ZARA ZYA KEMBALI DENGAN SINGLE TERBAHARU “TERPATRI CINTA”
Kisah Cinta Berpaksi Reda, Ikhlas dan Abadi Dalam Doa
NAMA yang tidak asing dalam dunia lakonan dan seni suara, Zara Zya, kembali menyerikan pentas muzik tempatan dengan buah tangan terbaharunya berjudul “Terpatri Cinta”, sebuah karya penuh jiwa ciptaan sepenuhnya oleh Wanns Ahmad — komposer dan penulis lirik yang terkenal dengan keindahan melodi beremosi.
Mengangkat tema cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Ilahi, Terpatri Cinta memperlihatkan sisi lembut, matang dan spiritual Zara, memadukan sentuhan romantik dengan elemen keagamaan yang halus dan menyentuh rasa.
“Pertama kali saya baca lirik dan dengar melodinya, hati saya terus tertarik. Lagu ini ada jiwa yang lembut, tapi bukan sekadar kisah kasih manusia — ia tentang cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah,” ujar Zara penuh makna.
Cinta Sebagai Doa
Sebahagian bait lagu ini begitu dekat dengan perjalanan peribadi Zara sebagai seorang wanita dan insan seni.
“Ada bahagian dalam lagu ini yang benar-benar menyentuh pengalaman hidup saya. Ia bukan sekadar kisah cinta, tetapi perjalanan hati tentang bagaimana cinta itu boleh menjadi doa,” katanya.
Melalui Terpatri Cinta, Zara ingin menyampaikan mesej bahawa cinta yang paling indah ialah cinta yang disucikan dengan niat yang betul — sebuah kasih yang bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang berpaut menuju syurga bersama.
“Terpatri Cinta membawa mesej bahawa kasih yang halal dan diberkati bukan sekadar romantika, tetapi perjalanan spiritual dua jiwa yang saling mendekatkan diri kepada Tuhan,” jelas Zara.
Kesederhanaan yang Sarat Emosi
Dari aspek produksi, Zara memilih Terpatri Cinta kerana keunikannya yang tidak berlebihan, namun padat dengan emosi tulus. Proses rakaman yang berlangsung hampir sebulan berjalan dengan lancar bersama Wanns Ahmad, yang disifatkannya sebagai komposer yang memahami jiwanya.
“Wanns sangat memahami jiwa saya. Dia tak hanya fikir soal teknik, tapi lebih kepada rasa. Dia tahu saya bukan penyanyi profesional, jadi proses rakaman pun sangat santai dan penuh keikhlasan,” kongsi Zara.
Namun begitu, cabaran utama bagi Zara adalah mengawal emosi ketika menyampaikan bait-bait lirik yang begitu dekat dengan jiwanya.
“Ada bahagian lagu ni yang terlalu dekat dengan hati saya sampai suara pun bergetar. Kadang-kadang rasa tak yakin dengan diri sendiri,” katanya jujur.
Muzik Video Minimalis, Rasa Maksimal
Lebih menarik, Terpatri Cinta turut hadir bersama muzik video rasmi berkonsep minimalis dan elegan, memberi fokus kepada ekspresi emosi dan ketulusan penyampaian berbanding visual berlebihan. Muzik video ini turut menerima tajaan istimewa daripada Datuk Alha Alfa.
“Konsep muzik video ini sangat sederhana tapi sarat dengan rasa. Saya nak penonton fokus pada mesej dan emosi, bukan sekadar visual semata-mata,” ujar Zara penuh penghargaan.
Apabila diminta menggambarkan lagu ini dalam satu perkataan, Zara menjawab tanpa ragu —
“Abadi. Cinta yang abadi kerana Allah.”
Harapan dan Doa
Sebagai penutup, Zara menzahirkan harapan agar Terpatri Cinta bukan hanya menjadi halwa telinga, tetapi juga penawar jiwa buat pendengar yang sedang mencari makna cinta sejati.
“Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya. Kalau ada yang rasa tenang, terubat atau tersenyum selepas mendengar lagu ini — itu sudah cukup bermakna bagi saya. Terpatri Cinta bukan sekadar lagu, tapi doa kecil tentang cinta abadi,” katanya menutup bicara.
Single Terpatri Cinta, yang dilancarkan bersempena hari lahir Zara Zya pada 22 Oktober lalu, kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik utama. Muzik video rasmi juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music melalui pautan berikut: https://youtu.be/4yn0FbkulsQ?si=NlwqjDkOxrP2C2xs





