PWIP & MAIS Anjur Program Era Siber: Perkukuh Akidah, Pendorong Ibadah
Meningkatkan Kesedaran Umat Islam Terhadap Ancaman Akidah dalam Landskap Digital
PERSATUAN Wanita Islam Prihatin (PWIP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah berjaya menganjurkan program ilmiah bertajuk Era Siber: Perkukuh Akidah, Pendorong Ibadah, bertempat di Auditorium Yayasan Restu, Shah Alam pada 29 Januari lalu,
Program berimpak tinggi ini menghimpunkan para ilmuwan, pendakwah dan masyarakat umum bagi membincangkan cabaran serta ancaman terhadap akidah umat Islam dalam era siber yang semakin kompleks dan mencabar. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PWIP dan MAIS dalam memperkukuh kefahaman akidah serta membina ketahanan spiritual masyarakat Islam, khususnya dalam menghadapi pengaruh media sosial dan dunia digital tanpa sempadan.
Program ini menampilkan barisan panel pakar berwibawa terdiri daripada Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Ustaz Yaakub Yusra, Akhi Fairuz Al-Jengkawi, serta dikendalikan oleh moderator tersohor, Da’i Annas. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datin Paduka Saudah Sulaiman, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita MAIS.
Objektif Penganjuran
Program Era Siber ini dirangka dengan beberapa objektif utama, antaranya:
Mendidik masyarakat Islam agar memahami unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah.
Meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap ancaman penyelewengan akidah dalam era digital.
Menggalakkan ibu bapa dan pendidik untuk lebih peka terhadap pengaruh dunia siber terhadap akidah dan akhlak anak-anak serta pelajar.
Mengajak masyarakat menjauhi unsur kesesatan akidah dan fahaman melampau (ghuluw) di media sosial.
Memberi panduan dalam mengenali serta menangani isu-isu akidah yang tersebar melalui platform digital.
Memperkukuh jati diri umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif songsang dan fahaman menyeleweng.
Komitmen Berterusan PWIP
Sementara itu, Puan Hajah Mashita Abdul Rahim, Pengerusi Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP), melahirkan rasa syukur dan gembira atas sambutan memberangsangkan yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami amat berbesar hati melihat kehadiran dan keterlibatan peserta dalam suasana yang santai, ilmiah dan penuh ukhwah. PWIP berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan tema-tema yang lebih segar dan relevan bagi menyemai iltizam masyarakat terhadap pengukuhan akidah,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa PWIP sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjayakan program berteraskan ilmu dan kesedaran masyarakat.
“Dalam kemelut kehidupan moden yang sarat dengan cabaran, budaya saling mengingatkan dan berpesan-pesan ke arah kebaikan adalah kunci kepada kesejahteraan dan kesempurnaan hidup umat Islam,” tambah beliau lagi.
Tentang Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP)
Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited dalam memperkasa masyarakat melalui pendekatan kebajikan, pendidikan dan pembangunan akidah. Objektif utama PWIP merangkumi:
Menyumbang kepada pembangunan ekonomi anak yatim, ibu tunggal dan golongan kurang upaya melalui pemerkasaan ilmu dan potensi jasmani serta rohani.
Menyalurkan bantuan kepada murid yatim, asnaf dan tahfiz dalam bentuk kewangan, kem motivasi dan tuisyen.
Membantu golongan fakir miskin serta menyediakan bantuan makanan kepada gelandangan.
Menggerakkan misi bantuan semasa bencana alam dan situasi kecemasan.
Menyediakan sokongan kewangan dan kepakaran kepada pesakit kronik yang memerlukan.
Membina dan mengukuhkan akidah golongan mualaf di Malaysia.
Menyokong pembinaan masjid, surau, madrasah, rumah anak yatim dan sekolah tahfiz.





