SHILA AMZAH RAYAKAN LEGASI SENI MELALUI ALBUM MEGA ‘SA25’

SHILA AMZAH LANCAR ALBUM ‘SA25’:
25 TAHUN PERJALANAN SENI DALAM SATU NARATIF MUZIK PENUH EMOSI

 PENYANYI tersohor tanah air, Shila Amzah kembali dengan karya paling peribadi dan paling signifikan sepanjang kerjayanya — SA25, sebuah album penuh yang merangkumi perjalanan seni selama 25 tahun, sejak pertama kali muncul pada tahun 2000.

Album SA25 hadir dengan 10 lagu baharu, 1 lagu remake serta empat bonus track yang merangkumi bab-bab penting dalam kehidupan, kerjaya, dan evolusi seni Shila. Menurutnya, judul SA25 membawa makna mendalam: “SA ialah Shila Amzah, dan 25 melambangkan ulang tahun saya sebagai anak seni. Ini fasa paling matang dan paling jujur dalam hidup saya.”

JURNAL PERIBADI DALAM BENTUK MUZIK

Shila tampil lebih matang sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik. Setiap lagu dirakam secara jujur, antara yang ditulis beberapa tahun lalu seperti “Tinggal Kenangan” (2017), dan selebihnya karya baharu yang menggambarkan pengalaman hidup sebenar.

“Album ini bukan kompilasi semata-mata, ia jurnal hidup saya. Walaupun saya berkolaborasi dengan beberapa komposer, DNA muzik saya tetap kekal kerana mereka semua mengenali saya — sebagai sahabat dan sebagai pengkarya,” jelas Shila.

 

“SIRNA HATI” — KISAH PEDIH YANG DIJADIKAN LAGU

Antara lagu paling mencabar untuk disiapkan ialah “Sirna Hati”, yang mengangkat kisah penderaan emosi dan fizikal yang pernah dialami.

“Menulisnya seperti membuka semula luka. Tetapi Ubai (suami) yang membantu saya menyelesaikannya — ibarat menutup diari lama untuk selamanya,” katanya.

Lagu-lagu paling dekat di hati Shila pula ialah “Kamu”, “Untukmu” (ditulis khas buat suami) serta “Pernah Punya Aku”, yang menjadi single pertama SA25 dan kini merupakan naib juara carta ERA 40 selain pernah menjuarai Muzik Muzik 40 selama tiga minggu berturut-turut.

TENAGA SENI YANG SETIA DI BELAKANG SHILA

Album ini turut menggabungkan sentuhan beberapa individu yang lama bersama Shila, termasuk Izzy Musa, Raja Nazrin Shah dan Ubai sendiri. Kolaborasi ini dipilih berdasarkan kepercayaan, persahabatan dan kefahaman mendalam terhadap perjalanan sebenar Shila.

Empat bonus track pula dipilih berdasarkan nilai sentimental dan impak dalam hidup beliau:

  • “Penyejuk Hati” — ditulis untuk anaknya, Seth Uwais

  • “Jauh Hati” — simbol kekuatan baharu

  • “Tiada Dirimu” — dirakam ketika hamil, dan membuka kerjasama bersama Seventeen Eleven Music & Nova Music

  • “Khilaf Asmara” — ditulis Amylea Azizan selepas Shila melahirkan anak pertama

Shila turut merakam semula lagu ikoniknya, “Memori Tercipta”, dengan interpretasi baharu. “Bukan menggantikan versi lama, tetapi meraikan perjalanan yang sudah saya lalui,” ujarnya.

SA25: SATU PERKATAAN — KEKUATAN

Jika perlu dirumuskan dalam satu perkataan, Shila menggambarkan SA25 sebagai kekuatan.

“Setiap lagu membawa mesej bangkit daripada kecurangan, trauma, kehilangan dan luka lama. Album ini adalah emosi dalam bentuk seni.”

Beliau turut mengumumkan bahawa jelajah “SA25 Tour” sedang dirancang, dengan konsert terdekat bakal berlangsung pada 9 Mei 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

PELAN PELANCARAN

Album SA25, diterbitkan oleh Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment, akan tersedia dalam:

  • Bentuk fizikal di platform e-dagang

  • Platform digital mulai 25 November 2025

Video muzik rasmi “Tinggal Kenangan”, single kedua SA25, akan ditayangkan perdana pada hari yang sama jam 8 malam di saluran YouTube Nova Music Video.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *