‘KAMI INSOMNIACKS’ MENANDAI ERA BAHARU, JELAJAH PRA-ALBUM KEMBALI KE KUALA LUMPUR
Album sulung 12 lagu dilancarkan 30 Oktober, sebelum Insomniacks membawa keseluruhan karya baharu ke pentas ODEON KL pada 31 Oktober
HAMPIR 11 tahun bukan sekadar angka buat Insomniacks. Ia adalah himpunan pengalaman, persahabatan, jatuh bangun, eksperimen muzik dan proses membentuk identiti yang akhirnya menemukan titik temu dalam sebuah karya yang paling peribadi buat kumpulan pop rock itu.
Kini, perjalanan tersebut memasuki satu lagi bab penting menerusi KAMI INSOMNIACKS, album sulung yang bakal dilancarkan pada 30 Oktober 2026.
Lebih daripada sekadar sebuah album pertama, KAMI INSOMNIACKS hadir sebagai dokumentasi perjalanan sebuah kumpulan yang membesar bersama muzik — daripada membina nama dan pengaruh, sehinggalah berdiri sebagai antara kumpulan pop rock tempatan yang terus mendapat perhatian pendengar generasi baharu.
Kejayaan konsert ‘Echoes of a Dream’ yang mencatat penjualan tiket habis di Kuala Lumpur dan Singapura pada 2025, kemenangan kategori Video Muzik Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 menerusi Belum Mulai bersama Nabila Taqiyyah, selain pengiktirafan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim 2025, menjadi antara pencapaian yang mengukuhkan momentum Insomniacks dalam industri muzik tanah air.
Namun, bagi kumpulan ini, pencapaian terbesar kini bukan sekadar tentang angka, carta atau pengiktirafan — sebaliknya tentang keberanian untuk memperkenalkan siapa mereka hari ini melalui muzik yang lebih matang dan jujur.
SEBUAH ALBUM TENTANG PERJALANAN
Mengandungi 12 lagu, KAMI INSOMNIACKS merangkum pelbagai sisi perjalanan manusia — daripada cinta, persahabatan dan kekeluargaan, hinggalah pengembaraan serta proses mengenali dan membentuk diri.
Album ini turut memperlihatkan keberanian Insomniacks untuk meneroka ruang muzik yang lebih luas menerusi kolaborasi idea bersama beberapa nama tempatan seperti Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.
“Album ini sangat bermakna buat kami sebab selepas hampir 11 tahun buat muzik bersama, akhirnya kami dapat kongsikan album pertama kami. Ia merangkum perjalanan, pengalaman dan apa yang kami pelajari selama ini. Kami memang teruja dan tak sabar nak semua orang dengar.”
Bagi Insomniacks, proses menghasilkan album ini turut menjadi cerminan perkembangan mereka sebagai individu dan sebagai sebuah kumpulan.
“Banyak yang kami dah lalui dan pelajari, sebagai individu dan juga sebagai satu kumpulan. Sebab itu, soal perkembangan diri memang dekat dengan kami. Pengalaman dan hubungan dengan orang sekeliling membentuk siapa kami hari ini, dan semua itu turut tergambar dalam muzik kami.”
Perubahan itu turut dapat dirasakan melalui aspek bunyi, penulisan lagu dan pendekatan mereka terhadap proses kreatif.
“Banyak yang berubah dari segi bunyi, penulisan lagu dan cara kami buat muzik. Kami suka bereksperimen, tapi untuk album ini, kami nak kukuhkan lagi identiti muzik kami. Harapnya, peminat dapat kenal sisi lain Insomniacks sambil masih rasa sentuhan yang mereka kenal selama ini.”
DARI GEORGE TOWN KE JOHOR BAHRU, MENUJU KEMUNCAK DI KL
Sebelum album rasmi menemui pendengar, Insomniacks terlebih dahulu membawa karya-karya baharu mereka turun ke pentas menerusi jelajah pra-album KAMI INSOMNIACKS merentasi tiga kota.
Jelajah membuka tirai pada 19 September 2026 di Loft29, George Town, Pulau Pinang, di hadapan kira-kira 300 penonton.
Dalam format persembahan akustik penuh, Insomniacks membawakan 13 lagu, termasuk enam lagu daripada album sulung mereka. Empat daripadanya telah diberikan akses awal menerusi laman peminat insomniacks.world, manakala dua lagi belum tersedia di mana-mana platform ketika itu.
Pendekatan tersebut memberikan peminat pengalaman yang jarang diperoleh — menjadi antara kelompok terawal yang mendengar karya baharu Insomniacks secara langsung sebelum ia dilancarkan secara rasmi.
Kembali ke pentas akustik selepas sekian lama turut mencetuskan debaran buat anggota kumpulan.
“Sejujurnya, saya agak gementar dan risau sebab ini kali pertama kami bawakan lagu-lagu album ini secara akustik. Dah lama juga kami tak buat persembahan akustik penuh. Tapi lepas selesai, semuanya rasa seronok dan kami memang puas dengan pengalaman itu,”
kata Dan, gitaris Insomniacks.
Momentum kemudian diteruskan pada 3 Oktober di Embrace Hall Music & Art Center, Skudai, Johor Bahru, dengan tiket dilaporkan habis dijual dan kehadiran melebihi 300 penonton.
Antara momen yang paling mencuri perhatian ialah apabila penonton turut menyanyikan lagu-lagu baharu yang telah diberikan akses awal, biarpun album berkenaan belum dilancarkan secara rasmi.
“Memang seronok dapat bawakan beberapa lagu baharu! Paling istimewa bila penonton ikut menyanyi salah satu lagu terbaharu kami, walaupun belum dilancarkan secara rasmi. Sokongan macam itu memang sangat bermakna buat kami.”
ODEON KL MENJADI PENTAS PENUTUP
Perjalanan pra-album ini akhirnya menuju kemuncak di ODEON KL pada 31 Oktober 2026, hanya sehari selepas KAMI INSOMNIACKS dilancarkan secara rasmi.
Untuk malam istimewa tersebut, Insomniacks bakal mempersembahkan 14 lagu, termasuk keseluruhan 12 lagu daripada album sulung KAMI INSOMNIACKS, selain beberapa lagu pilihan daripada rilisan terdahulu.
Dengan keseluruhan album menjadi teras persembahan, showcase ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi peluang buat peminat untuk mengalami karya baharu Insomniacks dalam bentuk yang paling hidup — di atas pentas, bersama mereka yang telah mengikuti perjalanan kumpulan ini sejak awal.
Kira-kira 1,500 peminat dijangka memenuhi ODEON KL bagi meraikan detik bersejarah tersebut.
Bagi Insomniacks, kepulangan ke Kuala Lumpur mempunyai makna tersendiri.
“KL memang tempat kami bertapak, jadi setiap kali buat persembahan depan peminat di sini, rasanya cukup istimewa. Dapat akhiri jelajah di tempat sendiri buat pengalaman ini lebih bermakna buat kami.”
Dan untuk malam tersebut, mesej mereka cukup sederhana:
“Kami mahu semua orang berseronok dan menikmati keseluruhan pengalaman konsert ini.”
LEBIH DARIPADA MUZIK
Pengalaman KAMI INSOMNIACKS di ODEON KL turut dilengkapkan dengan elemen eksklusif buat peminat.
Pengunjung berpeluang mendapatkan beg messenger Insomniacks edisi khas yang hanya dijual semasa showcase tersebut, selain barangan rasmi terbaharu termasuk tali rantai kunci dan iron-on patch, di samping koleksi merchandise terdahulu.
Peminat juga boleh mendapatkan barangan rasmi jelajah secara dalam talian serta mengakses kandungan eksklusif di insomniacks.world, termasuk kisah dan perjalanan di sebalik pembikinan KAMI INSOMNIACKS.
Jelajah KAMI INSOMNIACKS dikuasakan oleh OPPO, dengan ERA sebagai rakan radio dan GALLANT GUARD SERVICES sebagai rakan logistik. Minuman cuka epal SURYA turut tersedia untuk pembelian di lokasi acara.
SATU ALBUM. HAMPIR 11 TAHUN. SATU LAGI PERMULAAN.
KAMI INSOMNIACKS akhirnya bukan hanya tentang 12 buah lagu.
Ia adalah tentang sekumpulan anak muda yang membesar bersama muzik, melalui perubahan zaman, belajar daripada pengalaman dan memilih untuk terus bergerak ke hadapan tanpa kehilangan akar identiti mereka.
Selepas hampir 11 tahun, Insomniacks tidak sekadar melancarkan album sulung.
Mereka sedang membuka pintu kepada era Insomniacks yang baharu.
KAMI INSOMNIACKS mula distrim di semua platform utama pada 30 Oktober 2026.
Sementara itu, tiket kategori berdiri untuk showcase Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2026 di ODEON KL masih tersedia dalam jumlah terhad.
Dapatkan tiket dan jadilah sebahagian daripada detik bersejarah ini.
Tiket: https://ticketoffice.ubertickets.asia/events/175784
KAMI INSOMNIACKS
30 OKTOBER 2026 — ALBUM SULUNG
31 OKTOBER 2026 — ODEON KL
Insomniacks
Instagram | TikTok | YouTube
insomniacks.world





