REVOLUSI AKTA RUMAH IBADAT

AKTA RUMAH IBADAT

Seminggu ini dok mengkaji, makanya hari ini dah bersedia nak buat Tusyen Subuh lagi.

Topik: Akta Rumah Ibadat.

Nak masuk kelas, perlu tarik nafas panjang. Letak emosi di luar tingkap. Kerana perlu mantik ketika membaca.

Baik kita mula. Bismillah…

Isu rumah ibadat tanpa kelulusan ini bukan isu baru. Ia sudah berdekad lamanya. Sejak zaman PMX menjadi TPM pada tahun 90-an sehingga hari ini, isu yang sama berulang tanpa penyelesaian.

Isu ini sensitif kerana sejarahnya juga sensitif.

Insiden Kerling dan insiden kuil di Pulau Pinang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan ketegangan kaum dan kehilangan nyawa.

Ramai masyarakat masih trauma. Sebab itu setiap kali isu ini timbul semula, emosi mudah panas. Takut pun ada. Risaukan anak2 kita.

Saya melihat perbahasan kebelakangan ini banyak merujuk kepada kes Sidek di Mahkamah Persekutuan. Hakikatnya, kes tersebut melibatkan fakta berbeza. Ia kes rumah setinggan, bukan rumah ibadat.

Dalam kes itu, Mahkamah menyentuh hak tuan tanah terhadap binaan haram sebagai isu sivil.

Tetapi dalam konteks rumah ibadat hari ini, wujud pertindihan antara isu sivil dan potensi kesalahan jenayah.

Ini kerana undang-undang jenayah Malaysia sendiri mempunyai peruntukan berkaitan tempat ibadat.

Di bawah Kanun Keseksaan antaranya:

✅ Seksyen 295
Memusnahkan atau merosakkan tempat ibadat dengan niat menghina agama adalah kesalahan jenayah.

✅ Seksyen 296
Mengganggu perhimpunan agama secara sengaja.

✅ Seksyen 297
Menceroboh tempat ibadat atau kawasan perkuburan dengan niat menghina agama.

✅ Seksyen 425 & 427
Kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan harta.

Maknanya, apabila melibatkan rumah ibadat, tindakan merobohkan tanpa pengurusan yang betul boleh menimbulkan implikasi jenayah, walaupun asalnya pertikaian sivil atau niatnya baik.

Sebab itu, apabila isu seperti ini berlaku, tuan tanah atau mana-mana pihak tidak wajar mengambil tindakan sendiri. Libatkan pihak berkuasa dan polis terlebih dahulu.

REALITINYA

Isu ini berlarutan berdekad kerana penguatkuasaan lewat, tindakan tidak konsisten, dan kegagalan menyelesaikan masalah di peringkat awal oleh PBT dan agensi berkaitan.

Kita dah berbuih mulut, bangkitkan isu ini. Salah menyalah berpanjangan.

Namun kita dididik, usah cari salah, elok cari solusi.

CADANGAN: AKTA RUMAH IBADAT

Banyak negara telah lama mengurus isu ini secara tersusun. Indonesia, Singapura dan United Kingdom tidak mengawal agama. Mereka mengawal premis dan perancangan melalui undang-undang perancangan bandar masing-masing.

Sebagai contoh:

♦️Di United Kingdom, pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada Town and Country Planning Act 1990, yang mewajibkan kelulusan perancangan tempatan sebelum sesuatu premis digunakan sebagai tempat ibadat.

♦️Di Singapura, kawal selia dibuat di bawah Planning Act dan garis panduan Urban Redevelopment Authority (URA), termasuk zon khas bagi rumah ibadat dan kawalan kesesakan serta keselamatan kawasan.

♦️Di Indonesia, kerajaan memperkenalkan Peraturan Bersama Menteri (PBM) Tahun 2006 bagi mengawal pembinaan rumah ibadat untuk mengelakkan konflik komuniti.

Tapi Malaysia masih bergantung kepada undang2 yang longgar dan kes dari milenia terdahulu.

Ada yang dah start kaji ni harap adalah pegawai2 gomen boleh bisik2 pada Menteri.

Ambillah part yang boleh disesuaikan untuk Malaysia. Yang penting kena faham niatnya untuk mengawal premis bukan mengawal agama.

Antara intipati model yang boleh diceduk:

🟦 Kelulusan Perancangan Wajib
Semua pembinaan atau penukaran bangunan kepada rumah ibadat mesti mendapat kelulusan PBT terlebih dahulu. Sekarang ni masjid je kena. Premis lain seperti bebas pula.

🟦 Kesalahan Membina Tanpa Kelulusan
Pembinaan atau penggunaan rumah ibadat tanpa kelulusan merupakan satu kesalahan, boleh kena denda dan penjara.

🟦 Panel Penasihat Premis Keagamaan
Panel teknikal di peringkat negeri bagi menilai aspek keselamatan, perancangan, kesesuaian kawasan dan ketenteraman awam, tanpa veto agama.

🟦 Penguatkuasaan Berperingkat
Notis, Mediasi, Tempoh pematuhan hinggalah Tindakan terakhir termasuk perobohan boleh dibuat.

🟦 Daftar Nasional Rumah Ibadat
Supaya isu sama tidak berulang setiap dekad.

PENUTUP

Isu rumah ibadat bukan isu agama semata-mata ya….
Ia isu pengurusan negara.

Selagi tiada kerangka undang-undang yang jelas, isu yang sama akan terus berulang. Setiap dekad kita akan kembali kepada polemik yang sama.

Emosi melawan emosi, masyarakat melawan masyarakat, sedangkan puncanya ialah kelompongan sistem dan penguatkuasaan.

Cadangan Akta Rumah Ibadat bukan bertujuan meruntuhkan mana-mana rumah ibadat. Ia untuk memastikan rumah ibadat dikawal selia, diurus dengan baik, dan tidak lagi menjadi punca pertelingkahan antara rakyat.

Mudah-mudahan ada kepimpinan yang berani melihat isu ini sebagai tanggungjawab negara, bukan sekadar polemik semasa.

Pada siapa2 di kayangan sana, pohon pertimbangan jua. Sama2 kita selesaikan isu berdekad lama.

Salam hormat,
Liyana Marzuki

NB: Penulis merupakan bekas Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara. Sejak tahun 2020, membantu formulasi beberapa undang2 termasuk Pindaan Akta Persaingan, Lemon Law dan Akta Dana Politik. 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *