyak mencadangkan agar Camelia dan Amira mencuba menu yang disediakan. Sampai penuh meja dibuatnya. Sulaiman hanya memerhati tanpa sedikitpun menyedari semua itu plan Iskandar dan Farid untuk menghalangnya balik segera. Selagi Suraya belum tiba sedaya upaya mereka akan menghabiskan masa berbual dan makan-makan.
Sejam kemudian, Suraya tiba. Dia masuk tanpa menyedari ada mata sedang memandang ke arahnya. Di kaunter, pelayan memberitahunya yang ada tetamu ingin berjumpa. Segera dia berpaling ke meja yang dikatakan, air mukanya berubah tiba-tiba. Dia cuba memaniskan muka dan senyum diukirkan, sedangkan dalam hati berdebar kencang. Mujur dia bergaya lebih sedikit pagi ini, tiadalah terasa janggal dan kurang yakin.
Melihat Suraya menuju ke meja mereka, Sulaiman mula tidak senang duduk. Kejab-kejab dia membetulkan duduknya. Tidak cukup itu pantas dia pura-pura membelek telefon seolah sedang membalas mesej. Wajahnya juga pucat lesi. Peluh kecil bagaikan bergilir keluar dari muka dan lehernya. Iskandar mencuit Farid untuk melihat reaksi Sulaiman itu. Mereka hampir tergelak namun cuba mengawal diri agar tidak ketara dan disedari Sulaiman.
“Wah ramainya rombongan dari Kuala Lumpur. Tetamu istimewa ni…” ucap Suraya dengan mesra. Seperti biasa dia sentiasa ramah dan melemparkan senuman kepada setiap pelanggannya. Lebih-lebih lagi pelanggan yang datang hari ini bukan calang-calang. Jarang sekali dia dapat melihat Sulaiman makan di restorannya meskipun ikan patin dan talapia yang menjadi menu utama restoran datangnya dari kolam ikan Sulaiman sendiri.
Bukan tidak pernah mengajak atau mempelawa, Sulaiman sering memberikan alasan yang terlalu banyak. Sehinggakan adakalanya alasan itu dirasakan tidak logik. Akhirnya Suraya hanya mampu berharap. Satu hari nanti Sulaiman akan duduk makan di restorannya. Menikmati keenakkan menu yang disediakan berkat ikan belaannya.
Hubungan Suraya dan Sulaiman bukanlah asing. Mereka sudah mengenali sejak kecil lagi, Suraya lebih tua tiga tahun daripada Sulaiman. Sikap Suraya yang cukup berdikari itu amat kontra dengan perangai Sulaiman yang pendiam dan tidak banyak cakap. Sulaiman hanya bercakap banyak dengan keluarga sahaja. Kalau dengan pekerja atau orang lain, ianya amat membosankan. Orang yang tidak faham dengan dirinya itu pasti menyangka dia seorang yang sombong dan berlagak. Sedangkan pada hakikatnya Sulaiman memang berat mulut. Dia tidak pandai memulakan perbualan. Selagi tidak ditanya maka dia akan berdiam umpama patung cendana yang sekadar menjadi hiasan.
Suraya sudah lama menyimpan perasaan pada Sulaiman. Perasaan itu sememangnya sudah terlalu tersimpan di kamar hatinya. Dia tidak mampu meluahkan kerana sikap Sulaiman itu sendiri. Bukan dia tidak cuba mendekati Sulaiman. Berulangkali dia datang ke sangkar ikan patin Sulaiman di tepi sungai Pahang itu, namun acap kali itulah pertemuan mereka akan menjadi sepi dan hambar. Sulaiman menjadi gugup dan gementar setiap kali memandangnya.
Timbul rasa di hati apakah Sulaiman membencinya? Apakah Sulaiman tidak sukakannya sebagaimana dia sukakan Sulaiman? Pernah dia menyuarakan pertanyaan itu lantaran tidak tertahan lagi dengan layanan kaku Sulaiman itu. Namun jawapan yang keluar dari mulut Sulaiman cukup membuatkan dia hanya mampu berserah sahaja. Kalau ada jodohnya dengan Sulaiman, dia terima. Kalau tiada dia rela menjadi anak dara tua hingga ke akhir hayat.
Suraya bukan tiada peminat atau lelaki yang ingin menyuntingnya. Ramai sudah yang datang merisik. Tetapi hati Suraya bagaikan sudah bertekad untuk menanti Sulaiman. Tekad itu hanya dia mengadu pada Allah agar mengabulkannya. Kepada kedua ibu bapa dan saudara mara yang kerap kali bertanya mengapa masih belum berkahwin, Suraya hanya menjadikan alasan kesibukan menguruskan restoran sebagai alasan utama. Meskipun alasan itu kedengaran remeh kerana Suraya memiliki pekerja yang ramai dan mendapat sokongan adik beradiknya dalam menguruskan restorannya, mujurlah desakan keluarga tidak berterusan. Mereka akhirnya membiarkan Suraya terbuka hati sendiri. Jika dia ingin berkahwin maka dia akan berkahwinlah. Mereka tidak akan memaksa atau bertanya lagi.
“Saya bukan tak suka Su. Saya juga tidak benci. Saya cuba ingin memberi tumpuan pada masa depan Iskandar,” itulah jawapan Sulaiman yang tetap diingati sehingga kini. Sulaiman lebih mengutamakan adiknya berbanding perasaan dan masa depannya sendiri.
“Is bawa dua lagi tetamu dari Kuala Lumpur ni. Nak rasa menu istimewa Patin tempoyak akak. Biar mereka tahu betapa enaknya masakan restoran akak ni,” jawab Iskandar sambil memperkenalkan Camelia dan Amira.
Keduanya bangun dan bersalaman. Sempat Camelia memuji keenakkan patin tempoyak yang dimakannya. Amira pun begitu. Dia mencuba Patin Pais Tempoyak. Katanya ini kali pertama dia makan patin yang dipanggang. Rasanya lebih sedap berbanding gulai Patin sendiri.
“Kak, kami berempat nak kerja di sini. Boleh?” tiba-tiba Iskandar bertanya. Pertanyaan itu membuatkan Sulaiman yang ingin menikmati minumannya terlepas gelas di tangan. Air tembikai laici tumpah di meja.
Iskandar kenyit mata pada Camelia yang terpinga dengan permintaannya itu. Amirapun begitu. Dia pandang Farid. Farid angkat bahu. Suraya juga terkaku dengan pertanyaan secara terbuka Iskandar itu. Lebih-lebih lagi melihat kekalutan Sulaiman, Suraya tidak tahu apa yang perlu dia jawab untuk menyelamatkan suasana yang semakin janggal dan tidak disangka itu.





