Craig David Kembali Menggegarkan Malaysia dengan Konsert Eksklusif “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” – 10 November 2025 di Mega Star Arena
Raja R&B dan UK Garage dari United Kingdom, Craig David, bakal kembali memukau peminat Malaysia menerusi konsert eksklusif “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur”, yang akan berlangsung pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Kemunculan ini menandakan kepulangan Craig David ke Malaysia selepas lebih sedekad, sekali gus mengubat kerinduan para peminat yang telah mengikuti perjalanan seninya sejak awal milenium. Lebih istimewa, persembahan ini diadakan bersempena pelancaran album studio ke-9 beliau berjudul Commitment, yang dijadualkan menemui peminat pada 8 Ogos 2025.
Album Commitment digarap sebagai karya paling peribadi Craig David setakat ini, mengupas tema pencarian makna komitmen dan evolusi dirinya sebagai seorang artis. Ia turut menampilkan kolaborasi dengan nama-nama besar antarabangsa seperti Tiwa Savage, JoJo, dan Louisa Johnson. Dari segi muzik, Commitment memadukan nuansa nostalgik era Born To Do It dengan sentuhan moden yang segar dan relevan.
Konsert ini akan mempersembahkan konsep istimewa TS5 – gabungan persembahan vokal langsung dan set DJ yang telah mencipta fenomena global sejak diperkenalkan pada 2012. Bermula sebagai siaran radio dari apartmen Craig David di Miami, TS5 kini telah menawan pentas-pentas ternama dunia termasuk Ibiza, Dubai, London dan Tokyo – dan buat pertama kalinya, Malaysia bakal menjadi destinasi terbaharu.
Penonton dijanjikan malam penuh tenaga dan karisma, dengan rangkaian lagu ikonik Craig David yang merentasi lebih dua dekad, termasuk Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What’s Your Flava dan When The Bassline Drops.
Sejak kemunculannya melalui kolaborasi bersama Artful Dodger dalam Re-Rewind, Craig David melonjak ke puncak populariti dengan single solo pertamanya, Fill Me In, menjadikannya artis solo lelaki termuda yang menduduki tangga teratas carta UK. Album debutnya, Born To Do It (2000), terjual lebih 7 juta unit di seluruh dunia, dan diiktiraf oleh MTV dan The Guardian sebagai salah satu album terbaik sepanjang zaman.
Dengan lebih 13 juta album terjual, Craig David telah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk 3 Ivor Novello Awards, 2 MTV Europe Music Awards, dan 14 pencalonan BRIT Awards. Pada tahun 2021, beliau turut dianugerahkan gelaran MBE oleh mendiang Ratu Elizabeth II atas sumbangannya dalam bidang muzik dan kebajikan.
Tiket untuk “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” akan mula dijual dalam masa terdekat. Peminat disarankan untuk mengikuti pengumuman rasmi penganjur bagi mendapatkan maklumat lanjut dan memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan yang dijangka menjadi antara konsert paling berprestij dan hangat tahun ini.
Maklumat lanjut:
Twitter – @craigdavid / @ts5
Instagram – @craigdavid / @ts5
Facebook – Craig David Official / TS5 Official





