TERIMA KASIH SITI

FOTO saya bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini diambil sehari sebelum beliau ditabalkan sebagai Biduanita Negara pada 13 November 2024 di Anugerah Seni Negara (ASN) 2024. Sekaligus menjadikan beliau wanita ketiga menerima penghormatan ini selepas Allahyarham Saloma dan Datuk Sharifah Aini.


Pastinya gelaran Biduanita Negara adalah selayaknya untuk Siti Nurhaliza. Beliau berada dalam klas tersendiri berbanding rakan artis yang lain. Jenama seni Siti Nurhaliza kekal relevan mempesona sehingga tiga dekad. Bergelar Penyanyi Nombor Satu Negara juga menjadikan Siti Nurhaliza sukar diganggu gugat dengan pencapaian yang luar biasa selaku artis kesayangan Malaysia.


2025 ini beliau menyambut tiga dekad sebagai anak seni. Ketika menulis catatan ini, Ramadan baharu sahaja masuk hari ke empat. Pun begitu di luar legar pusat beli belah terkemuka, Pavilion Kuala Lumpur sedang berlangsung Pameran 30 Tahun Siti Nurhaliza dengan tema Seni Budaya bermula 3 Mac sehingga 6 April 2025. Pameran yang menghimpun segala momen terindah Siti Nurhaliza bersama anugerah, busana dan catatan eksklusif untuk tatapan semua.


Sememangnya perjalanan seni Siti Nurhaliza berjalan sempurna meskipun tidak kurang diusik cerita kurang enak, namun sebagai anak seni yang matang dan tahu apa yang perlu dilakukan, beliau terus melangkah membina empayar seni tanpa berpaling lagi. Saban tahun ada sahaja projek album, konsert, kerja amal dan segala berkaitan dengan dunia perniagaan disusun dengan begitu cantik. Makanya setiap apa yang dibuat beliau akan menjadi perhatian dan viral sana sini.


Lebih menariknya kebangkitan semula lagu-lagu terdahulu beliau seperti Aku Cinta Padamu, Seindah Biasa, Kau Kekasihku, Bukan Cinta Biasa viral di tiktok. Gelagat beliau bersama Afwa dan Aafiah pun turut mendapat perhatian. Tiada seinci pun cerita tentang Siti Nurhaliza terlepas pandang. Semuanya diperhati, dihimpun dan diperkatakan. Sesuatu yang amat luar biasa.


Untuk Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza, semoga terus cemerlang, gemilang dan menjadi buah hati semua. Anda kini Biduanita Negara Tercinta. Tetaplah menjadi Siti Nurhaliza yang sederhana, manis, sopan dan disayangi. Lagu-lagu anda adalah kehidupan dan Siti Nurhaliza adalah penghibur ketika suka dan senang. Terima Kasih Siti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *