PANTERA R1 & R2 : SIMBOL EVOLUSI MOBILITI ELEKTRIK MALAYSIA

 

GGR MOTOR PERKENAL PROTOTYPE MOTOSIKAL ELEKTRIK JARAK JAUH PERTAMA BUATAN TEMPATAN — PANTERA R1 & R2

 SYARIKAT automotif tempatan, GGR Legacy (M) Sdn. Bhd., yang lebih dikenali sebagai GGR Motor, hari ini mencipta sejarah tersendiri dengan memperkenalkan prototype motosikal elektrik jarak jauh pertama rekaan dan pemasangan tempatan — Pantera R1 dan Pantera R2.

Model baharu ini hadir dengan keupayaan perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh, sekali gus meletakkan GGR Motor sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi mobiliti hijau tempatan.

Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, diiringi oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sempena program MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025) di Bukit Jalil. Turut hadir ialah Pengarah PMH Motor Sdn. Bhd., Mohd Izwan Mazlan, Profesor Dr Nizar Abd Jalil, serta rakan kongsi strategik GGR Motor termasuk dua figura seni terkenal, Johan dan Ajak Shiro.


Revolusi Mobiliti Elektrik Buatan Malaysia

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, penghasilan Pantera R1 dan R2 adalah simbol kemampuan anak tempatan dalam menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

“Pantera R1 dan R2 menjadi penanda aras baharu bagi industri EV Malaysia. Ia bukan sekadar motosikal elektrik, tetapi lambang kemajuan teknologi buatan tempatan yang praktikal, efisien, dan berdaya saing,” katanya.

Dilengkapi dua unit bateri berkapasiti 73.8V / 116Ah, model ini mampu mencapai kelajuan antara 110 hingga 150 km/jam, serta menyokong sistem fast charging yang membolehkan bateri dicas penuh dalam hanya 30 minit.
Sistem bateri fleksibel membolehkan pengguna mengecas di rumah atau menukar bateri di stesen swap, menjadikan ia lebih mudah, cepat dan menjimatkan masa.

“Pantera direka untuk rakyat. Ia menjimatkan kos, mesra alam dan mampu memberi manfaat ekonomi jangka panjang, khususnya kepada golongan penghantar e-hailing dan usahawan mikro,” ujar Musaddiq.


Fokus kepada Komuniti E-Hailing dan Usahawan Mikro

GGR Motor memberi tumpuan kepada segmen pengguna e-hailing sebagai kumpulan utama penerima manfaat. Berdasarkan analisis kos, penggunaan motosikal elektrik seperti Pantera mampu menjimatkan sehingga 60% perbelanjaan operasi harian berbanding motosikal petrol konvensional.

Bagi memudahkan pemilikan, GGR Motor turut memperkenalkan skim pembiayaan mudah dengan deposit rendah serta ansuran fleksibel, manakala harga jualan rasmi dijangka di bawah RM10,000, menjadikannya antara motosikal elektrik paling mampu milik dalam pasaran apabila dilancarkan secara rasmi pada tahun 2026.


Pembangunan Ekosistem dan Kolaborasi Strategik

Pelaksanaan projek ini akan berlangsung dalam dua fasa utama:

  • Fasa 1 (Oktober–Disember 2025): Pembinaan ekosistem charging point dan swap station di lokasi tumpuan utama seluruh negara.

  • Fasa 2 (Januari 2026): Pembukaan pra-tempahan (pre-order) kepada komuniti e-hailing dan orang awam.

Musaddiq menjelaskan, GGR kini dalam proses menjalin kolaborasi strategik bersama syarikat korporat dan swasta seperti rangkaian runcit, kafe dan stesen minyak bagi memperluas infrastruktur pengecasan di seluruh Malaysia.

“Kami sedang membina rangkaian ekosistem yang mampan. Setiap rakan kolaborasi berpeluang menjadi hab mini swap station di premis mereka. Ini bukan projek satu syarikat — ini adalah usaha membina masa depan industri EV negara,” jelas beliau.

Selain itu, GGR turut memperkenalkan konsep inovatif ‘Subscription Swap Station’, yang memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk menjadi rakan niaga dalam sistem pertukaran bateri berasaskan langganan. Pengendali premis akan menerima komisen tetap bagi setiap pertukaran bateri, sekaligus membuka peluang pendapatan baharu kepada usahawan tempatan.


Mengukuhkan Jejak Pasaran dan Arah Masa Depan

Model terdahulu keluaran GGR Motor, Lion G1, telah mencatat kejayaan dengan lebih 8,000 unit terjual, membuktikan permintaan tinggi terhadap kenderaan elektrik tempatan.

Kini, menerusi Pantera R1 dan R2, GGR Motor berhasrat memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju utama industri EV tempatan. Pusat perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti akan disediakan melalui supermarket rasmi GGR Motor di Sungai Penchala, Damansara, manakala PMH Motor Sdn. Bhd. di Alor Setar dilantik sebagai Master Dealer Wilayah Utara.

Selain Johan dan Ajak Shiro, Farid Kamil turut menjadi rakan niaga rasmi menerusi cawangan GGR X Farid Kamil, memperkukuh jaringan GGR Motor di seluruh negara.

Menjelang 2026, GGR turut membuka peluang kepada usahawan dan pengedar baharu untuk menyertai rangkaian pengedaran motosikal EV GGR di seluruh Malaysia, dengan visi jangka panjang untuk menembusi pasaran Asia sebagai destinasi eksport utama.


“Pelancaran Pantera R1 dan R2 bukan sekadar memperkenalkan model baharu, tetapi mencipta ekosistem baharu industri EV Malaysia. Kami mahu memastikan teknologi, infrastruktur dan peluang ekonomi bergerak seiring,” kata Musaddiq mengakhiri ucapan beliau.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *