AMIR MASDI PERKENAL ‘BAKAL KEKASIH’

AMIR MASDI TAMPIL LEBIH TERBUKA DALAM “BAKAL KEKASIH” – NAFAS BAHARU ROCK & ROLL PENUH KEJUJURAN

 PENYANYI berbakat besar, Amir Masdi, kembali mencuri tumpuan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Bakal Kekasih”. Menariknya, karya ini bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi hadir dengan naratif peribadi yang pertama kali dikongsi Amir secara terbuka kepada peminatnya.

Dikenali dengan vokal lantang dan kehadiran pentas yang bertenaga, Amir yang kini berusia 29 tahun, menyifatkan Bakal Kekasih sebagai satu bentuk luahan hati mengenai wanita istimewa yang berjaya menambat perasaannya.

“Saya tulis lagu ini sebagai lagu yang ‘fun’ tentang rasa suka pada seseorang. Tetapi Cikgu Edry Abdul Halim mencadangkan agar ia diperkembangkan menjadi kisah yang lebih bermakna — tentang seseorang yang kita ingin jadikan pasangan hidup. Itu idea yang sangat kuat dan boleh dirasai semua orang,” jelas Amir, yang turut terbabit dalam penulisan lagu tersebut bersama Edry.

KEMATANGAN MUZIKAL DAN TRANSISI GENRE

Lebih istimewa, Bakal Kekasih menandakan kemunculan pertama Amir dalam genre rock and roll, memperlihatkan keberanian serta kematangan artistiknya. Lagu ini merupakan single keempat daripada album A.M P.M (Side A.M) selepas kejayaan Nur Cinta, Calar dan Langit Biru.

“Sebenarnya saya sudah tulis lagu ini selepas PKP, tapi ia hanya tersimpan dalam telefon saya. Ketika berbincang tentang hala tuju album, saya nyatakan kepada Cikgu Edry keinginan untuk ada lagu rock and roll, dan beliau terus bersetuju selepas mendengar demo asal. Dari situlah, Bakal Kekasih dilahirkan secara rasmi,” ujar Amir.

MESEJ UNIVERSAL DAN GAYA VISUAL RETRO

Dengan gaya penulisan yang jujur dan langsung, Amir berharap lagu ini mampu menjadi medium untuk mereka yang menyimpan perasaan terhadap seseorang tetapi tidak tahu cara untuk meluahkannya.

“Kalau ada sesiapa yang ada ‘crush’ tapi tak berani luahkan, gunakan saja lagu ini. Liriknya ringkas, terus dan menyeronokkan,” katanya sambil tersenyum.

Video muzik rasmi Bakal Kekasih turut dirakam di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom, yang menampilkan konsep ‘free and easy’ ala High School Musical dan Uptown Girl, dengan elemen visual yang ceria dan penuh semangat remaja.

“Saya mahukan suasana bertenaga dan ‘teenage vibes’. Rock and roll bukan hanya tentang muzik, tetapi tentang gaya dan emosi yang menghidupkan semula semangat muzik klasik. Saya harap lagu ini akan mengubat rindu peminat terhadap genre tersebut,” tambah Amir.

STRIM & TONTON SEKARANG

Single Bakal Kekasih kini boleh distrim di semua platform digital utama, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube AR United Music melalui pautan:
🎥 https://youtu.be/zE_0Q2x7NF8?si=ulxcXpAEtGh49r2B

#BakalKekasih #AmirMasdi #RockAndRollRevival

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *