“KISAH PENUH KECEWA” – KOLABORASI EMOSI ERNIE ZAKRI & ANGGI MARITO GAMIT NADA HATI DUA NEGARA
Dua suara luar biasa dari dua negara, Ernie Zakri (Malaysia) dan Anggi Marito (Indonesia), bergabung dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi single
terbaharu berjudul “Kisah Penuh Kecewa”.
Menariknya, lagu hasil ciptaan bersama Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan S/EEK ini adalah sebuah karya ‘power ballad’ yang menyelami luka hati akibat cinta yang tidak kesampaian, namun tetap membawa mesej kekuatan dan ketabahan di sebaliknya.
Menggabungkan kekuatan vokal dan emosi mendalam daripada kedua-dua penyanyi hebat ini, lagu “Kisah Penuh Kecewa” menyasarkan untuk menyentuh hati pendengar di Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik
serantau yang menghargai karya-karya bernuansa emosi dan berjiwa.
Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39) berkata, lagu ini menceritakan kisah cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah seorang pasangan sudah memilih untuk tidak bersama lagi. Namun begitu, di sebalik kekecewaan tersebut, wujud kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.
“Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di
penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran,” katanya.
Proses rakaman lagu ini turut memberikan pengalaman yang bermakna buat Ernie apabila dia
perlu merantau ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi di sana.
“Rakaman berjalan dengan baik, tidak banyak cabaran. Cuma ketika itu kita sudah memasuki bulan Ramadan, jadi agak mencabar juga bila tak boleh minum air ketika rakaman. Kalau sakit
tekak pun kena tahan. Tapi selain itu, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.
Ernie turut menyatakan rasa teruja dan bertuah kerana dapat bekerjasama dengan tenaga kreatif seperti Clara Riva (penulis lagu), S/EEK (penerbit muzik), serta IRVNAT selaku pengarah
vokal yang memberikan bimbingan teknikal sepanjang proses rakaman.
“Saya sangat bangga dapat bekerja dengan Anggi, yang saya anggap salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia. Juga dengan Clara, S/EEK dan IRVNAT, ini adalah projek yang sangat bermakna dalam karier saya tahun ini,” katanya.
Menurut Ernie, walaupun berbeza latar negara, kolaborasi antara dia dan Anggi membuktikan
bahawa muzik tidak mengenal sempadan.
Gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan “Kisah Penuh Kecewa” sebuah lagu
balada yang bukan sahaja menyentuh hati, malah memberikan ruang untuk pendengar merasai sendiri perjalanan perpisahan yang pedih, namun penuh kekuatan.
“Lagu ini sangat ‘straightforward’ dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah
faham dan boleh kaitkan dengan mesej lagu ini. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini, dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman,”
kata Ernie lagi.
Bagi Anggi Marito yang juga pemenang tempat ketiga program Indonesian Idol musim 11, peluang untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan yang amat besar buat dirinya.
Sebagai peminat Ernie, Anggi menyifatkan penyanyi lagu Aura itu sebagai seorang yang bukan
sahaja mempunyai vokal hebat, tetapi juga mampu menyampaikan rasa dengan begitu menyentuh.
“Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam. Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya,” ujar Anggi
dengan penuh teruja.
Menurutnya, proses penulisan lagu “Kisah Penuh Kecewa” yang dilakukan bersama penulis lagu Clara Riva berjalan dengan lancar dan cepat. Walaupun pada awalnya mereka masih mencari arah dari segi konsep dan tema lagu,
keserasian vokal Ernie dan Anggi akhirnya membawa mereka kepada keputusan untuk menjadikan lagu ini sebuah ‘power ballad’ yang sarat dengan emosi.
“Penulisan lagu ini hanya memakan masa beberapa jam. Kami mengambil kira karakter suara saya dan Ernie, dan akhirnya sepakat untuk menghasilkan lagu yang menyentuh seperti ini.
Ditambah pula dengan susunan muzik oleh S/EEK, lagu ini jadi lengkap dan sangat istimewa,” kongsi Anggi.
Dengan mesej jujur dan melodi yang menyentuh hati, Ernie dan Anggi berharap agar “Kisah
Penuh Kecewa” dapat diterima baik oleh pencinta muzik di kedua-dua negara serta menjadi penguat semangat bagi mereka yang sedang melalui fasa kekecewaan dalam percintaan.
“Kami mahu pendengar benar-benar merasai isi hati lagu ini. Semoga ia dapat diterima dengan baik oleh semua pecinta muzik, sama ada di Indonesia mahupun di Malaysia,” kata Ernie dengan penuh harapan.
“Kisah Penuh Kecewa” bukan sekadar lagu duet biasa. Ia adalah gabungan dua jiwa seni yang
menyampaikan kisah tentang patah hati, kejujuran dalam mencintai, dan perjuangan untuk
melepaskan. Dibalut dengan melodi megah dan lirik yang menyayat jiwa, lagu ini dijangka menjadi siulan
dan penghibur buat mereka yang sedang mencari kekuatan untuk bangkit semula daripada kecewa.
Bintang vokal dari Indonesia, Anggi Marito, bakal membuat penampilan istimewa di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang akan berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at
Mediacorp, Singapura.
Konsert yang dinanti-nantikan ini menyaksikan gabungan dua penyanyi hebat dari Asia Tenggara – Anggi Marito dan Ernie Zakri – dalam satu malam yang menjanjikan persembahan penuh emosi.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital pada 23 Mei 2025. Saksikan juga video muzik rasmi yang membawa naratif visual seiring dengan kekuatan vokal dua penyanyi hebat ini.





