“MASING MASING” – ERNIE ZAKRI & ADE GOVINDA DIIKTIRAF ASIA BOOK OF RECORDS
236 JUTA PENSTRIMAN, MENCIPTA SEJARAH BAHARU MUZIK SERANTAU
KARYA fenomena “Masing Masing” nyanyian Ernie Zakri terus melakar sejarah tersendiri apabila mencatat lebih 236 juta penstriman di platform Spotify, sekali gus menerima pengiktirafan rasmi daripada Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai 200 juta penstriman menjelang Ogos 2025.
Lagu yang menampilkan sentuhan komposer dan gitaris tersohor Indonesia, Ade Govinda, ini bukan sahaja meneguhkan reputasi kedua-dua figura seni tersebut, malah menandakan satu lagi pencapaian penting dalam landskap muzik serantau yang semakin berkembang pesat.
Pengiktirafan berprestij ini hadir selepas Ernie Zakri dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara vokalis paling berpengaruh di rantau ini. Kejayaan “Masing Masing” membuktikan bahawa karya yang lahir daripada kejujuran emosi dan keindahan melodi mampu menembusi sempadan geografi, bahasa serta budaya.
Pengiktirafan oleh Asia Book of Records turut membawa dimensi yang lebih luas kepada pencapaian ini. Sebagai platform yang meraikan pencipta rekod dan tokoh inspirasi dari seluruh Asia, pengiktirafan tersebut memberikan kredibiliti antarabangsa serta membuka ruang pendedahan media yang lebih meluas kepada artis dan karya yang diiktiraf. Ia juga menghubungkan individu berpengaruh dari pelbagai bidang di seluruh benua Asia, sekali gus menjadikan pencapaian mereka sebagai inspirasi yang berpanjangan.
Menurut Ernie Zakri, kejayaan lagu ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka ketika ia mula dihasilkan.
“Saya sangat terharu dan bersyukur apabila mengetahui ‘Masing Masing’ mencapai lebih 236 juta penstriman di Spotify serta diiktiraf oleh Asia Book of Records. Sejujurnya, ketika menghasilkan lagu ini bersama Ade Govinda, matlamat kami hanyalah untuk menyampaikan sebuah karya yang jujur dari segi emosi. Melihat ia kini menerima sambutan luar biasa hingga melakar sejarah, saya amat menghargai sokongan padu para pendengar, khususnya Ernienators yang sentiasa setia mendukung perjalanan seni saya sejak awal lagi.”
Sejak dilancarkan, “Masing Masing” bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia dan Indonesia, malah turut menambat hati pendengar di pelbagai negara Asia Tenggara. Bagi Ernie, kekuatan utama lagu ini terletak pada mesej yang universal serta emosi yang dekat dengan pengalaman kehidupan ramai.
“Saya percaya kekuatan ‘Masing Masing’ terletak pada ceritanya yang sangat dekat dengan kehidupan ramai orang. Walaupun ia sebuah lagu Melayu/Indonesia, emosinya bersifat universal dan mudah difahami oleh sesiapa sahaja. Ditambah pula dengan kolaborasi bersama Ade Govinda serta susunan muzik yang sederhana namun menyentuh hati, mungkin itulah yang menjadikan lagu ini diterima baik di seluruh Asia Tenggara,” tambahnya.
Dengan pencapaian ini, “Masing Masing” terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara karya muzik serantau paling berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini — membuktikan bahawa muzik yang lahir daripada kejujuran rasa mampu menyatukan pendengar merentasi sempadan bahasa, budaya dan negara.
Ernie Zakri terus mencipta pencapaian membanggakan apabila lagu “Masing Masing” hasil kolaborasi bersama Ade Govinda mencatat lebih 236 juta penstriman di Spotify. Lagu tersebut turut diiktiraf oleh Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai 200 juta penstriman menjelang Ogos 2025.
Pengiktirafan ini hadir selepas Ernie dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025, sekali gus menambah satu lagi detik gemilang dalam perjalanan kerjaya seninya. Kejayaan “Masing Masing” membuktikan bahawa karya yang tulus dan penuh emosi mampu merentasi sempadan bahasa serta menyatukan pendengar di seluruh Asia Tenggara.





