BAB 7 – LELAKI DI SEBALIK PELANGI

Bab 7
 
Kalau ada kesempatan terbaik, rebut terus. Jangan tunggu-tunggu. Takkan ada masa yang tepat dan sesuai untuk semua perkara. Redah je! 
 
“PUASLAH Brian dapat sambar Cikgu Kamal tu?” usik saya ketika melihat riak wajah Brian berseri-seri ketika menceritakan pengalaman barunya itu.
“Puas atau tidak, bukanlah perkara penting. Semuanya berlaku secara kebetulan. Aku memang tak mengharap malam itu akan berakhir sebegitu,” jawab Brian selamba.
Saya kurang pasti daripada riak gembira dan jawapan yang seakan tiada makna apa-apa itu, menggambarkan perasaan sebenar Brian. Seolahnya kejadian malam itu bukan sesuatu yang dia harapkan. Atau sememangnya Brian sudah menjadi manusia yang tidak mahu terlalu berharap. Pengalaman bersama Tuan Khairil bagaikan mematangkannya.
“Pengalaman banyak menjadikan aku waktu itu hanya merebut segala peluang dan kesempatan yang datang. Itu saja!” jawab Brian ringkas. 
“Saya kurang faham maksud Brian?”
“Dalam hidup ini, kita tidak boleh terlalu merancang. Tak boleh juga terlalu berharap. Itu yang aku belajar. Kalau dah berusaha, kita gagal, terima saja. Kalau ada kesempatan terbaik, rebut terus. Jangan tunggu-tunggu. Takkan ada masa yang tepat dan sesuai untuk semua perkara. Redah je,” 
Hendak diakui kebenaran kata-kata Brian itu saya tak pasti. Pengalaman yang menjadikan seseorang itu bagaimana dia mengendalikan apa juga agenda hidup. Cara setiap orang berbeza. Pendekatan terhadap apa juga peluang berbeza. Ada yang tunggu dan lihat. Ada yang terus rentap dan rampas. Masing-masing ada cara tersendiri mencapai impian di hati.
”Antara Tuan Khairil dan Cikgu Kamal siapa yang lebih Brian sayang dan suka?”
“Rasanya antara kami tiada perasaan sayang. Ia lebih kepada tuntutan nafsu belaka.”
“Kenapa anggap macam tu?”
“Iya, dulu aku rasakan ada kasih sayang antara kami. Seseorang yang melakukan hubungan seksual sewajarnya berlandaskan kasih sayang. Mana mungkin kita boleh melakukannya kalau tiada perasaan begitu. Tapi akhirnya aku faham sesuatu tentang diri dan kemahuan manusia bernama lelaki!”
“Ada beza ke perasaan wanita dan lelaki dalam soal berkasih sayang ni?” tanya saya inginkan penjelasan lanjut.
“Inilah bezanya. Lelaki mampu melakukan hubungan seksual walau tanpa perasaan kasih sayang. Ketika mereka sudah ghairah dan bernafsu semuanya mereka akan redah. Selagi mampu memuaskan keinginan mereka sehingga tahap maksima, lelaki akan melakukannya tanpa fikirkan risiko.”
Bersetuju atau tidak dengan andaian Brian itu, saya tidak mahu mempertikaikan. Dia ada persepsi tersendiri daripada pandangannya. Saya tidak mahu berdebat dalam soal itu. Namun bagi saya, baik lelaki atau wanita sebenarnya makhluk yang dilahirkan dengan akal dan kasih sayang. Kita ada hak untuk memilih apa yang kita mahu tau apa yang kita tidak suka. 
“Tak percaya?” tanya Brian sambil memandang saya. 
Saya angkat bahu. Hanya tersenyum. 
“Aku bercakap atas dasar pengalaman aku sendiri. Pengalaman kau atau orang lain tak sama kan? Terlanjur kita bercerita tentang pengalaman aku, biarlah aku membuat penilaian dari persepsi aku sendiri. Berbanding wanita lebih taksub dengan kasih sayang, lelaki adalah sebaliknya. Wanita kalau bab seksual dia akan menyerahkan diri jika perasaan sayang itu telah berputik. 
“Terpesona dengan pujuk rayu lelaki, kata manis, wanita akan kalah. Jika mereka sudah jatuh cinta, bagaimana lelaki itu memperlakukannya dia akan tetap setia dan sanggup berkorban. Lelaki pula lain. Mereka tidak peduli dengan semua itu. Mereka boleh melakukan hubungan seksual sama ada ada perasaan mereka kosong atau ada sedikit rasa sayang.”
“Lelaki itu umpama pelacur yang memperdagangkan kasih sayang mereka untuk melampiaskan nafsu serakah mereka!” ucap Brian berfalsafah.
Terpulanglah apa juga anggapan Brian. Saya tidak ambil hati. Saya bukan lelaki sebegitu. Saya lelaki yang sarat dengan kasih sayang dan cinta sejati. Untuk melakukan apa juga perkara hatta hubungan ranjang, saya berlandaskan kasih sayang dan perasaan saya terhadap si dia.
“Seterusnya, bagaimana hubungan Brian dengan Cikgu Kamal. Habis sekadar malam itu ke?”
“Ceritanya lebih menarik. Lebih dramatik daripada pengalaman aku dengan Tuan Khairil,” balas Brian senyum sinis.
Sekali lagi, saya semakin tidak mengerti dengan kemelut hati Brian. Apakah ada rahsia lain yang tidak dikongsikan sehingga perasaannya sebegitu tawar dan hambar.
Memperincikan pandangan Brian tentang perasaan kasih sayang lelaki itu, saya rasa ia akan berkait rapat dengan sikap Cikgu Kamal. Saya yakin Cikgu Kamal juga memberikan wajah baru dalam kehidupan Brian. 
Timbul rasa kasihan dengan perjalanan hidup remaja Brian. Dia terperangkap dek godaan lelaki dewasa yang sepatutnya melindungi. Bukan lelaki yang mengambil kesempatan atas kelemahan mereka yang lebih mentah. Brian tersepit antara tuntutan naluri dan kasih sayang yang tiada. Dia hanya dipergunakan. 
 
                      
                                      ***
 
 
ANDAI sudah dinamakan lelaki, sikap dan perbuatan tidak pernah seiring. Bijak benar bermain kata. Segalanya di hujung bibir. Untuk mencari keikhlasan amat payah. Kejujuran jauh sekali. Bagaikan panggang dengan api. Hari ini bermadah seloka, esok lusa tidak pasti. Entah-entah duka sengketa timbul melata.
Cikgu Kamal juga tidak terkecuali. Membara benar aku melihatnya. Kejadian malam itu rupanya tidak memberi apa-apa makna selain kemesraan sedetik. Lelaki itu hanya melempiaskan nafsunya. Aku tidak diumpamakan. Betapa terhinanya aku apabila Cikgu Kamal pulang pagi itu tanpa sepatah kata-kata padaku. Dia pergi bagaikan angin lalu. Hadir tanpa sedar, pergi sesuka hati. 
Petang esoknya, aku sengaja ke bilik guru selepas latihan teater. Niatku ingin berjumpa Cikgu Kamal. Ada perkara ingin kuperkatakan. Tetapi kelibat Cikgu Kamal tiada. 
Lama menunggu akhirnya aku  beredar ke perpustakaan. Aku menarik nafas lega. Dia sedang tekun membuat catatan dan sesekali merujuk buku yang di hadapannya, melepaskan keluhan bosan melihat aku datang. Dari kerlingannya, aku sedar dia kurang senang dengan kedatanganku itu. Wajahnya tiba-tiba masam mencuka.
“Saya ada hal nak tanya cikgu,” sapaku menarik kerusi di hadapannya. 
“Penting sangat ke?” soal Cikgu Kamal seperti mengomel. Matanya liar memandang keliling. Lagak seperti takutkan sesuatu. Aku pun turut memandang persekitaran perpustakaan. Tiada apa yang mencurigakan. Hanya aku dan Cikgu Kamal yang ada. Selebihnya perpustakawan yang bertugas, tetapi mereka sibuk dengan tugas masing-masing. Perpustakaan itu sunyi sahaja. 
“Penting tu tidaklah cuma hairan…,” sengaja aku menghentikan kata-kata untuk melihat reaksi Cikgu Kamal. 
“Hairan?” tanya Cikgu Kamal yang masih sibuk mencatat. Aku di hadapannya langsung tidak dipandang.
“Cikgu seperti mengelak daripada berjumpa saya. Apa yang cikgu takutkan?”
Cikgu Kamal tunduk. Dengan helaan nafas yang panjang, dia mengangkat muka dan memandangku dengan pandangan yang aku cukup terkesan. Pandangan itu jelas menampakkan rasa resah, kurang senang dan kekeliruan.
“Maafkan saya atas apa yang terjadi semalam. Saya tak berniat untuk melakukannya. Sungguh saya terkilan…” ujar Cikgu Kamal perlahan tetapi cukup jelas dipendengaranku.
“Kenapa nak terkilan? Kita kan sama-sama merelakan?” 
“Awak tak faham maksud saya…”
“Saya yang tak faham atau cikgu yang sengaja nak mempermainkan perasaan saya?” 
“Bukan macam tu…”
“Saya mengharapkan selepas kejadian itu, kita akan semakin rapat. Saya ingin menjadi sebahagian daripada diri cikgu. Salah ke kalau saya berperasaan begitu?” aku memberanikan diri meluahkan isi hati. Sikap dingin Cikgu Kamal menjadikan aku perlu bersikap terbuka. Aku inginkan keikhlasannya. 
“Saya tak boleh menerima semua itu!”
“Tapi kenapa?” desakku tidak puas hati.
“Memang tak boleh!” balas Cikgu Kamal dengan suara sedikit tegas. Tetapi bagiku ia kedengaran marah dan benci.
Aku tidak dapat meneruskan kata-kata lagi. Lidahku kelu. Tidak disangka kejadian semalam membuatkan Cikgu Kamal tertekan. Agak menghairankan, lelaki yang beraksi bagaikan sudah berpengalaman itu seolah menyalahkan aku. Tidakkah dia sedar, malam itu aku hanya memulakan. Cikgu Kamal yang bertindak daripada sepatutnya. Dia seperti dahagakan sesuatu. 
“Saya akan berkahwin hujung tahun ini!” tiba-tiba Cikgu Kamal bersuara. Suaranya yang kedengaran keras tadi sudah bertukar nada. Nada yang lembut memohon pengertian.
“Peduli apa saya. Saya mahu kita berkawan sahaja. Bukannya saya suruh cikgu batalkan perkahwinan cikgu tu,” 
“Tapi saya perlu jujur dengan bakal isteri saya…” 
Jawapan Cikgu Kamal mematikan segala harapan. Segalanya sudah tiada erti lagi. Tiada gunanya aku menunggu lama. Cikgu Kamal tidak memerlukan aku sebagaimana aku menginginkan dia. Tanpa mempedulikannya, bergegas aku bangun dan berpaling menjuju ke pintu keluar. Kutinggalkan perpustakaan dengan hati terhiris. Harapan wangi yang kuharapkan kecundang juga.
Keputusan menarik diri daripada berlakon teater menyebabkan teman-teman terkejut. Mereka tidak dapat menerima keputusanku memandangkan aku tidak memberi sebarang alasan kukuh. Aku sekadar memberitahu, ingin berehat. Puas memujuk. Watak sebagai pengemis itu sememangnya cukup sesuai denganku. Pengarah teater pun memilih aku untuk watak itu kerana emosi aku yang kuat untuk watak tersebut. 
Aku akui itu dan jauh di sudut hati agak terkilan melepaskan watak yang aku telah berlatih sepenuh hati. Namun aku perlu jujur dengan perasaan aku sendiri. Tiada gunanya aku berlatih sedangkan fokus aku entah ke mana. Daripada menyusahkan pihak lain, eloklah aku undur diri.
Tidak mengapalah, bukan rezekiku agaknya untuk mengembangkan bakat seni. Kalau aku teruskan juga, ia tidak sesempurna harapan sebelumnya. Setiap kali turun berlatih, hatiku bergelora. Terpandang Cikgu Kamal di kelas atau terserempak di kantin, mulalah aku menjadi tidak tentu arah. Skrip dihafal hilang sudah dialognya. Gara-gara Cikgu Kamal segalanya sudah tidak seperti dahulu.
Lalu rutin harianku kembali seperti biasa. Selepas habis kelas, aku pulang ke rumah dan membantu keperluan seharian. Situasi itu lebih menenangkan aku. Namun petang itu, sedang aku membasuh pinggan mangkuk di dapur, kedengaran suara memberi salam.
Adikku, Meon yang sedang bermain guli bersama kawan-kawannya menjerit berkali-kali memanggil namaku. Bersegera aku ke anjung dan menjenguk keluar. Menyirap darahku melihat Cikgu Kamal tercegat dengan senyum berbunga.
Dia menghulurkan bungkusan ole-ole berisi buah-buahan dan kek. Turut diberikan sebuah beg berisi bungkusan yang dibalut kemas. Aku tidak pasti apa isi bungkusan itu. 
Aku menerima pemberian Cikgu Kamal itu dengan perasaan yang kosong.  Lima belas minit berbual di anjung, aku sekadar mendengar nasihat dan kata-kata Cikgu Kamal. Sepatahpun aku tidak menjawab.
Dia sebenarnya datang memohon maaf atas apa yang berlaku antara kami. Selain itu dia juga mendapat perkhabaran tentang aku yang menarik diri dari teater. Sekiranya penarikan diri itu disebabkan apa yang berlaku antara kami,   Cikgu Kamal mengharapkan aku agar mempertimbangkan kembali keputusan tersebut.
Cikgu Kamal tidak mahu aku terlalu mengikut perasaan. Jangan dipersiakan bakat yang ada. Aku perlu lebih bersikap realistik bahawa tidak semua apa yang kita inginkan tercapai. Anggaplah apa yang berlaku antara kami hanyalah sekadar mimpi.
Setelah Cikgu Kamal pulang, aku segera membuka bungkusan hadiah. Terbeliak mataku apabila mendapati  hadiah yang diberikan itu set kecantikan wanita. Apa sebenar tujuan Cikgu Kamal menghadiahkan aku alat solek begitu? Dia ingin aku berdandan seperti seorang perempuan?
Jam dua belas malam, terdengar ketukan kecil di tepi tingkap bilikku. Aku yang baru hendak melelapkan mata, tertanya sendiri. Siapa pula yang datang tengah malam begini? Daripada lubang dinding, aku melihat keluar. Cikgu Kamal rupanya. 
Perlahan-lahan aku membuka tingkap. Cikgu Kamal memberi isyarat agar aku turun. Aku geleng. Bimbang ayah ketahuan. Nanti banyak soal pula dengan kedatangan Cikgu Kamal itu. 
Cikgu Kamal tetap juga meminta aku turun. Aku tiada pilihan lain, terpaksa turun melalui tingkap. Mujur ia tidak terlalu tinggi. Cikgu Kamal segera menarik aku ke tepi rumah. 
Dia memberitahu tujuan dia datang. Dia meminta kembali hadiah yang diberikan. Tersilap katanya. Set alat mekap itu adalah untuk bakal isterinya yang kebetulan dibalut pembungkus yang sama. Hadiah yang sebenar berisi set alatan belajar yang dibeli untuk aku, diserahkan sebagai ganti. 
Tersinggung benar aku. Tidak habis-habis Cikgu Kamal ingin menyeksa perasaanku. Dia memang sengaja menguji kesabaranku. Siapa pun tentu tidak akan mempercayai dia tersilap memberi hadiah. Saiz bungkusan pun berbeza. 
Aku berkeras. Terlanjur sudah set alat mekap itu di tangan, aku tidak akan memulangkannya. Cikgu Kamal meneguk liur. Dia pulang dengan kehampaan.
Sepanjang malam itu juga aku bagaikan dirasuk. Dengan kemarahan masih di hati, set alat mekap itu kubuka. Seumpama jurusolek mahir, aku melukis wajah. Sehinggalah wajahku siap bersolek, aku akhiri dengan sentuhan gincu semerah darah. 
Ahh, ada yang terkurang! Aku melihat wajahku yang berubah menjadi seorang perempuan itu dengan dahi berkerut.  Seolahnya ada yang terkurang. Aku berfikir sejenak. Senyumku mula melebar. Dengan berjingkit, aku ke anjung. Tanganku pantas mencapai sesuatu di ampaian.
Malam itu, aku adalah ratu. Kebarung ungu ibu muat-muat di tubuh!  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *