EDDIE HAMID CIPTA MAGIS SEKALI LAGI, SATUKAN EDA EZRIN & DEN MANJO

 

EDDA EZRIN & DEN MANJO KEMBALI MENGGEGARKAN INDUSTRI MENERUSI “ADEK SAYE ABE SORE”
Karya Baharu Sentuhan EDDIE HAMID Angkat Evolusi Irama Dikir Barat Moden

 SELEPAS mencipta fenomena luar biasa menerusi lagu “Cinta Setandan Pisang” atau lebih dikenali sebagai “Bae Soba Bae”, gandingan serasi Eda Ezrin dan Den Manjo kembali menyatukan suara dalam sebuah karya terbaharu berjudul “Adek Saye Abe Sore”.

Kejayaan lagu terdahulu yang mencatat lebih 33 juta tontonan di saluran YouTube rasmi Kijang Music bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan kedua-dua penyanyi ini dalam industri, malah membuktikan penerimaan luar biasa terhadap gabungan elemen tradisional dan moden yang dibawakan.

Kini, komposer tersohor Eddie Hamid sekali lagi tampil meneruskan kesinambungan kejayaan tersebut dengan menghasilkan “Adek Saye Abe Sore” bersama komposer berbakat, Mekiya. Lagu ini turut diperkukuh dengan sentuhan lirik oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha, menjadikannya sebuah karya yang lebih segar, dinamik dan beridentiti.

Menurut Eddie, lagu ini merupakan evolusi kepada karya terdahulu dengan pendekatan muzik yang lebih kontemporari tanpa mengabaikan akar tradisi.

“Kami mengekalkan elemen dikir barat sebagai identiti utama, namun menyuntik susunan muzik yang lebih moden agar selari dengan selera pendengar masa kini. Saya optimis lagu ini mampu mengulangi kejayaan sebelumnya,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, “Adek Saye Abe Sore” sebenarnya telah disiapkan lebih awal, namun ditangguhkan pelancarannya demi memberi ruang yang tepat untuk dipersembahkan oleh Eda Ezrin.

“Ramai penyanyi menyatakan minat terhadap lagu ini, tetapi saya percaya hanya Eda mampu menyampaikan jiwa sebenar karya ini. Ia memang dicipta khusus untuknya,” jelas Eddie.

Bagi Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, peluang untuk kembali bekerjasama dengan pasukan produksi yang sama serta bergandingan semula dengan Den Manjo merupakan satu momen yang amat bermakna dalam perjalanan seninya.

“Saya amat bersyukur kerana masih diberi kepercayaan. Keserasian kami memudahkan proses rakaman dan semuanya berjalan lancar. Namun, sebagai pengkarya, saya tetap berdebar menantikan reaksi pendengar,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa harapan tinggi peminat menjadi motivasi untuk terus memberikan yang terbaik.

“Saya berharap lagu ini mampu menyentuh hati pendengar dan sekali lagi mencipta fenomena,” tambahnya.

Sementara itu, Den Manjo atau Mohamad Hafizzudin Md. Yusof menyifatkan peluang ini sebagai satu penghargaan besar dalam kerjayanya.

“Kejayaan sebelum ini menjadi pemangkin semangat untuk kami kembali dengan sesuatu yang lebih baik. Saya yakin peminat akan dapat merasai keunikan lagu ini,” ujarnya.

Diterbitkan oleh Kijang Music dan diedarkan oleh Nova Music Malaysia, “Adek Saye Abe Sore” boleh mula distrim di semua platform digital bermula 26 Mac 2026. Manakala video muzik rasmi telah ditayangkan lebih awal pada 25 Mac 2026, jam 8 malam di saluran YouTube rasmi Kijang Music.

Dengan gabungan kekuatan melodi, lirik yang dekat di hati serta gandingan vokal yang semakin matang, “Adek Saye Abe Sore” diyakini berpotensi menjadi satu lagi karya ikonik yang akan terus mewarnai landskap muzik tempatan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *