Bab 3
Jika sudah mencintai, aku serahkan jiwa raga. Tiada kompromi. Noktah.
PENGALAMAN pertama itu meninggalkan kesan teramat. Aku seperti tidak mempercayai menempuh pengalaman itu. Jijik. Gusar. Takut. Seribu satu perasaan membelit tangkai hati.
Pagi itu aku terlewat bangun. Melihat jam di dinding, hatiku berdetup. Sudah jam 9 pagi. Bingkas aku bangun. Gagal. Lengan sasa Tuan Khairil masih berlengkar di dadaku. Dia mengiring memelukku penuh erat. Nafas kasarnya menampar pangkal leherku.
Aku cuba menolak tangannya itu. Tuan Khairil tersedar. Dia tersenyum sambil menarik aku dalam pelukannya. Aku cuba menolak. Tuan Khairil segera mencium pipi dan bibirku. Mati akal aku dibuatnya. Semakin aku menolak semakin rakus Tuan Khairil menggomolku. Akhirnya aku membiarkan dia memperlakukan apa sahaja. Aneh sungguh sikapku itu. Separuh hati menolak, separuh hati merelakan. Perasaan apakah itu?
Semenjak malam dan pagi itu, aku sering berkunjung ke rumah Tuan Khairil. Ada sahaja alasan yang diberikan kepada ibu agar membenarkan aku bermalam di sana. Seperti biasa ibu yang pendiam itu tidak banyak soal. Dia hanya menasihatiku agar pandai membawa diri. Tuan Khairil orang berada. Kami miskin. Jangan terlebih sudu daripada kuah.
Perhubungan rahsia itu berlangsung agak lama. Kami cukup pandai berlakon. Di hadapan ibu dan ayah, Tuan Khairil melayan aku seperti biasa. Aku dianggap seperti adik kandungnya. Tetapi apabila bersama, aku adalah kekasih tercinta. Malahan kesempatan bertemu tidak pernah dipersiakan. Tuan Khairil sering mengharapkan layananku. Begitu juga aku. Kami saling memerlukan.
Sesekali terfikir juga aku tentang apa yang kami lakukan itu sesuatu yang salah. Pernah aku menyuarakan kekesalan itu pada Tuan Khairil. Dia hanya tersenyum. Katanya, selagi ada kasih sayang antara kami, mana mungkin ia satu kesalahan. Mendengar kata-katanya itu aku berasa senang hati. Sedikit demi sedikit kekesalanku cair juga.
***
“HEI tak habis berangan ye?” satu suara mengejutkan aku. Berkecai segala kenangan. Wajah Tuan Khairil pecah dan menghilang.
“Oh Jef, awal balik?” soalku kehairanan.
“Saja ponteng kuliah. Badan rasa tak sihatlah,” balas Jefri duduk di sofa. Dia membuka butang kemeja sehingga menampakkan dadanya yang sasa. Jefri bersandar dengan mata terpejam.
“Jef demam?” aku duduk di sisinya.
“Entahlah, rasa nak demam…”
“Dah makan ubat?”
Jefri geleng. Aku segera ke dapur. Mengambil panadol dan segelas air.
“Tak mahulah Brian. Saya tak suka makan ubat. Pahit,” Jefri menolak panadol yang aku hulurkan. Terasa lucu pulak melihatnya begitu. Seperti budak-budak.
“Kalau Brian picitkan kepala saya ok jugak,” saran Jefri setelah aku meletakkan gelas di meja. Tidak diduga dia meletakkan kepalanya di ribaanku. Menyirap darahku naik ke muka. Aku tersipu malu. Dadaku bergetar kencang. Melihat Jefri yang terpejam itu, aku meneguk liur. Hidungnya yang mancung terletak seperti mengamit aku untuk menggigitnya. Bibirnya pula nipis kemerahan. Bulu-bulu nipis di atas bibir menambah debar di dadaku.
“Cepatlah. Kata nak picit?” rayu Jefri menarik tanganku lalu meletakkan di kepalanya. Dengan penuh gementar bercampur malu-malu, aku memicit kepala Jefri. Setiap kali jemariku bermain dengan anak rambutnya itu, aku tiba-tiba terkenangkan Syed Ikram.
Tuhan, mengapa perlu aku mengingati lelaki itu lagi?
“Laa, menung pulak?” Jefri mendongak. Dia mencuit pipiku. Aku mencebik. Pura-pura merajuk walhal dalam hati bersorak bahagia. Jefri seolah memahami kesepian hatiku.
“Mana ada menung? Saja terkenangkan seseorang yang telah hilang…” keluhku menahan sebak.
“Hilang?” tanya Jefri seraya bangun. Dia bersila menghadapku.
“Seseorang yang pernah aku sayang suatu ketika dulu,”
Jefri senyum nipis. Dia merenung aku dengan pandangan yang aku sendiri tidak pasti erti renungan itu. Apakah dia kasihankan aku? Atau renungan itu untuk mentertawakan kebodohanku selama ini?
“Saya tahu siapa dia…” Jefri menjawab dengan penuh yakin. Kali ini renungannya tidak mampu untuk aku lawan lagi. Aku tunduk. Renungan tajam Jefri itu amat menikam hati lantas menghadiahkan keresahan tidak berpenghujung.
“Syed Ikram kan puncanya?” tokok Jefri meneka.
“Mana Jef tau?”
“Saya teka saja. Rasanya gambar lelaki di dinding tu Syed Ikram bukan? Namanya ada dicatat di hujung gambar, siap dengan sajak cinta lagi…”
Biarpun terkejut dengan kata-kata Jefri itu, aku mengangguk perlahan. Tiada gunanya berahsia lagi. Terlanjur Jefri mengambil berat, tiada salahnya aku menceritakan apa yang berlaku. Berbahagi cerita.
“Saya juga yakin nama Brian tu Syed Ikram yang beri kan?”
Sekali lagi aku angguk. Tekaan Jefri itu memang tepat. Nama Bahrin tidak sesuai untukku. Syed Ikram mahu aku dipanggil Brian. Lebih menyerlah dan glamour katanya.
“Boleh saya tahu nama sebenar Brian?” tanya Jefri seakan merayu.
“Kenapa nak tahu?”
“Tak salah kalau saya nak tahu. Sejak dari masa saya masuk sini, Brian tidak mahu saya panggil nama lain selain dari panggil Brian saja. Sebab tu saya anggap nama Brian begitu istimewa untuk Brian kan? Tapi rasanya nama yang diberikan sejak lahir juga istimewa!” pancing Jefri. Bijak sungguh dia menyusun ayat memikat hatiku.
“Tak ada istimewanya nama tu. Nama yang membuatkan aku rasa terkilan dan sedih atas laluan hidup aku yang tidak seperti orang lain.”
“Brian membenci nama yang diberikan ayah ibu?” Jefri mempersoalkan kewajaran aku berkata begitu.
Aku tidak pernah membenci nama penuhku. Nama itu tetap abadi di hati selamanya. Matiku nanti pun menggunakan nama tersebut. Cuma aku rasa biarlah aku dengan nama Brian. Bukan kerana nama itu diberikan oleh Syed Ikram tetapi sekurang-kurangnya nama itu mampu memberikan kekuatan untuk aku meneruskan hari mendatang.
Brian berbunyi agak kebaratan. Brian juga sukar disebut kalau tidak kena slangnya. Tapi aku tidak pernah mempedulikan semua itu. Aku senang dengan nama itu. Hanya itu alasan yang aku rasakan cukup sesuai jika ada yang bertanya mengapa nama Brian lebih aku gunakan berbanding nama sendiri.
“Masih tak mahu beritahu saya nama penuh Brian?” nampaknya Jefri masih tidak puas hati selagi aku tidak menjawab pertanyaannya itu. Beriya benar dia nak tahu. Geram pulak aku. Mujur wajahnya yang kacak itu menghilangkan rasa kurang senang aku. Keletahnya yang nakal membuatkan aku tidak marah dengan apa yang ingin dia tahu. Dia berhak tau. Dia sudah terlalu rapat dan mesra untuk aku.
Dia boleh menerima aku seadanya tanpa sebarang prejudis. Lalu mengapa aku perlu menghampakan permintaan anak muda itu? Dia terlalu baik untuk disakiti. Nyatanya kehadirannya adalah tepat pada waktu. Di saat aku amat memerlukan teman berbual. Teman yang akan menyayangi aku sekiranya takdir membenarkan.
“Bahrin Bin Sulaiman.”
“Sedap pun nama tu. Sesuai dengan orangnya…”
“Sesuai bagaimana?” tanyaku ingin tahu. Seolahnya Jefri boleh membaca siapa aku melalui nama Bahrin tu.
“Brian nak tahu rahsia di sebalik nama Bahrin daripada kajian pakar numerologi?”
Aku pantas angguk. Seronok juga kalau tahu keperibadian sendiri melalui kajian pakar. Bukan terlalu percaya, tetapi nak tahu sama ada berkaitan atau sebaliknya.
“Mengikut pakar numerologi nama Bahrin mempunyai jumlah angka sebanyak 52. Sekaligus mewakili seseorang yang bersifat emosional, berani, peramah, suka menerima hadiah daripada yang tersayang dan paling penting cukup memanjakan orang yang dia sayangi dan cintai,” jelas Jefri seraya tersenyum puas.
“Mana Jef tahu semua ni,”
“Saya suka mengkaji sikap manusia. Dari pembacaan, kajian, ramalan serta ilmu warisan terdahulu, semuanya saya suka kaji dan memahami. Daripada itu saya cuba membandingkan dengan seseorang yang saya kenal dan rapat. Sebab tu saya nak tahu nama sebenar Brian. Memang sah nama Bahrin tu bukan nama yang tidak sesuai dengan Bahrin. Ia memang ditakdirkan mewakili siapa sebenar Brian hari ini,” tambah Jefri panjang lebar.
Timbul rasa kagum aku dengan penerangan Jefri. Ia membenarkan sekali tentang keperibadian aku. Aku terlalu emosional. Memang itu kebenarannya. Perasaanku mudah tersentuh. Mudah berubah mengikut situasi. Paling benar apa yang dikatakan Jefri itu tentang bila aku menyayangi dan mencintai seseorang, aku akan membahagiakannya semaksima mungkin. Andai nyawa ini perlu dipertaruhkan pun aku sanggup!
Inilah kenyataan. Aku sanggup memperlakukan apa sahaja demi yang tersayang. Jika sudah mencintai, aku serahkan jiwa raga. Tiada kompromi. Noktah.
“Brian atau Bahrin tetap orang yang sama kan? Sayangilah keduanya tanpa sebarang alasan untuk mengatakan nama tersebut tidak sesuai untuk Brian.”
Ikut hati ingin aku memeluk Jefri. Senang hati aku dengan kata-katanya itu. Namun aku cuba mengawal diri. Persahabatan kami masih terlalu awal. Aku tidak mahu menunjukkan sikap ‘jalang’ aku terlalu awal. Bimbang nanti Jefri terkejut. Bimbang Jefri menolak. Aku perlu mulakan agenda aku untuk memikatnya dengan strategi yang berbeza. Slow and steady!
“Apa sebenarnya yang terjadi antara Brian dengan Syed Ikram?” tanya Jefri setelah dia datang semula ke ruang tamu. Dia menukar pakaian. Kini hanya bersinglet dan berseluar pendek paras lutut.
“Aku pernah sayang dia. Sayang separuh mati!”
“Dan akhirnya Brian juga yang dikecewakan?”
“Hampir mati aku menanggung sakit kerana kehilangannya…”
“Hanya kerana lelaki bernama Syed Ikram buat Brian jadi tidak tentu arah ni?”
Mendengar Jefri menyebut nama Syed Ikram berulang kali, air mataku merembes. Aku tidak tahu mengapa mengapa air mataku menjadi begitu murah. Hilang malu. Hilang segan. Aku menangis semahunya di depan Jefri yang kelihatan kaget dengan tangisanku itu.
“Eh, janganlah nangis. Habislah mekap tu nanti?”
Aduh, malunya. Tebal sangatkah mekap aku? Segera aku berlarian ke bilik lalu menerpa ke cermin. Sekali lagi aku menjerit. Aku belum bercukur rupanya!
***
PETANG itu aku mengunjungi Bada di salonnya. Kesempatan itu juga aku memotong rambut yang sudah melepasi bahu. Bada menyarankan aku mencuba style baru. Style lama sudah tidak sesuai lagi dengan wajahku yang semakin cengkung itu. Aku kelihatan seperti bermasalah dengan rambut sebegitu. Tanpa banyak soal aku bersetuju. Terpulanglah. Bada pakar dan tahu apa yang terbaik untuk aku.
“Kalau ye pun ada problem, janganlah tunjuk sangat!” leter Bada sambil jemarinya bermain dengan gunting dan sikat. Dia begitu bersahaja memotong rambut. Kemahirannya memang teruji.
“Kau cakap senanglah. Tak rasa apa yang aku rasa,” bela aku. Mata yang memandang tidak seperit bahu yang memikul. Bada boleh berkata apa sahaja. Tapi yang menanggung sengsaranya aku.
“Kau ingat aku tak merasa semua tu?” balas Bada tidak mahu kalah. Sememangnya begitulah sikap Bada. Kalau berdebat apa perkara pun, dia sentiasa ingin menang. Walau apa yang dipertahankan itu tidak masuk akal. Tetapi aku tidak ambil hati. Bada walaupun begitu, dia tetap sahabat susah senang bersama.
“Takkanlah kes kau dengan Megat tu termasuk dalam cerita kita ni?”
“Mahu aku tak peduli. Jantan tak guna tu tinggalkan aku kerana janda anak lima. Separuh gila aku dibuatnya. Berhabisan aku kerana dia. Sudahnya dia angkat kaki. Kalau aku tau perangai dia macam tu, dah lama aku potong anu dia tu kasi makan anjing!” marah Bada.
“Hoi nyah. Nak marah-marah sajalah. Kau tolak kepala aku ni apa hal?”
“Sorry!” Bada tersipu-sipu malu. Dia dibawa perasaan. Mujur tiada pelanggan lain. Hanya aku dan pembantunya yang berada di salon.
“Kau tak boleh samakan Ikram dengan Megat. Dia lain…” ujarku tidak puas hati. Bada tidak habis-habis mengutuk Syed Ikram. Sejak aku mula rapat dahulupun, dia tidak pernah merestui. Bada tidak yakin Syed Ikram akan setia dan membahagiakan aku. Bagi Bada, Syed Ikram hanya hendak berseronok-seronok.
“Apa yang lain? Kalau dah namanya jantan tu semuanya sama!” Bada mencebik. Panjang seinci muncungnya. Di cermin aku menahan ketawa. Adakalanya sikap Bada menggelikan hati. Soal seriuspun boleh berakhir dengan kelucuan dengan telatahnya.
“Kau tak kenal Syed Ikram…” suaraku kendur. Kelopak mata terasa panas.
“Bukan soal kenal atau tidak. Aku sebenarnya kasihan melihat kesudahan hubungan kau dengan dia. Tengoklah sekarang, siapa yang ditinggalkan? Siapa yang kurus cengkung ni?” Bada berhenti menggunting. Dia duduk di hadapanku. Digenggamnya jemariku erat.
“Biarlah Bada. Aku harap dia bahagia. Dia pun bukan berkahwin dengan orang lain. Adik aku juga,”
Bada mengeluh. Wajahnya berkerut. Aku tidak pasti apa yang dia fikirkan ketika mendengar jawapanku itu.
“Aku cuba melupakan segalanya,”
“Semudah itu?” Bada membesarkan matanya.
“Memanglah tak mudah tapi aku perlu cuba dan terus mencuba. Kau kena sokong aku,” jawabku tenang dan penuh mengharap.
“Jadi kau dah nekad nak buang segalanya?”
Aku angguk. Itulah keputusan yang telah aku fikirkan selayaknya. Muktamad.
“Termasuk gambar perkahwinan kau dulu?”
“Apa kaitan gambar tu dengan persoalan kita?”
“Kau tak buang lagi kan album gambar tu? Mampu ke kau nak buang atau bakar gambar-gambar tu?” cabar Bada.
Darahku menyirap. Kurenung Bada tajam. Bada tidak mengalah. Dia lantas tersenyum sinis. Aku seperti dapat merasakan dia mencabarku.
“Tiga tahun kau berdua hidup bersama seperti suami isteri. Semudah itu kau dapat melupakannya. Jangan bohong la Bahrin Bin Sulaiman!” sahut Bada separuh menjerit.
Bada kalau sampai dia menyebut nama penuh aku, itu petanda dia sedang marah. Aku lantas mendiamkan diri. Tak sanggup lagi untuk berdebat sesuatu yang aku sendiri akan terluka dan menderita.
Aku bingkas bangun. Tidak sanggup lagi mendengar sindiran Bada, meluru aku keluar ke pintu. Pembantu Bada, Jimmy yang sejak tadi menonton perbualan kami terpisat-pisat hilang punca. Tapi aku tidak peduli semua itu, dengan mengesat air mata yang mula bertakung, berlari-lari aku ke tempat meletak kereta.
Aku menyembamkan muka di stering. Lama aku melepaskan perasaan. Air mata bagaikan hujan. Mata yang memandang tidak lagi aku hiraukan. Persetankan mereka. Protesku dalam hati. Mereka hanya mampu menunding jari. Keperitanku pernahkah mereka peduli?
Tiga puluh minit menangis, kesedihanku pulih. Aku mencapai tisu. Kukesat air mata yang masih bersisa. Nafas kutarik panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Ingin mencari sedikit ketenangan, hampa juga. Kata-kata Bada terus terngiang-ngiang.
Hakikatnya, sampai matipun tidak pernah melupakan kenangan bersama Syed Ikram. Biar bibirku menuturkan apa juga keputusan, separuh hatiku tidak mungkin merelakan. Mana mungkin lelaki yang kuserahkan segalanya dapat aku singkirkan semudahnya. Sesungguhnya cincin berlian di jari manisku telah menjadi saksi.
Tiga tahun lalu, 14 Februari itu, aku dan Syed Ikram mengikat janji. Cincin berlian itulah buktinya.
Ahh, betapa segaknya Syed Ikram berkot serba putih. Dan aku memakai gaun putih krim berviel labuh mencecah lantai.





