UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA AMBIL LANGKAH TEGAS MENARIK BALIK VIDEO MUZIK TERBAHARU DOLLA
UNIVERSAL Music Malaysia mengambil perhatian penuh terhadap kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam video muzik terbaharu mereka yang didakwa tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Pihak syarikat turut mengambil maklum kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang menyuarakan keprihatinan terhadap kandungan tersebut.
Sehubungan itu, Universal Music Malaysia dengan penuh rasa tanggungjawab telah mengambil keputusan untuk menarik balik video muzik berkenaan daripada semua platform digital, sebagai langkah proaktif demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta menghormati nilai budaya dan sensitiviti agama di negara ini.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat selepas penelitian komprehensif terhadap keseluruhan elemen produksi serta menimbangkan maklum balas masyarakat.
“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam lanskap budaya yang pelbagai, kami sentiasa mengutamakan rasa hormat terhadap nilai tempatan, sensitiviti agama dan pandangan para peminat. Kami amat menghargai setiap teguran serta pandangan yang diterima, dan bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni wajar bergerak seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Justeru, keputusan untuk menarik balik video muzik ini adalah langkah paling wajar bagi memastikan keharmonian serta rasa saling menghormati terus terpelihara,” katanya.
Universal Music Malaysia turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh proses penilaian kandungan pada masa hadapan, termasuk kawal selia dalaman yang lebih ketat serta konsultasi profesional bagi memastikan setiap penerbitan mematuhi asas sensitiviti budaya dan nilai masyarakat Malaysia.
Pihak syarikat merakamkan penghargaan kepada semua peminat dan masyarakat atas maklum balas yang diberikan secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh hikmah tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan industri muzik secara keseluruhan.





