SITI NURHALIZA TAWAN SPOTIFY EQUAL BUAT KALI KEDUA!

DATO’ SRI SITI NURHALIZA DINOBATKAN SEBAGAI WAJAH KEMPEN SPOTIFY EQUAL SINGAPORE & MALAYSIA

 IKON muzik tersohor negara, Siti Nurhaliza, terus memperkukuh legasi seninya apabila sekali lagi dipilih sebagai wajah rasmi kempen Spotify EQUAL Singapore & Malaysia bagi bulan Mac 2026. Pemilihan ini menandakan penyertaan kali kedua beliau dalam inisiatif global berprestij oleh Spotify yang memberi penekanan kepada pemerkasaan suara wanita dalam industri muzik.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan keunggulan dan konsistensi beliau sebagai figura seni berpengaruh, malah mengangkat peranan wanita Asia Tenggara ke pentas antarabangsa yang lebih signifikan dalam era penstriman digital.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur atas penghormatan yang diterima.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT atas peluang ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapore & Malaysia merupakan satu penghormatan besar dalam perjalanan seni saya,” ujar beliau.

Menurut beliau, pemilihan ini membuktikan bahawa muzik berkualiti tidak dibatasi oleh usia atau peredaran masa. Dalam landskap industri yang semakin dipacu teknologi, pengiktirafan terhadap karya yang tulen dan beridentiti kukuh terus mendapat tempat di hati pendengar global.

Sebagai figura wanita berpengaruh, beliau melihat pencapaian ini sebagai simbolik kepada kekuatan kolektif wanita dalam industri seni.

“Ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi satu representasi bahawa suara wanita mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan pendengar merentas sempadan – dari Malaysia dan Singapura hingga ke seluruh dunia,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi pandangan bernilai buat generasi baharu penyanyi wanita. Antara prinsip yang ditekankan termasuklah kepentingan kualiti berbanding populariti sementara, serta pembinaan identiti seni yang autentik dan konsisten.

“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Disiplin dalam menjaga vokal dan keunikan identiti seni adalah kunci untuk kekal relevan merentas zaman,” jelas beliau.

.

Beliau juga menegaskan bahawa keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan trend semasa amat penting, tanpa mengabaikan asas seni yang menjadi tunjang utama seorang artis. Ketahanan mental, sikap profesional serta nilai positif turut menjadi faktor penting dalam menempuh cabaran industri.

Mengakhiri kenyataan, beliau merakamkan penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menjadi tonggak kekuatan sepanjang perjalanan kerjayanya.

“Hargailah peminat anda, kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” katanya.

Pemilihan Siti Nurhaliza sebagai wajah kempen Spotify EQUAL Singapore & Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon muzik serantau yang terus relevan, di samping menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan mengangkat suara wanita ke persada global.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *