BAB 9
SULAIMAN masih cuba menghadamkan pertanyaan adiknya itu. Mulanya disangkakan hanyalah gurauan. Melihatkan kesungguhan Iskandar sedarlah Sulaiman yang Iskandar tidak bermain kata. Pun begitu dia tetap tidak dapat menerima hakikat kenapa Iskandar ingin bekerja di restoran Suraya itu. Jika ingin bekerja sekalipun mengapa mesti di situ? Banyak café makanan segera di bandar Temerloh boleh dijadikan pilihan. Jika terlalu ingin bekerja sekalipun Iskandar boleh membantunya di sangkar kolam ikan patin.
Dia sendiri tidak pernah menggalakkan Iskandar bekerja. Sulaiman mahu Iskandar berehat sahaja sepanjang cuti semester. Cukup berada di hadapannya setiap kali dia balik rumah sudah memadai. Andai Iskandar memerlukan wang, Sulaiman masih mampu untuk memberikan apa juga permintaan Iskandar. Simpanannya amat cukup untuk menampung keperluan adik kesayangannya itu. Iskandar adalah kekuatannya. Nyawanya.
“Apa perlunya nak bekerja di sana? Buat penat badan saja. Pelanggan restoran tu bukan sedikit. Kalau sabtu ahad memang tak menang tangan dibuatnya. Abang tak mahu Is tertekan dengan kesibukan tanpa henti itu,” pujuk Sulaiman. Dia amat mengharapkan Iskandar membatalkan hasratnya itu. Dia amat keberatan untuk membenarkan.
“Is bukan bekerja setiap hari pun. Bila ada kelapangan saja. Untuk mengisi masa lapang,” sahut Iskandar penuh hormat. Dia sedar permintaannya itu sememangnya tidak akan dipersetujui abangnya. Andai diberitahu awalpun pasti Sulaiman akan membantah. Dia pasti benar. Seboleh mungkin Sulaiman mahu Iskandar hanya duduk di rumah atau menghabiskan bersama kawan-kawan sahaja sepanjang cuti semester.
“Itu abang tahu tapi abang kurang selesa kalau Is bekerja. Is sepatutnya tumpukan pada pengajian sahaja. Kebetulan cuti semester ni apa kata pergi melancong ke Langkawi, Cameron Highland atau ke Sabah Sarawak. Abang nak Is habiskan masa cuti ni dengan bersenang-senang saja. Tak perlu bebankan diri dengan soal kerja. Abang masih mampu nak tanggung Is.”
“Abang ni… Is bukannya budak kecik la. Is tau apa yang Is buat. Percayalah. Is tak terbeban dengan kerja di restoran Kak Su tu. Sebelum ni pun Is pernah kerja di situ kan? Ingat tak masa Is menunggu keputusan SPM dulu?”
“Tapi Is…”
“Kalau abang tak setuju Is kerja sana, Is nak balik ke Kuala Lumpur. Kerja di Kuala Lumpur lagi baik. Orang dah ada depan mata dia, tak nak pulak. Suka lah tu adik dia ni jauh di mata?” Iskandar pura-pura merajuk. Ugutan untuk balik semula ke Kuala Lumpur pasti menjadi. Abangnya pasti tidak membenarkan Iskandar pergi jauh lagi.
“Mulalah tu nak merajuk…”
“Bukan merajuk. Abang tu macam tak yakin dengan Is. Biarlah Is bantu Kak Su tu. Is tak nak kerja tempat lain.”
“Budak ni memang buat aku sakit jantunglah.. oklah, pergilah bantu kak Su tu. Nanti kalau penat, jangan nak merungut pulak…”
Akhirnya Sulaiman mengalah. Dia tiada pilihan lain. Terpaksa membenarkan Iskandar dan Farid bekerja secara sambilan sebagai pelayan di restoran milik Suraya. Suatu keputusan yang terpaksa dibuat demi permintaan Iskandar yang tidak diduga itu. Biarlah Iskandar bekerja di situ daripada balik semula ke Kuala Lumpur.
Persetujuan Sulaiman itu merupakan kejayaan pertama untuk Iskandar. Dia mula merasakan plannya mula menampakkan hasil. Dia akan terus merangka perancangan agar dapat terus merapatkan Sulaiman dan Suraya sehingga mereka berkahwin. Itulah matlamat terakhir Iskandar. Cuti semester akan digunakan sebaik mungkin untuk merealisasikan impian dan perancangannya. Dia mahu segalanya mengikut perancangan. Tepat tiga minggu Sulaiman dan Suraya perlu berkahwin. Itulah tekad Iskandar.
Petangnya Iskandar meminta Camelia dan Amira datang ke rumahnya. Ada pekara yang perlu dibincangkan. Iskandar akan berterus terang tentang perancangannya. Dia tidak mahu berahsia lagi. Dia juga perlukan bantuan Camelia dan Amira untuk lebih rapat dengan Suraya. Bantuan keduanya perlu untuk memudahkan perancangannya menyatukan Sulaiman dan Suraya.
“Jadi Is nak Lia dan Mira pun kerja di sana ke? “ soal Camelia berulangkali. Dia seperti tidak percaya yang dia akan terlibat dengan perancangan Iskandar itu. Bukan tidak sanggup menerima tanggungjawab itu, tetapi memikirkan jangka masa yang ditetapkan itu membuatkan dia merasa ragu dan tidak yakin. Mampukah mereka menyempurnakan perancangan Iskandar mengikut tarikh yang ditetapkan. Apatah lagi melihat plan yang Iskandar sediakan, ianya seolah telah lama dirancang. Hanya menunggu waktu dan hari disempurnakan mengikut skrip yang telah Iskandar tetapkan.
“Kenapa tiga minggu?” tanya Amira pula. Dia berasakan jangka masa tersebut agak pendek memandangkan perancangan perkahwinan bukan semudah yang difikirkan. Dia hendak memikat hati Farid pun setahunpun belum menampakkan hasil. Inikan pula untuk mendirikan masjid.
“Tarikh itu saja yang sesuai. Is tak mahu terlambat. Kalau kita dah masuk kolej semula, susah nak fokus pada plan kita ni,” jawapan Iskandar yang tegas itu menjadikan ketiga mereka terdiam dan termenung. Masing-masing sibuk berfikir. Apakah mampu menunaikan permintaan Iskandar itu?
“Lia kena tanya ayah dulu sama ada dia benarkan Lia tinggal lama di sini. Lia janji paling lamapun seminggu. Bimbang ayah tak benarkan kalau sampai tiga minggu…”
“Tiga minggu tu tarikh akhir. Kalau kita boleh selesaikan dalam seminggu dua ni lagi baik,” balas Iskandar penuh yakin.
“Kita ikut dulu plan Is ni. Kalau niat kita ikhlas nak menyatukan keduanya pasti akan dipermudahkan,” balas Farid pula. Amira angguk. Dia perlu bersetuju dengan kata-kata Farid itu. Untuk mengambil hati agar Farid sedar dia sentiasa menyokong sebarang keputusannya.
“Macam tu la namanya sahabat susah senang. Kita try dulu. Kalau tak berjaya Is takkan salahkan sesiapa. Kita telah berusaha kan?”
Camelia menyedari perubahan di wajah Iskandar yang begitu teruja itu bagaikan menjawab persoalan sebenar perubahan sikap Iskandar selama ini. Pun begitu dia masih diburu persoalan, mengapa ianya perlu dilakukan dalam waktu yang singkat. Sedangkan selama ini soal untuk menjodohkan abangnya itu langsung tidak pernah dibincangkan. Sekadar ura-ura atau bualan kosongpun tidak pernah terhambur dari mulut Iskandar. Apakah ada persoalan lain yang dirahsiakan daripada pengetahuannya?
“Kau yakin ke dengan perancangan Is tu?” tanya Camelia ketika mereka berbual di bilik mereka setelah selesai menunaikan solat Isyak. Amira yang sedang melipat telekung dan sejadah berpaling merenungnya. Jelas riak keliru di wajah Amira.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Amira duduk bersimpuh mengadap Camelia yang sedang bersandar di kaki katil.
“Aku tidak tahu mengapa aku rasakan ada yang tak kena. Seolahnya perancangan Is untuk menyatukan abangnya dan Kak Su hanyalah pekara kedua yang kurang penting. Ada pekara yang lebih penting di sebalik itu?”
“Apa pekara yang lebih penting selain daripada perancangan itu Serasa akulah niat Is tu dah betul. Kau tengoklah sendiri bagaimana sikap abangnya itu bila berhadapan dengan Kak Su? Belum pernah aku jumpa lelaki begitu pemalu. Gugup betul dia tadi tu…”
“Itu tandanya dia sukakan Kak Su. Kita ni kalau sukakan seseorang kita tidak akan menjadi diri kita sendiri. Kita terpaksa menjadi orang lain. Tengoklah kau tu. Depan Farid bukan main sopan santun. Kalau Farid tahu betapa kasar dan tomboynya perangai kau ni, mati hidup balik pun belum tentu Farid nak kan kau!” tempelak Camelia pula.
“Kau tu pun apa kurang. Kata orang. Depan Is tu pun pijak semut tak mati!”
“Dua kali lima lah kita ni kan?” keduanya ketawa terkekek-kekek. Ketawa dengan sikap sendiri yang ‘buta’ kerana sayangkan seseorang.
“Kita bantulah Is tu Lia. Sekurang-kurangnya kita dapat mempereratkan hubungan satu sama lain. Mana tahu lepas ni kau dan Is pulak yang bertunang.”
“Eh ke situ pulak minah sorang ni. Atau kau nak cakap kau dan Farid akan berkahwin sebelum aku?”
Tawa keduanya pecah lagi. Gembira sungguh keduanya dengan apa yang dibincang. Langsung terlupa pada pokok persoalan sebenar. Keraguan Camelia di sebalik perancangan Iskandar itu. Nyatanya dekat dengan yang tersayang menjadikan manusia sering terlupa pada permasalahan sebenar. Mereka sentiasa ingin bahagia bersama tanpa memikirkan ada cerita lain di sebalik pencarian mencari bahagia itu.
“Aku harap Farid akan terbuka hati menerima cintaku!” Amira menadah tangan.
“Ameen…” jawab Camelia dengan senyum lebar. Dia pun mengharapkan hubungannya dengan Iskandar juga kekal hingga ke jinjang pelamin.





