‘KISAH PENUH KECEWA’ DI KUALA LUMPUR

Dua Bintang Serumpun Bersatu di Singapura — Ernie Zakri & Anggi Marito Persembah Lagu Baharu Bersama
 
Bintang vokal dari Indonesia, Anggi Marito, telah membuat penampilan istimewa di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang telah berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura. Ini merupakan kali pertama Ernie Zakri dan Anggi Marito persembahkan lagu Kisah Penuh Kecewa secara langsung.
 
Susulan itu, Anggi Marito ke Kuala Lumpur untuk promosi Kisah Penuh Kecewa dan satu sesi makan malam eksklusif bersama peminat akan diadakan di Hameediyah Bukit Bintang pada 4 Jun 2025.
 
Dalam suasana yang intim dan mesra, para peminat berpeluang menikmati pengalaman fine dining bersama Anggi Marito dan Ernie Zakri. Malam yang cukup istimewa ini memberikan peminat peluang merasai suasana makan malam yang unik dan penuh makna bersama artis kesayangan mereka.
 
Ucapan terima kasih istimewa ditujukan kepada Hameediyah atas layanan yang luar biasa dan penyediaan lokasi yang begitu sempurna.
 
Menggabungkan kekuatan vokal dan emosi mendalam daripada kedua-dua penyanyi hebat ini, lagu “Kisah Penuh Kecewa” menyasarkan untuk menyentuh hati pendengar di Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik serantau yang menghargai karya-karya bernuansa emosi dan berjiwa.
 
Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39) berkata,
lagu ini menceritakan kisah cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah seorang pasangan sudah memilih untuk tidak bersama lagi. Namun begitu, di sebalik
kekecewaan tersebut, wujud kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.
 
“Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran,” katanya.
 
Menurut Ernie, walaupun berbeza latar negara, kolaborasi antara dia dan Anggi membuktikan
bahawa muzik tidak mengenal sempadan. Gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan “Kisah Penuh Kecewa” sebuah lagu balada yang bukan sahaja menyentuh hati,
malah memberikan ruang untuk pendengar merasai sendiri perjalanan perpisahan yang pedih, namun penuh kekuatan. 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *