DARI HONG KONG KE TOKYO KE KUALA LUMPUR : JEFFREY JEFFERY PIMPIN ROAD TO VENDETTA

Kerjasama Hong Kong–Jepun Angkat Filem Aksi Bergaya
Road to Vendetta Bakal Ditayangkan di Malaysia Bermula 11 Disember 2025
Jeffrey Jeffery Cipta Penampilan Sulung di Kuala Lumpur

FILEM aksi berprofil tinggi hasil kerjasama industri perfileman Hong Kong dan Jepun, Road to Vendetta, bakal menemui penonton Malaysia di pawagam seluruh negara bermula 11 Disember 2025. Filem ini ditulis dan diarahkan oleh pengarah muda Hong Kong yang kian mencuri perhatian, Njo Kui Ying, selepas melalui tempoh pembangunan intensif selama tujuh tahun.

Diterbitkan dengan skala produksi yang besar dan pendekatan visual bergaya, Road to Vendetta menarik perhatian serantau bukan sahaja kerana gabungan dua kuasa perfileman Asia, malah kerana pelakon utamanya, Jeffrey Jeffery, yang sering menjadi perbualan hangat peminat kerana aura serta raut wajahnya yang mengingatkan kepada bintang Hong Kong era awal 2000-an, Edison Chan.

Bagi menyokong pelancaran rasmi filem ini di Malaysia, Jeffrey Jeffery dijadualkan berada di Kuala Lumpur sempena tayangan perdana, sekaligus menandakan penampilan sulung beliau di ibu negara. Kehadirannya akan diserikan dengan siri jelajah promosi yang merangkumi sesi interaksi bersama peminat, penampilan khas di pawagam terpilih serta tayangan tertentu. Penonton bertuah juga berpeluang memenangi poster eksklusif dan barangan rasmi bertandatangan. Maklumat lanjut akan dikongsikan menerusi saluran media sosial rasmi mm2 Entertainment Malaysia.

Menandakan peranan utama pertama Jeffrey Jeffery di layar perak, Road to Vendetta telah menerima lima pencalonan di Golden Horse Awards ke-62, termasuk Reka Bentuk Aksi Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik — satu pengiktirafan signifikan terhadap mutu produksi, koreografi aksi dan kehalusan teknikal filem ini.

Jeffery digandingkan bersama pelakon muda Jepun yang semakin mencipta nama, Sara Minami, dikenali menerusi karya seperti Nevertheless: The Shape of Love dan From Me to You: Kimi ni Todoke. Sebelum ini, Jeffery turut terlibat dalam filem berskala besar seperti Cesium Fallout bersama Andy Lau dan Little Red Sweet bersama Simon Yam, mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat baharu paling menonjol dalam industri perfileman Asia.

Dalam naratif filem ini, kedua-dua watak bermula sebagai orang asing yang disatukan melalui urusan pembeli–penjual, sebelum membentuk satu kerjasama yang tidak dijangka. Perbezaan bahasa dan latar budaya menjadi elemen menarik, menghasilkan interaksi spontan yang segar, lucu dan sarat nuansa silang budaya di layar perak.

.

Road to Vendetta mengisahkan Assassin No. 4, seorang pembunuh upahan profesional yang terperangkap bersama seorang wanita misteri yang dibelenggu dendam silam. Di sebalik letupan aksi dan ketegangan psikologi, filem ini mengangkat persoalan mendalam — mampukah nilai kemanusiaan terus bertahan di sudut paling gelap dunia pembunuh upahan?

Bagi mengekalkan identiti Hong Kong yang autentik, produksi ini menampilkan elemen lokal yang kreatif, termasuk penggunaan slip pesanan restoran gaya Hong Kong sebagai sistem kod rahsia, serta babak pertarungan berskala besar di atas tram ikonik Hong Kong, memberikan sentuhan visual yang unik dan berkarakter.

Rekaan aksi diterajui oleh pengarah aksi Jepun terkenal, Koichi Sakamoto (Kamen Rider), yang menggabungkan koreografi pantas dan tajam dengan gaya aksi klasik Hong Kong. Jeffrey Jeffery turut menjalani latihan intensif bagi memastikan setiap babak aksi tampil meyakinkan dan berimpak tinggi. Barisan pelakon turut diperkukuhkan dengan kehadiran Chu Pak Him (Crisis Negotiators) dan Rosa Maria Velasco (Time Still Turns the Pages, The Last Dance).

Road to Vendetta akan mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 11 Disember 2025.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *