BAB 5 – USAI LARA

BAB 5

RUMAH kayu di tepi Sungai Pahang itu benar-benar menghilangkan segala rindu Farid kepada suasana kampung. Selama ini dia hanya membayangkan suasana tersebut di dalam kaca tv maupun di gambar sahaja. Melihat sendiri ketenangan dan kedamaian ketika duduk di tangga menghadap Sungai Pahang itu hati Farid berasa cukup terharu bercampur sebak. Terubat segala kerinduan seorang anak bandar yang tiada kampung.

            “Ini rumah pusaka ayah dan emak. Diwarisi turun temurun. Tiga generasi tinggal di sini. Banyak jugak perubahan dah dibuat. Dulu atap rumbia, kini bertukar atap zinklah. Selepas mereka tiada, abang Sulaiman yang uruskan semuanya. Dia berkeras nak tinggal di sini demi mengekalkan warisan keluarga kami.

            “Abang hanya menukar dan memperbaiki struktur rumah yang rosak seperti ganti dinding, tambah dapur, buat bilik air dalam rumah. Selebihnya rekaan masih seperti dulu. Tidak berubah. Setiap kali balik ke sini, aku selalu merasakan ayah dan emak masih ada. Setiap sudut mengingatkan aku pada mereka,” cerita Iskandar ketika mereka duduk di tangga menanti kepulangan abang Sulaiman daripada kolam ikan patinnya.

            “Kalau akupun aku akan kekalkan rumah ni. Tak perlu ubah banyak sangat. Kekalkan saja. Bukan senang ada rumah macam ni sekarang. Berhadapan sungai dan dikelilingi suasana kampung yang mendamaikan. Kalau aku boleh menulis novel mesti aku akan garap sebuah novel cinta paling romantik,” kata Farid bersetuju dengan cerita Iskandar itu.

            Tengah hari tadi mereka sampai ke bandar Temerloh. Dengan mengambil teksi, Iskandar membawanya pulang ke rumah. Perjalanan tidak terlalu jauh. Sekadar dua puluh minit. Sebelum itu mereka singgah di bandar untuk makan tengah hari dan membeli sedikit barangan untuk keperluan seharian.

            “Bila kita nak mandi sungai?” tanya Farid mendadak. Melihat air sungai Pahang yang mengalir tenang di depan matanya, keinginan untuk hidup seperti anak kampung membuak-buak.

            “Sabarlah dulu. Banyak lagi masa kita boleh buat semua tu. Kita tunggu abang aku balik. Kita surprise kan dia. Dia tak tahu aku balik ni…”

            “Pulak dah kau ni… manjang ada je akalnya!”

            Iskandar menyeringai. Memang dia ingin membuat kejutan kepulangannya itu. Abangnya sudah tahu akan kepulangannya itu. Cuma dia tidak memberitahu secara jelas tarikh atau waktu dia akan sampai. Iskandar hanya memberitahu secepat mungkin.

            “Abang Sulaiman duduk seorang ke?” tanya Farid cuba mencungkil rahsia. Terlanjur sudah berada di kampung Iskandar, dia ingin mendekati dua beradik itu dengan lebih dekat lagi.

            “Sorang la. Dia bujang lagi.”

            “Berapa umur dia sekarang?”

            “Tahun ni genap 30 tahun.”

            “Sembilan tahun beza ngan kau ye?”

            Iskandar angguk. Perbezaan umur antaranya dengan Sulaiman banyak mempengaruhi tindakan abangnya itu. Sulaiman meletakkan tanggungjawab menjaga Iskandar sebagai keutamaan berbanding kepentingan yang lain.

            “Dia tak teringin nak kahwin ke?” Farid terus bertanya sambil mulutnya mengunyah mangga muda yang dicolek dengan sos kicap bercili yang dibeli di pasar Temerloh tadi.

            “Aku pun tak pasti dia teringin atau tidak. Tetapi bila aku tanyakan soal nikah kahwin ni macam-macam alasan dia berikan. Katanya selagi aku tak habis study, dia tidak akan kahwin!”

            “Jadi kaulah penyebab dia belum berkahwin?”

            “Ni lah tujuan kita balik kampung ni… nak kahwinkan abang aku tu!”

            “Kau biar betul Is. Ni bukan kerja main-main…”

            “Siapa pulak yang main-main. Aku nak kau bantu aku realisasikan plan aku ini,” ujar Iskandar serius.

            Itulah tujuan sebenar Iskandar mengajak Farid menemaninya. Dia perlukan sokongan Farid untuk menyempurnakan misinya itu. Bantuan Farid amat diperlukan dalam mencari idea terbaik bagaimana menyatukan abangnya dengan Suraya.

            “Siapa pulak Suraya?”

            “Kekasih abang Sulaiman!”

            “Sekarang Suraya di mana?”

            “Kak yang kita jumpa di restoran tadi!”

            Pantas tergambar dalam fikiran Farid detik itu. Sebaik sahaja sampai ke bandar Temerloh, Iskandar terus membawa Farid makan tengah hari di sebuah restoran yang begitu ramai dikunjungi ramai. Melihat papan tanda tertulis Restoran Patin Tempoyak Suraya, sedarlah Farid bahawa Suraya yang dimaksudkan Iskandar itu adalah pemiliknya.

            Dia sempat diperkenalkan oleh Iskandar dengan Suraya. Iskandar memanggil Kak Su sahaja. Orangnya gemar tersenyum dengan suara yang lunak sekali. Susuk tubuh sederhana. Tidak terlalu kurus atau gemuk.

            “Kak Su ni usahawan patin yang popular di sini. Kalau datang Temerloh tak singgah restoran kak Su ni nampaknya tak sempurna percutian seseorang tu,” puji Iskandar ketika mereka berbual-bual.

            Kesibukan melayan pelanggan tidak menghalang Suraya untuk berbual seketika dengan Iskandar. Mulanya dia tidak perasan dengan teguran Iskandar. Lama diamati anak muda yang tersenyum mesra memandangnya, jelas tergambar iras Sulaiman di wajah Iskandar itu.

            “Farid dan Is makan puas-puas ye. Rasalah apa yang ada ni. Jangan rasa patin tempoyak saja. Pais dan patin goreng pun sedap tau? “ cadang Suraya mengalu-alukan kedatangan tetamu istimewa dari Kuala Lumpur itu. Lama dia tidak berjumpa Iskandar. Semenjak Iskandar mendapat tawaran belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, dia seakan hilang khabar berita tentang Iskandar. Hanya sesekali mendengar cerita daripada Sulaiman terubat rindu terhadap Iskandar yang semasa di Temerloh dahulu selalu membantunya di restoran terutama ketika menunggu keputusan SPM.

            “Jangan bimbang Kak Su, saya ni tolak batu dan kayu saja. Patin tempoyak ni kegemaran saya. Memang saya yang minta Is bawa saya lunch patin tempoyak ni. Nak rasa sendiri keenakkan masakan orang Pahang,” jawab Farid dengan semangat. Dia sudah tidak sabar lagi untuk menikmati hidangan yang sinonim dengan daerah Temerloh itu.

            “Kak Su belanja buat tetamu istimewa dari Kuala Lumpur ni… makan puas-puas tau,” balas Suraya sebelum meninggalkan Iskandar dan Farid. Dia perlu bergegas ke kaunter untuk memastikan pesanan berjalan lancar terutama waktu makan tengah hari yang sentiasa sibuk dengan pelanggan.

            Begitu berselera keduanya makan. Lebih-lebih lagi Iskandar yang cukup merindui masakan daerah kelahirannya itu. Banyak kenangan manis ditempuhinya di sini. Sementara Farid paling teruja. Berulangkali dia memuji. Katanya masakan Patin Tempoyak di Temerloh lebih enak berbanding di restoran Kuala Lumpur, meskipun menggunakan nama dan resipi yang sama.

            “Lain auranya. Ni tempat patin dilahirkan… tu rasa lebih sedap,” Farid membuat andaian sendiri. Iskandar hanya geleng. Seronok dia dapat memberi kegembiraan kepada sahabat baiknya itu.

            “Tu salah satunya. Tapi bila orang belanja lagilah sedapnya kan?”

            “Tu pun salah satu penyebabnya. Makan free gitu!”

            Keduanya ketawa. Seronok sekali. Sampai bertambah nasi Farid dan Iskandar makan.  Berselera sungguh.

            “Abang Sulaiman antara pembekal patin ke restoran Kak Su tu!” tambah Iskandar membuka satu lagi rahsia mengapa hubungannya dengan Suraya begitu rapat dan mesra.

            “Jadi apa tunggu lagi… kita sempurnakan impian kau tu. Lagi senang aku nak makan free…”

            “Tapi tak semudah itu…” jawab Iskandar dengan suara yang perlahan. Ada kesayuan di sebalik suaranya itu.

            Farid tidak bertanya lagi. Dia mula merasakan kedatangannya ke kampung Iskandar bukan sekadar kedatangan biasa. Ada misi yang perlu diselesaikan. Misi yang tidak mampu  diselesaikan oleh Iskandar sendiri. Tetapi kenapa dia?

            “Kau sahabat aku yang akan bertanggungjawab sekiranya terjadi apa-apa selepas ini, “ tambah Iskandar seraya meninggalkan Farid dengan seribu persoalan.

            Farid hanya melihat Iskandar berlari mendapatkan abangnya yang baru turun motosikal. Kolam matanya bertakung ketika Iskandar memeluk erat Sulaiman yang masih terpinga-pinga dengan kepulangan mendadak adiknya itu.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *