Bella Astillah Rai Semangat Aidilfitri Menerusi Single Baharu “Ya Raya” Bersama Fipper
PENYANYI dan pelakon tersohor tanah air, Bella Astillah, kembali menyemarakkan landskap muzik tempatan dengan pelancaran single Aidilfitri terbaharunya berjudul “Ya Raya”. Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, karya istimewa ini hadir sebagai naskhah penuh warna yang meraikan keceriaan, kesyukuran dan keindahan kebersamaan sempena Syawal.
Ditulis oleh Rudeen serta dikompos oleh Rudeen dan Exactesy, dengan sentuhan produksi oleh Exactesy, “Ya Raya” menampilkan susunan muzik yang menyatukan elemen tradisional dan kontemporari secara harmoni. Hasilnya adalah sebuah lagu yang segar, moden dan relevan, namun tetap mengekalkan jiwa klasik Raya yang dekat di hati masyarakat Malaysia.
Menurut Bella Astillah, keterikatannya dengan lagu ini terjalin
Menurut Bella Astillah, keterikatannya dengan lagu ini terjalin seawal mendengar versi demo.
“Sejak pertama kali mendengar Ya Raya, saya terus rasa aura positifnya. Lagu ini menggambarkan suasana Raya yang penuh kesyukuran dan kegembiraan. Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza — di kampung atau di kota — tetapi nilai kebersamaan itu tetap sama. Lagu ini ringan, ceria dan membuatkan orang tersenyum setiap kali mendengarnya.”
Walaupun kedengaran bertenaga dan ceria, proses rakaman bukanlah tanpa cabaran. Bella mendedahkan beliau kurang sihat ketika sesi rakaman berlangsung.
“Cabaran utama adalah mengekalkan tenaga dan keceriaan vokal tanpa kedengaran dibuat-buat. Namun, bahagian korus memang sangat ‘catchy’ dan menyeronokkan. Suasana di studio juga sangat positif sehingga semua turut menyanyi bersama.”
Keistimewaan “Ya Raya” terserlah pada keseimbangan bunyi klasik dan moden yang menjadikannya bukan sekadar lagu perayaan, tetapi juga runut bunyi kepada momen-momen kecil penuh makna bersama insan tersayang.
Kolaborasi bersama Fipper pula mengangkat dimensi baharu terhadap konsep Raya sebagai satu gaya hidup.
“Bagi saya, Raya bukan hanya tentang muzik atau fesyen, tetapi keseluruhan pengalaman — perjalanan pulang ke kampung, pertemuan keluarga dan detik santai bersama sahabat. Fipper melambangkan keselesaan dan gaya yang dekat dengan kehidupan harian rakyat Malaysia. Gabungan muzik dan gaya hidup ini terasa sangat organik.”
Menurut wakil Fipper, pemilihan Bella Astillah sebagai wajah kolaborasi ini selari dengan nilai jenama yang menekankan keaslian, keselesaan dan keterhubungan dengan masyarakat pelbagai generasi. Lagu “Ya Raya” dipilih kerana emosinya yang tulen serta kemampuannya membangkitkan nostalgia dan kegembiraan Aidilfitri.
Fipper melihat muzik sebagai bahasa universal yang mencipta kenangan serta membina hubungan emosi, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Projek ini juga memperlihatkan evolusi Fipper daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup yang meraikan perjalanan harian dan momen istimewa pengguna.
Sementara itu, pihak Universal Music Malaysia menjelaskan bahawa pemilihan lagu dibuat melalui proses penilaian teliti oleh pasukan A&R, berdasarkan kekuatan melodi, lirik serta potensi komersial yang mampu benar-benar menjiwai semangat Syawal.
Menurut wakil A&R:
“Kami mahu menghasilkan lagu Raya yang tulen, mudah melekat di ingatan dan dekat di hati pendengar, tanpa elemen penjenamaan yang berlebihan. Kolaborasi ini memperkukuh sinergi antara industri muzik dan jenama tempatan secara autentik.”
Bella turut berharap agar “Ya Raya” menjadi lagu yang mengiringi detik-detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma.
“Mesejnya mudah — hargai masa bersama orang yang kita sayang. Raya datang setahun sekali. Gunakan waktu ini untuk memaafkan, bersyukur dan mencipta kenangan indah. Saya harap Ya Raya bukan sahaja menjadi lagu untuk tahun ini, tetapi untuk tahun-tahun mendatang.”
Single “Ya Raya” boleh distrim di semua platform digital bermula 13 Februari 2026.





