ISMAIL IZZANI – TENGGELAM BUKAN CINTA BIASA

ISMAIL IZZANI PERKENAL ERA BAHARU MUZIK DENGAN SINGLE EMOTIF “TENGGELAM”
 
Bintang muda sensasi, Ismail Izzani, kembali mewarnai landskap muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Tenggelam” – sebuah karya yang memperlihatkan kematangan artistiknya dalam menzahirkan emosi cinta secara mendalam dan simbolik, disulami melodi pop moden yang memikat.
 
“Tenggelam” bukan sekadar lagu cinta biasa. Ia adalah manifestasi rasa yang tulus, digarap dalam gubahan yang menyentuh hati, hasil kolaborasi kreatif antara Ismail dan Brendan Lim Seng Meng sebagai penulis lirik, bersama komposer Amanda Gnai Song Hui dan Brendan. Lagu ini turut menerima sentuhan produksi eksklusif daripada pasukan muzik terkemuka, MFMF., yang terkenal dengan sentuhan sonik berkelas dan segar.
 
“Lagu ini mengangkat tema cinta yang membalut jiwa – bukan kesedihan, tetapi keindahan tenggelam dalam rasa yang menyeluruh apabila bertemu seseorang yang benar-benar memahami kita,” jelas Ismail, yang turut menyumbang secara signifikan dalam proses penulisan lirik dan pembentukan ‘hook’ utama lagu.
 
Proses kreatifnya juga luar biasa. Dalam sesi studio pertamanya bersama MFMF., inspirasi hadir secara organik dan ekspresif. “Segalanya mengalir dengan sangat semula jadi. Beat pertama yang dimainkan terus membakar idea. Saya rasa bersyukur kerana dapat mencurahkan banyak daripada diri saya sendiri ke dalam lagu ini,” tambahnya.
 
Kembali bekerjasama dengan nama-nama penting dalam perjalanan awal kerjayanya seperti Ghazi Maslan dan Lily, Ismail menganggap pengalaman ini sebagai pertemuan semula yang penuh makna dan simbolik – seolah-olah menandakan permulaan babak baharu dalam karier muziknya.
 
Muzik video rasmi “Tenggelam” pula tampil berani dengan pendekatan visual yang berbeza – tiada naratif konvensional, sebaliknya menekankan mood, ekspresi dan aura Y2K yang kuat. “Kami bermula seawal 4 pagi dan hasilnya luar biasa. Ia bukan sekadar rakaman, tapi sebuah terjemahan perasaan melalui visual,” kata Ismail, yang teruja dengan ilham-ilham spontan sepanjang sesi penggambaran.
 
Ismail kekal rendah hati namun penuh harapan. “Saya ingin peminat merasai getaran jujur lagu ini. Saya tidak mahu dikenali hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai seorang pemuzik dan penghibur yang mampu menyentuh hati pendengar. ‘Tenggelam’ adalah permulaan kepada lebih banyak kisah dan karya yang akan saya kongsikan,” ujarnya.
 
“Tenggelam” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi telah pun dilancarkan di saluran YouTube Ismail Izzani pada 19 Jun 2025.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Share
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *