Wanita hebat ini bukan calang-calang. Penglibatannya dalam banyak pertubuhan NGO memberikan ruang untuk beliau berbakti dan menyumbang idea untuk kejayan bersama. Lebih menarik berbakat dalam bidang penulisan menjadikan artikel ini ditulis sendiri oleh Emma Harith. Rasanya itu yang lebih bersesuaian untuk beliau menyampaikan misi dan visinya. Kita selami jiwa seorang Emma Harith yang sentiasa mencabar diri dengan cabaran hidup tanpa istilah mengaku kalah. – editor
SIAPA EMMA HARITH?
Saya dilahirkan di Pulau Pinang, berumur 45 tahun dan saya adalah seorang surirumah, penulis dan penggerak NGO. Mempunyai 3 orang anak, yang sulong seorang lelaki 23 tahun, kedua dan ketiga perempuan umur 12 dan 10 tahun.Suami saya bekerja sendiri dan tidak pernah menghalang ‘ hobi’ NGO saya, walaupun dia selalu kata ‘ your hobby is expensive’. Apa yang saya nak kata lagi, selain ‘ thank you for always be by my side’.
Seorang individu biasa yang suka melakukan pelbagai perkara dalam satu masa, begitulah lebih kurangnya perangai saya . Maka dengan itu, pengisian masa adalah amat penting bagi saya, kerana bagi saya masa adalah lebih berharga daripada emas, seperti sungai yang mengalir, setiap detik yang kita lalui tidak mampu diulang kembali.
Kerana itu saya akan mulakan hari saya pada pukul 3.00 pagi untuk ‘me time’, masa itu saya akan minum kopi sendirian sambil membaca dan menikmati suasana yang sunyi, kemudian bersenam dan selepas itu menyediakan sarapan untuk keluarga. Anak-anak pergi sekolah, saya akan menyelesaikan kerja-kerja rumah dan kemudian mengadap komputer saya untuk menulis.
Kadangkala menulis untuk suka-suka seperti di media sosial atau saya menulis untuk ‘client’. Begitulah saya setiap hari, jika saya tiada aktiviti luar.
DUNIA PENULISAN
Terima kasih kepada Datin Hasnah Rahman, Ketua Pengarang bagi New Malaysia Herald, sebuah portal berita online yang memuatkan artikel-artikel dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Alhamdulillah portal berita ini semakin mendapat tempat kerana menyediakan berita-berita yang berkualiti bagi memenuhi selera pembaca. Saya sangat gembira diberi peluang untuk menuls di kolum saya sendiri berkenaan kisah-kisah wanita dan isu-isu terkini.
Selain daripada itu saya juga menjadi ‘penulis hantu’ untuk client yang meminta saya menulis untuk segmen pemasaran mereka. Sama ada alih-bahasa, copy-writing; atau berkenaan produk. Saya juga menjadi ‘ penulis hantu’ untuk client saya yang menerbitkan buku atas nama mereka. Kebanyakan mereka mahukan buku atas nama mereka, kerana buku adalah ‘ legasi’ yang boleh dan akan di banggakan oleh anak cucu serta generasi akan datang. Tiada yang lebih baik ditinggalkan sebagai ‘ kenangan’ selain buku yang di tulis dengan sepenuh hati dan sarat dengan kasih sayang.
Bagi saya pula, untuk tahun hadapan jika tiada aral melintang, saya bakal terbitkan sebuah buku yang ditulis bersama bapa saya berkisahkan pengalaman bapa saya sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam arena penulisan akhbar daripada rookie reporter kepada editor lebih dari 40 tahun, dan sebagai ‘ penulis hantu’ pula, saya bakal menghasilkan sebuah buku motivasi dan dua buah buku resepi masakan tradisional. Insya-Allah.
Benar, menulis adalah dalam darah daging saya, tetapi masih banyak yang perlu saya pelajari dan saya perhalusi untuk memastikan standard penulisan saya setaraf dengan nama penulis- penulis tersohor.
EMMA HARITH DAN NGO
Pada ketika ini saya menggerakkan beberapa NGO, walaupun memegang jawatan dalam NGO-NGO tersebut , saya lebih selesa menjadi koordinator, dan menjalankan ‘ networking’ untuk NGO -NGO saya. Ini kerana pada saya , rakan-rakan yang bersama saya adalah layak untuk mengemudi NGO-NGO tersebut kerana mereka faham akan misi, visi dan objektif bersama.
Bak kata pepatah “ If you want to go fast, go alone; but if you want to go far, go with numbers.” . Saya mahu ‘ go far’ dalam bidang NGO kerana itu aktiviti yang saya lakukan, baik dalam bidang ekonomi, kebajikan, keusahawanan atau sosial saya akan mengajak rakan-rakan saya untuk bersama.
Adakala saya akan mengajak NGO-NGO yang bukan di bawah pengurusan saya sebagai ‘gabungan’ kerana bagi saya kita jangan jadi ‘ tamak’ dalam membuat kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Kita mahu keadaan masyarakat kita lebih baik dan tidak terabai, walaupun keadaan politik dan ekonomi negara kita amat merisaukan.
Pada ketika ini saya membawa kehadapan tiga daripada NGO saya iaitu Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita (PRPEW), Pertubuhan Pemangkin Ekonomi Melayu Malaysia (PEM) dan Pertubuhan Kebajikan Nusa Sejagat Malaysia dan satu sekutu rapat saya iaitu Pertubuhan Wanita Impian Ehsan (Perwanie).
PERTUBUHAN PEMANGKIN EKONOMI
MELAYU MALAYSIA (PEM)
Pertubuhan Pemangkin Ekonomi Melayu Malaysia (PEM) ditubuhkan pada 16 September 2014 di Negeri Selangor bertaraf kebangsaan sebagai pertubuhan berlatarbelakangkan kebajikan. Pertubuhan ini dipimpin oleh Puan Suryani Yusof yang mana telah aktif dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sejak tahun 1992 melalui pelbagai pertubuhan sehingga tertubuhnya PEM.
Beliau adalah seorang usahawanita dan perancangan terkini beliau adalah untuk mengadakan ‘ clothing line’ jenama sendiri, daripada tudung, skirt, dress dan kemeja serta jubah.
PEM secara langsungnya terlibat dengan aktiviti sumbangan kepada kumpulan yang memerlukan dan mana-mana individu yang dikenalpasti memerlukan bantuan.
Pada 2020 PEM juga terlibat dengan kempen perpaduan masyarakat melalui usahasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, dan Malaysia News Herald dengan menerbitkan beberapa video pendek bagi menggalakkan masyarakat berbilang kaum bersatu menghadapi pelbagai cabaran hidup dikala wabak covid-19 yang melanda.
Sepanjang pandemik COVID-19, PEM bergiat secara aktif menyalurkan sumbangan bahan keperluan asas lebih kepada 1000 penerima tanpa mengira bangsa dan agama. Dana yang dikumpul oleh pihak pengurusan PEM digunakan untuk menjalankan aktiviti kebajikan yang disusun.
PEM juga melalui PEM Digital membangunkan aplikasi-aplikasi bagi kemudahan pentadbiran komuniti seperti MyKomuniti, MyTani untuk pemasaran produk pertanian, MyTernak untuk produk penternakan, MyHardware untuk kemudahan pengurusan bahan binaan untuk kontraktor binaan. Selain itu PEM juga mempunyai 10,125,000 data WhatsApp untuk tujuan pelbagai kempen kebajikan dan perniagaan.
PERTUBUHAN RANGKAIAN PENJANAAN EKONOMI WANITA (PRPEW)
Bagi Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita pula, ia di tubuhkan pada 22 Februari 2018, dan Pengerusi pertubuhan ini adalah Puan Suraya Md Osman dan penaungnya adalah artis 90-an Mac Ruhayu Mohd Nor.
Puan Suraya selain daripada menjadi pengurus kepada Mac Ruhayu, mempunyai syarikat event organiser sendiri. Wanita berumur 48 tahun dan berasal daripada Pulau Pinang ini telah mendirikan rumahtangga dengan seorang pengarah muzik, penerbit album
Mula berjinak di dalam bidang kerja amal dari usia remaja. Dan tidak kekok jika berada di Majlis-majlis Amal dan bekerjasama dengan pertubuhan lain. Menyertai PRPEW sejak awal penubuhannya, dan merasakan bahawa wanita harus berjuang selari dengan lelaki untuk pembangunan manusia dan negara.
PRPEW adalah sebuah pertubuhan di mana kebanyakkan ahli pertubuhan adalah peniaga peniaga kecil dan sederhana. Sewaktu negara dilanda COVID-19 PRPEW banyak membuat kerja-kerja amal seperti membekalkan suit PPE kepada frontliner, kotak makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sewaktu negara dilanda banjir, PRPEW juga turun padang melawat serta membantu mangsa banjir.
Selain itu, PRPEW juga mendapat sokongan dari beberapa orang Menteri di antaranya adalah YB Datuk Hajjah Nancy Shukri, YB Datuk Mastura, YB Zuraidah, dan beberapa individu yang banyak membantu PRPEW sedari awal penubuhan.
Puan Suraya sebagai pengerusi berharap semoga NGO PRPEW mendapat sokongan padu daripada pihak kerajaan, badan Korporat serta orang perseorangan, agar misi dan visi pertubuhan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan akan menjadi NGO yang terkenal seperti NAWEM, NCWO, MERCI, PEKA Malaysia.
Bagi Mac Ruhayu Mohd Nor artis-90 an yang merupakan penaung bagi PRPEW ini. Kewujudan pertubuhan ini bukan sahaja untuk membantu mereka yang memerlukan , tetapi lebih kepada ‘ penghubung’ atau ‘ rangkaian’ pertubuhan, institusi dan individu.
Rangkaian atau ‘network’ ini penting kerana ia memudahkan sesebuah agenda atau tugasan dapat dilaksanakan dengan jayanya terutamanya jika ia adalah satu bentuk ‘ win-win situation’ di mana semua pihak dapat bekerjasama dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.
Puan Mac Ruhayu percaya, dalam menjalankan pertubuhan, persahabatan itu penting kerana dari persahabatan menjadi punca sebuah kerjasama pertubuhan itu mampu menjadi satu wadah ukhwah yang mampu untuk membina jati diri masyarakat yang lebih prihatin dan sejahtera.
PERTUBUHAN WANITA IMPIAN EHSAN
( PERWANIE)
Pertubuhan ini di asaskan oleh Puan Bainun Ahmad pada 2013, yang juga merupakan Pengasas Projek Dapur Fahnun. Beliau mula berkecimpung dalam arena NGO sejak berumur awal 20-an lagi dan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dengan tema “ From Zero to Hero, From Local to Global”.
Bermula 2018 Projek Dapur Fahnun/PERWANIE telah mendapat perhatian dari CEO English Tutorial Centre Padang, Ms Debby Susianti untuk penganjuran Cooking Show 2018/2019/202, iaitu kolabrasi program masak-memasak bersama Persatuan Chef Professional Indonesia dari Cabang Sumatera Barat di Grand Inna Hotel@Truntum Padang dan University Negeri Padang dengan mendapat tajaan Padang daripada beberapa syarikat di Padang antaranya seperti ETC , Palmia dan Villa Mandam. Selain itu PERWANIE juga pernah bersama EDEC berkolabrasi dengan usahawan belia dan komuniti Bogor. Beliau adalah pemegang Gold Membership (Committee Chapter Melaka)
Pada tahun ini PERWANIE sekali lagi dipelawa untuk ke Padang bersama Malaysia Culinary Master Association (MCMA) bagi mempromosikan program World Chef Championship yg akan diadakan di Johor Bahru pada 11 Disember- 14 Disember 2022.
Puan Bainun Ahmad juga terlibat aktif sebagai keluarga angkat peserta Kapal Belia Asia sehingga diberi peluang lawatan ke Tokyo, Jepun. Dalam misi tersebut beliau sempat menjadi ibu angkat kepada anak-anak muda daripada beberapa negara seperti negara Filipina , Laos, Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Myanmar, Cambodia dan Jepun,
Bagi aktiviti kebajikan pula, antara aktiviti PERWANIE & Projek Dapur Fahnun pula adalah semasa
PKP 2020/2021 – Team Penyediaan Makanan Bermasak untuk rumah Kebajikan/pusat PPE/Pusat Kesihatan/Mangsa Covid dan frontliners bertugas di sekatan jalanraya setiap hari antara 250-700 pek.
Misi-misi bantuan lain yang telah dijalankan di kala banjir pula adalah Misi Bantuan Sumbangan Bekalan makanan dan keperluan harian ke Negeri Johor, Misi Bantuan Banjir Gunung Jerai. Misi Bantuan Banjir Selangor dan Program Waqaf Al-Quran/Telekung.
Sebagai Pengasas yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Puan Bainun berharap agar lebih ramai belia terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan dan bergiat aktif dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan. Ini kerana apabila para belia menyertai aktiviti NGO, mereka akan dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang lebih berfaedah di samping menyumbang tenaga muda mereka untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan serta mereka yang memerlukan bantuan.
NUSA SEJAGAT MALAYSIA
Pertubuhan Kebajikan Nusa Sejagat Malaysia (Nusa Sejagat Malaysia) yang ditubuhkan pada tahun 2021, diterajui oleh Presidennya Tuan Meor Mohd Hilmi Meor Zainun atau umum yang mengenalinya memanggil dengan nama “Don”. Dengan latar belakang pendidikan Diploma Aplikasi Multimedia di sebuah institusi pendidikan swasta terkemuka, beliau merupakan usahawan dalam bidang kewangan khususnya dalam industri insuran dan takaful, baik AM atau hayat.
Mempunyai pengalaman lebih 10 tahun di dalam bidang jualan dan pemasaran (sales & marketing) dan kini membawa entiti Nusa Sejagat Malaysia membawa misi dan agenda bagi meningkatkan kesedaran masyarakat peripentingnya menjana, melindungi dan menguruskan kewangan peribadi, keluarga mahupun untuk syarikat dengan baik. Disamping itu agenda kebajikan masyarakat dalam memperjuangkan hak-hak pengguna dan kepentinggan awam tidak diketepikan.
Dalam membawa agenda yang besar ini, Tuan Ashraf Rosli selaku Timbalan Presiden Nusa Sejagat Malaysia, berlatar belakangkan pendididkan Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Perakaunan dan mempunyai pengalaman kerjaya lebih 10 tahun di dalam bidang perakaunan, kewangan dan cukai. Beliau juga usahawan insurans dan takaful baik AM dan hayat. Saling bersinergi dengan presiden Nusa Sejagat Malaysia dalam menjayakan agenda dalam membawa perjuangan bagi mencelikkan masyarakat dengan ilmu kewangan di dalam masyarakat tanpa kompromi dalam membawa agenda kebajikan masyarakat demi membela agama, bangsa dan negara tercinta ini. Emma Harith selaku setiausaha agung Nusa Sejagat Malaysia terus mendokong dan membawa cita-cita yang mana tanggungjawab yang digalas oleh Presiden dan Timbalan Presiden Nusa Sejagat Malaysia dengan memainkan peranan dalam membina pengurusan pentadbiran yang terbaik bagi Nusa Sejagat Malaysia.





