Fazura & Fatima Abadi Kenangan Syawal Menerusi “Raya Pum Pang Lagi”
KEMERIAHAN Syawal tahun ini diserikan dengan kemunculan semula lagu raya yang pernah mencuit hati ramai, kini hadir dalam versi lebih peribadi dan sarat emosi. Pelakon, penyanyi dan usahawan tersohor, Fazura, mempertaruhkan “Raya Pum Pang Lagi” — sebuah interpretasi baharu yang menyatukan suaranya bersama insan paling istimewa dalam hidupnya, puteri tersayang, Fatima.
Lebih daripada sekadar versi baharu, “Raya Pum Pang Lagi” merupakan simbol kasih sayang dan kebersamaan antara ibu dan anak, dirakam daripada momen-momen kecil di rumah yang akhirnya berkembang menjadi sebuah karya rasmi yang penuh makna. Apa yang bermula sebagai nyanyian spontan seorang anak kecil kini diabadikan sebagai lagu yang bakal mewarnai Aidilfitri di seluruh negara.
“Sejujurnya, idea ini datang secara sangat natural. Tahun lepas bila ‘Raya Pum Pang’ dilancarkan, Fatima selalu ikut menyanyi di rumah. Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri. Dari situ saya terfikir, kenapa tidak jadikan memori kecil itu sesuatu yang lebih bermakna? ‘Raya Pum Pang Lagi’ bukan sekadar versi baharu, tetapi versi yang ada kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak,” ujar Fazura.
Kejujuran kisah di sebalik pembikinan lagu ini menjadi nadi utama yang membezakan “Raya Pum Pang Lagi” daripada karya perayaan lain. Ia bukan sahaja meraikan kemeriahan Syawal, malah merakam detik kasih sayang, keakraban dan memori keluarga yang sering tercipta tanpa dirancang.
Penampilan Fazura dan Fatima di pentas berprestij Jakel Fashion Show 2026 baru-baru ini turut mencuri perhatian khalayak, memperlihatkan hubungan erat ibu dan anak di hadapan umum. Walau mencetuskan spekulasi tentang kolaborasi istimewa, Fazura menegaskan bahawa lagu ini lahir daripada rasa hati, bukan strategi komersial.
“Momen itu memang sangat manis kerana kami dapat tampil bersama sebagai ibu dan anak di pentas besar. Namun lagu ini lahir daripada rasa peribadi saya tentang Raya dan keluarga. Jika ada jenama yang turut meraikan nilai kekeluargaan dan tradisi, itu satu bonus yang indah. Tetapi inti lagu ini tetap tentang kasih sayang dan memori dalam keluarga kami.”
Antara detik paling bermakna sepanjang proses pembikinan lagu ini ialah sesi rakaman di studio — saat Fatima berdiri di hadapan mikrofon sebagai sebahagian daripada karya rasmi.
“Masa sesi rakaman itu memang sangat comel. Fatima menyanyi dengan penuh yakin dan bangga, seolah-olah dia benar-benar faham bahawa dia sebahagian daripada lagu ini. Sebagai ibu, melihat dia berdiri di depan mikrofon dengan semangat begitu sangat menyentuh hati saya. Ia lebih daripada sekadar rakaman lagu — ia sebuah kenangan indah yang akan saya simpan selamanya.”
Menerusi “Raya Pum Pang Lagi”, Fazura berharap lagu ini menjadi latar kepada memori-memori baharu yang tercipta di setiap rumah sepanjang Aidilfitri. Lagu ini mengangkat mesej bahawa makna sebenar Syawal bukan terletak pada kesempurnaan luaran, tetapi pada insan-insan yang berkongsi detik tersebut bersama kita.
“Saya berharap apabila orang mendengar lagu ini, mereka teringat rumah, gelak tawa anak-anak dan momen kecil yang mungkin sering terlepas pandang. Raya bukan tentang baju cantik atau gambar sempurna semata-mata, tetapi tentang siapa yang berada di sisi kita ketika itu.”
Dengan gabungan melodi ceria, lirik yang dekat di hati serta kisah tulus di sebalik pembikinannya, “Raya Pum Pang Lagi” berpotensi menjadi lagu wajib sepanjang musim perayaan, sekali gus simbol kasih sayang abadi antara ibu dan anak.
“Raya Pum Pang Lagi” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 20 Februari 2026.





