BAB 12 – LELAKI DI SEBALIK PELANGI

Bab 12

Lelaki ni kalau dia mula membelikan kita hadiah pada tarikh yang tidak berkaitan, itu tanda dia ada buat salah. Kalau dia terlebih mesra tu pun petandanya. Ingat tu!

HAMPIR tiga hari aku mendiamkan diri daripada berhubung dengan sesiapa. Bukan mengelak atau memberi alasan remeh, cuma aku ingin bersendirian. Dengan bebanan projek yang perlu dititikberatkan, menjadikan aku lebih senang fokus pada apa yang lebih penting.
Permintaan Bada untuk bertemu dan berkongsi pengalaman mandi bawah jambatannya itu pun aku tolak sebaik mungkin. Aku cuma katakan, aku sibuk dengan aktiviti seharian.

Menggunakan alasan Syed Ikram kurang sihat adalah jalan penyelamat daripada Bada datang bertamu. Syed Ikram perlu aku beri tumpuan memandangkan kami tinggal bersama. Dia kalau sakit mengalahkan bayi kecil. Ingin dimanja dan dipeduli semua perkara.
Mujur Bada memahami akan alasan yang diberikan. Dia meminta aku menghubunginya semula bila kelapangan. Aku sekadar mengiyakan tanpa sebarang janji pasti.
Ada banyak sebab yang aku cuba elakkan sekarang. Pertamanya bila membabitkan soal yang mengganggu emosiku. Aku tidak mahu terbawa lagi permasalahan orang lain. Syed Ikram yang selalu out station pun aku cuba tidak berprasangka buruk. Aku mengharap keperluan untuk bekerja di luar selalu, demi masa depan kami. Seperti mana janjinya untuk berbahagia bersama, aku masih berpegang pada janji itu.

Namun adakala terdetik juga di hati, sibuk benarkah Syed Ikram. Apakah perlu setiap minggu dia kerja luar kawasan? Apakah betul dia keluar kawasan atau masih di Kuala Lumpur? Aku cuba memujuk hati dan tidak mahu terlalu memikirkan. Terlanjur dia masih melayan aku dengan baik, sewajarnya aku tidak keterlaluan berfikir yang bukan-bukan.
“Kau kata Ikram bertugas di Langkawi, semalam aku ternampak dia di café hotel yang baru di buka tu. Dia dah balik ye?”

Panggilan telefon daripada Bada itu amat mengejutkan aku. Seperti tidak boleh menerima kebenaran yang dikatakan itu, aku cuba mengawal diri dan bertenang. Tapi hatiku tetap tidak tenang. Pelbagai kemusykilan merasuk hati.

Ahh, bagaimana pula Bada boleh ternampak Syed Ikram. Bukankah mengikut kata Syed Ikram dia berada seminggu di Langkawi. Mungkinkah pelanduk dua serupa? Atau Bada tersilap pandang?
“Macam lah aku tak kenal laki kau tu!” getus Bada memarahi aku bila aku persoalkan pandangannya itu.
“Aku dengan Joe hi-tea kat hotel tu. Sajalah nak raikan birthday Joe. Tak sangka pulak ternampak suami kau tu!” terang Bada memperlengkapkan ceritanya.

Tersentak aku dengan penerangan panjang lebar Bada. Lebih mengejutkan bila dia memberitahu Syed Ikram bersama seorang model popular. Model yang tinggi lampai berdarah kacukan. Model bernama Zack yang sedang menempa nama dengan iklan komersil produk kecantikan khusus untuk lelaki. Pernah juga aku melihat iklannya di kaca tv. Memang kacak orangnya.
“Tu kan antara client dia…” hanya itu yang mampu luahkan sebagai penamat perbualan. Dadaku mula sesak dengan penerangan satu demi satu yang dirasakan begitu merujuk kepada Syed Ikram.
“Aku nak tegur dia. Tapi tak sempat. Sibuk berbual dengan Joe terlupa pulak nak singgah ke mejanya,”
“Dia nampak kau ke?”
“Nampak la. Kami saling berbalas senyuman dan melambai tangan,” balas Bada bersungguh-sungguh.

Apa lagi yang dapat aku katakan pada Bada untuk meredakan pertanyaannya itu. Lebih menyakitkan hati apabila Bada dengan selamba mengusik mengatakan Syed Ikram sudah beralih arah. Tidak lagi gemarkan yang ‘lembut-lembut’, selera dia sudah bertukar kepada yang ‘keras-keras’ sahaja.

Tersinggung benar aku dengan usikannya itu. Meskipun aku tahu Bada tidak berniat apa-apa, tetapi usikan itu benar-benar mengganggu emosiku. Tumpuanku terhadap kerja terbengkalai sudah.
Aku cuba menghubungi talian Syed Ikram. Seperti biasa lelaki itu segera menjawab tanpa berlengah. Suaranya masih mesra dan romantik seperti biasa. Tiada kedengaran berbeza melayan pertanyaanku.
“ Mesti Bada yang dah sampaikan sesuatu kan?” ujar Syed Ikram seperti dapat membaca firasat hatiku.
“Abang dah ada di Kuala Lumpur ke?” aku tidak menjawab soalan Syed Ikram itu. Terus aku kepersoalan sebenar. Aku mahu tahu tentang kebenaran. Mengapa dia balik ke Kuala Lumpur tanpa memberitahuku.
“Betul lah tu. Semalam sampai. Tapi saja menginap di hotel sebab ada meeting. Ingatkan nak surprisekan Brian hari ni. Tak sangka pulak ada yang melaporkan awal-awal,” suara Syed Ikram kedengaran kecewa.
“Dia cakap nampak abang dengan Zack, model tu…” aku tidak menjelaskan siapa model itu secara jelas. Jika Syed Ikram benar-benar berjumpa Zack dia tentu tahu siapa yang aku maksudkan.
“Kami berjumpa untuk next projek promosi hotel sempena Krismas dan tahun baharu nanti,”

Mendengar jawapan Syed Ikram yang tanpa gagap maupun gementar itu, menyebabkan aku terasa betapa bodohnya syakkan dia. Syed Ikram menjawab pertanyaan aku secara terus terang. Dia langsung tidak menafikan mahupun mengelak. Satu persatu diperjelaskan agar aku tidak salah sangka.
“Kalau tak percaya, kita jumpa Zack nanti. Abang akan ajak dia datang rumah. Dia tahu tentang kita!” jawab Syed Ikram yang membuatkan aku terduduk di sofa.

Begitu sekali keyakinan dan keberanian Syed Ikram untuk memberitahu statusnya. Benarkah apa yang aku dengar. Atau dia sengaja ingin mengujiku. Dia sudah terkantoi dengan Bada. Sekiranya dinafikan ianya menimbulkan cerita lain pula. Mengaku dengan sedikit kejujuran tentunya mampu melembutkan hatiku.

Tapi firasat aku berbeza pula. Walaupun sedikit percaya, tetapi terdetik juga rasa keliru. Aku cuba berlapang dada. Jika Syed Ikram benar-benar seperti cerita Bada itu, aku perlu menyiasatnya. Jika Zack berhubung atas urusan kerja, aku anggap apa yang bermain di hati, hanyalah rasa cemburu dan terlalu sayang. Dan jika sebaliknya, Syed Ikram perlu bersedia untuk memperbetulkan pembohongannya itu.

“Kau siasat betul-betul tahu. Aku tidak mahu kau terkena dengan lakonan hebat Syed Ikram tu!”
“Nak siasat apa lagi, dia dah mengaku ternampak kau,” jelasku ketika Bada menghubungiku semula. Dia begitu bersungguh untuk mengetahui apa jawapan Syed Ikram itu.
“Jadi kau percayalah?”
“Tak adalah seratus peratus percaya. Aku akan siasat juga nanti…”
“Bagus. Jangan percaya membuta tuli. Siasat dulu kebenarannya. Jangan sebab terlalu sayangkan dia, kau sampai tak nampak apa juga kesilapan yang dia buat,” nasihat Bada lagi.
“Kalau betul dia ada hubungan dengan model tu?”
“Itu kau selesaikan sendirilah. Kalau tanya aku, kita pergi berbomohlah nampaknya!”
“Tak ada jalan lain ke selain buat kerja syirik tu?” marahku pada Bada. Tak habis-habis memujuk aku pergi berbomoh. Macamlah itu sahaja jalan terakhir untuk menundukkan lelaki.
“Kalau tak nak, kita pergi jumpa ustaz. Nanti tak pasal-pasal kita berdua kena ceramah pulak…” gelak Bada kemudian.
“Tu bukan cadangan, tu sengaja nak tempah bala!” jawabku sambil ketawa. Solat jumaat pun culas. Ada hati nak berjumpa ustaz. Jangankan ustaz, bilal masjid pun akan ‘azan’kan kami kalau minta nasihat begitu.
“ Nanti jangan lupa update perkembangan kes kita ni tau? Kalau kau nak minta bantuan aku menyiasat beritahu saja. Demi kau aku sanggup lakukan apa saja,” tokok Bada mengakhiri perbualan.

Seperti yang dijanjikan malamnya, Syed Ikram balik rumah dengan wajah berseri-seri penuh kerinduan. Dia memeluk aku seperti lama tidak berjumpa. Sedangkan kami baharu sahaja tiga hari tidak bertemu. Namun cara pelukan yang agak berbeza mesranya, menimbulkan riak lain di hatiku. Terlalu rindukah dia atau sekadar menyembunyikan cerita lain?
“Nah…” Syed Ikram menghulurkan kotak kecil berbalut reben putih. Lambat-lambat aku mengambilnya dan membuka kotak tersebut.
“Janganlah fikir bukan-bukan. Cantik tak rantai emas ni?” Syed Ikram terus dengan kemesraannya.

Tanpa mendengar kata-kataku, dia mengambil kotak berisi rantai dan dipakaikan ke leherku. Sempat juga dia mencium pangkal leherku. Menyirap darahku menahan getaran rasa. Antara gembira dan syak, aku cuba berlagak tenang.
“Jomlah siap. Kita makan malam di luar!” Syed Ikram lantas masuk ke bilik untuk mandi. Aku yang masih termangu di ruang tamu bagaikan melihat seorang lelaki asing yang mencurigakan sedang masuk ke bilik tidurku.
Apakah ianya mainan perasaan aku sendiri? Hakikatnya aku merasakan Syed Ikram begitu lain. Lain daripada biasa. Cara dia melayanku juga lain. Dia terlebih mesra. Dia terlalu berhati-hati. Seolahnya sedang menyembunyikan sesuatu.

“Lelaki ni kalau dia mula membelikan kita hadiah pada tarikh yang tidak berkaitan, itu tanda dia ada buat salah. Kalau dia terlebih mesra tu pun petandanya. Ingat tu,” kata-kata Kak Som yang bagaikan pakar kaunseling itu menggamit kembali.
Kalau betul Syed Ikram sedang bersandiwara, tidak mengapalah. Aku akan ikut permainan sandiwaranya.

Namun aku akan tetap menyiasat kesahihan hubungannya dengan Zack. Aku tidak akan sesekali membiarkan diperbodohkan seperti dulu lagi.
Cukuplah yang lepas-lepas. Aku tidak mahu seperti Bada yang hidupnya hanya untuk lelaki. Aku lebih sayangkan diri sendiri berbanding terus mengabdi diri pada lelaki yang tidak tahu menghargai aku.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *