KEMBANG BUNGA : KOLABORASI NUSANTARA

 

KUMBANG BUNGA – GABUNGAN HEBAT DUA NEGARA, DUA SUARA NUSANTARA

DUNIA muzik serantau sekali lagi menyaksikan detik bersejarah apabila dua nama besar Nusantara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Lesti, bersatu dalam sebuah karya istimewa berjudul Kumbang Bunga — simbol keindahan persahabatan, keharmonian budaya dan perpaduan dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.

Lagu ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini menjadi single pertama daripada album terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sekaligus memperlihatkan evolusi muzik tradisional yang digarap dalam nafas kontemporari moden. Kumbang Bunga mengetengahkan gabungan tiga irama klasik — inang, dangdut dan masri — yang disusun semula dengan sentuhan elegan, menggamit nostalgia sambil menawan hati generasi baharu.

Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, karya ini menjadi manifestasi cintanya terhadap muzik warisan yang terus relevan dan bernyawa.

“Sejak pertama kali mendengar melodi Kumbang Bunga, saya tertarik dengan kehalusan nadanya. Saya mencadangkan agar elemen dangdut — yang begitu sinonim dengan Lesti — digabungkan agar lagu ini benar-benar melambangkan penyatuan dua dunia muzik,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, muzik ialah bahasa sejagat yang mampu menyatukan manusia tanpa batas.

“Saya berharap Kumbang Bunga bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia, tetapi turut menembusi hati para pendengar di seluruh rantau,” katanya penuh harapan.

Sementara itu, Lesti menyifatkan peluang berduet bersama ikon muzik Malaysia itu sebagai satu penghormatan besar.

“Saya sangat berterima kasih kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Lagu ini begitu indah, dan kolaborasi ini bagaikan hadiah untuk para peminat yang sudah lama menantikan detik ini,” ujar Lesti dengan penuh rasa terharu.

Komposer Firdaus Rahmat, yang berkolaborasi dengan Iqie Hugh, turut berkongsi bahawa proses penciptaan lagu ini berlangsung pantas tetapi sarat emosi.

Kumbang Bunga kami hasilkan khusus untuk menonjolkan kekuatan vokal dua figura besar ini. Ia adalah percantuman antara tradisi dan inovasi yang menggambarkan roh sebenar muzik Nusantara,” jelas Firdaus.

Diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd., Kumbang Bunga kini boleh didapati di semua pelantar digital mulai 22 Oktober 2025. Video muzik rasmi pula ditayangkan pada jam 3.00 petang hari yang sama, mempersembahkan keindahan visual yang memperkukuh makna kolaborasi dua suara unggul dari dua tanah air.


Kumbang Bunga – Bila dua legenda bersatu, lahirlah satu harmoni yang menyeberangi sempadan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *