“BILA EMAS JADI SIMBOL EMPATI – KESS HIDUPKAN MALAM UNTUKMU GAZA BERSAMA THE HELMIS”

 

KESS Raikan “Malam Untukmu Gaza” — The Helmis Dilantik Duta Syiling Emas Khas Edisi Solidariti

 KEDAI Emas Sri Semantan (KESS) meneruskan komitmen terhadap perjuangan kemanusiaan global dengan menganjurkan “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza”, yang bakal berlangsung pada Jumaat, 24 Oktober, jam 9 malam di perkarangan KESS Cawangan Jengka, Pahang, bersempena pembukaan rasmi cawangan ketiga syarikat tersebut.

Majlis penuh makna ini turut menyaksikan pelancaran Syiling Emas Khas Edisi ‘Untukmu Gaza’ serta pelantikan pasangan artis dan aktivis kemanusiaan terkenal, The Helmis — Heliza Helmi dan Hazwani Helmi — sebagai Duta Rasmi Syiling KESS.


Perpaduan, Keusahawanan & Kemanusiaan

Ketua Pegawai Eksekutif KESS, Mohd Hafizal Haji Mahmood, menegaskan bahawa pelantikan The Helmis mencerminkan aspirasi syarikat untuk menggabungkan kekuatan keusahawanan dengan nilai kemanusiaan dalam membina masyarakat yang lebih prihatin.

“Keindahan rezeki bukan sekadar pada keuntungan, tetapi sejauh mana ia mampu memberi makna kepada orang lain. Syiling ‘Untukmu Gaza’ ini bukan sekadar produk emas, tetapi simbol perpaduan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan saudara kita di Gaza,” katanya pada sidang media yang diadakan di Saloma KL.

Tambahnya lagi, majlis ini bukan hanya sekadar pelancaran produk, tetapi satu manifestasi kasih dan empati terhadap penderitaan rakyat Palestin, di samping menyemai kesedaran kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.

Sebahagian hasil jualan daripada syiling khas tersebut akan disalurkan terus kepada rakyat Palestin melalui kerjasama dengan NGO Cinta Salam Malaysia, yang dipengerusikan oleh Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, peserta misi Sumud Nusantara Flotilla.


Seni, Doa dan Solidariti

Program ini akan diisi dengan pelbagai acara rohani dan hiburan berunsur ketuhanan termasuk solat hajat, persembahan qasidah, dan persembahan khas daripada Raihan, Mawi, The Helmis, dan Dr. Sam Rasputin.

KESS turut menegaskan bahawa inisiatif ‘Untukmu Gaza’ akan diperluaskan ke semua cawangan seluruh negara sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat terhadap perjuangan kemanusiaan global.


The Helmis: Misi Cinta dan Harapan

Sebagai duta rasmi, Heliza Helmi berkata beliau dan adiknya, Hazwani, akan terus memperjuangkan kesedaran kemanusiaan melalui seni dan pengalaman misi mereka ke Palestin.

“Insya-Allah, kami akan berkongsi kisah perjalanan misi dan semangat luar biasa rakyat Palestin yang menjadi inspirasi kepada kami. Lagu baharu kami, Mengukir Takdir, sebenarnya dirakam sebelum berangkat ke misi tersebut — dan setiap baitnya kini membawa makna yang lebih mendalam,” jelas Heliza.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada KESS dan Cinta Salam Malaysia atas usaha kolaboratif yang bukan sahaja menghidupkan semangat solidariti, tetapi juga membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang dengan cara yang bermakna.


Cinta Salam Malaysia: Suara Kemanusiaan yang Semakin Bergema

Dalam pada itu, Ahmad Musa Al-Nuwayri menzahirkan penghargaan kepada KESS atas inisiatif berani ini.

“Apabila sebuah jenama tempatan seperti Kedai Emas Sri Semantan sendiri tampil menganjurkan Malam Untukmu Gaza, ia membuktikan bahawa kesedaran kemanusiaan sudah meresap ke seluruh lapisan masyarakat. Inisiatif seperti ini mampu membina empati dan menggerakkan tindakan nyata,” ujarnya.

Beliau menambah, kehadiran tokoh-tokoh seni dalam misi kemanusiaan memberi impak besar dalam menyampaikan mesej solidariti kepada rakyat Malaysia.


Dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Pahang

Majlis “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” akan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang.

KESS percaya, daripada kilauan emas lahirlah sinarnya harapan, dan daripada harapan itu terbitlah cahaya kemanusiaan yang tidak pernah padam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *