BAB 2 – LELAKI DI SEBALIK PELANGI

Bab 2

Takdir atau kebetulan tidak jauh beza. Kalau dah tersurat melalui pengalaman sebegitu, ia tetap akan berlaku kan?

DEMI Tuhan, sumpah aku tidak dapat menyembunyikan keresahan ketika mendengar pengakuan Bada. Mengapa aku berperasaan begitu, aku sendiri tidak pasti. Jantungku bagai direntap-rentap. Perasaan jadi libang libu. Sehinggalah Bada pulang, aku masih bermenungan.
Kubiarkan fikiran menerawang jauh. Satu demi satu kenangan silam terbayang datang bertandang. Setiap kali itulah aku diamuk sendu. Hatiku kian tidak keharuan.
Mengapa begitu mahal harga secebis kebahagiaan? Keluhku menahan sebak. Sejak kecil aku tidak pernah mengenal bahagia. Selaku anak sulung, aku lebih dipertanggunjawab menjaga adik-adikku.


Ayah bekerja sebagai jaga di sebuah kedai emas di bandar K. Ibu pula amah di rumah seorang pengurus besar ladang kelapa sawit. Ibu keluar pagi dan pulang lewat malam.
Itulah rutin harian. Ayah juga begitu. Keduanya terpaksa mengambil kerja lebih masa demi mencukupkan belanja. Itu belum masuk wang persekolahanku dan dua orang adik beradik yang masih bersekolah. Secara nyatanya, kehidupan kami sekeluarga tidaklah terlalu susah sehinggakan tidak mampu makan dua kali sehari. Tetapi sudah prinsip ayah dan ibu yang sentiasa bersedia dengan seribu kemungkinan hidup.


Terlanjur masih berpeluang untuk bekerja dan diberi kepercayaan oleh majikan, keduanya akan bekerja sepenuh hati. Jika ada rezeki lebih mereka akan menyimpan untuk kegunaan waktu kecemasan.
Justeru itulah aku menerima tanggungjawab menguruskan keperluan adik beradik tanpa banyak alasan lagi. Walau pada mulanya aku kurang selesa apabila setiap kali balik dari sekolah terpaksa ke dapur memasak dan mengemas rumah. Tetapi kerana sudah terbiasa, maka tanggungjawab itu aku anggap biasa dan tidak menimbulkan beban pada aku maupun adik beradik yang lain. Mereka juga turut membantu.
Memikirkan kegigihan ayah dan ibu bekerja keras untuk membesarkan kami, aku bertekad belajar bersungguh-sungguh. Walaupun sesekali timbul rasa penat belajar dan menjaga keperluan adik-adik, aku terima dugaan itu tenang dan sabar. Habis sekolah, aku akan memastikan adik-adiku ke kelas mengaji. Kesempatan itulah aku menghabiskan masa mengemas rumah, memasak dan mengulangkaji pelajaran.


Suatu petang, aku dikunjungi seorang lelaki yang tidak aku kenali. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Tuan Khairil, majikan ibu. Orangnya masih muda dan segak bergaya. Barangkali usianya di pertengahan 30-an. Wajahnya mirip pemuda Cina tetapi matanya tidaklah pula sepet. Cuma kulitnya begitu mulus dan putih kuning.
Melaluinya aku mendapat khabar ibu kemalangan. Dia tergelincir sewaktu mencuci bilik air. Keadaan ibu tidak mencemaskan. Hanya kaki terseliuh.
Kata doktor, ibu perlu berehat tiga minggu. Petang itu juga ibu dibawa pulang dengan bantuan Tuan Khairil. Kebetulan pula sekolah cuti penggal. Lima minggu aku akan berada di rumah. Dapatlah menguruskan ibu.
Semakin sibuklah aku mengambil alih tugasan ibu. Kerja rumah semuanya di bahuku. Tidaklah menjadi satu kepayahan. Ibu sudah mengajar aku bagaimana memasak nasi dan gulai. Boleh dikatakan aku agak mahir dalam bab masak memasak. Ayah sering juga memuji masakanku.
Pagi itu, ibu memanggilku. Dia mencadangkan aku membantu Tuan Khairil. Kata ibu, Tuan Khairil tiada siapa peduli makan minumnya. Selama ini ibu yang menyediakan segalanya. Tuan Khairil tinggal sendirian. Dia terlalu sibuk. Hendak membuat air sendiripun tiada berkesempatan.
Timbul juga kemusykilan di hati, bagaimana kesibukan begitu membuatkan Tuan Khairil lupa tentang soal makan minum. Kata ibu, itulah perangai Tuan Khairil yang kalau sudah bekerja lupa semua perkara. Dia terlalu fokus pada kerjanya. Lebih-lebih lagi ladang kelapa sawit yang diuruskannya itu masih dalam proses penanaman semula. Banyak urusan perlu ditelitikan dan diambil peduli.
Tuan Khairil selesa makan di rumah berbanding di kedai maupun restoran. Dia cukup senang dengan masakan ibu.
Daripada cerita ibu itu, aku sedar ibu mengharapkan bantuan aku sehingga kaki ibu benar-benar pulih. Aku tiada pilihan lain selain bersetuju. Maka petang itu selepas makan tengah hari, aku bertandang ke rumah Tuan Khairil yang terletak di hujung kampung. Rumah teres dua tingkat itu agak tersorok. Berpeluh jua aku berjalan kaki.
Agak lama mengetuk pintu, barulah daun pintu terbuka. Tuan Khairil agak terkejut melihat aku. Melihat rambutnya yang sedikit tidak terurus, ditambah hanya bersinglet dan berseluar pendek, aku dapat meneka, dia baru sahaja sedar daripada tidur.
Setelah memberitahu permintaan ibu, Tuan Khairil mempersilakan aku masuk. Aku meminta izin ke dapur untuk mengambil mangkuk. Tidak lama kemudian aku datang semula bersama semangkuk pengat pisang dan segelas air kosong.


Tuan Khairil kelihatan begitu berselera menikmati pengat pisang yang aku siapkan sebelum datang tadi. Kata ibu, pengat pisang adalah juadah kegemaran Tuan Khairil untuk menu minum petangnya. Dia tidak suka terlalu manis dan kerana itu gandingan dengan air kosong sudah memadai baginya.
Sementara Tuan Khairil makan, aku kembali semula ke dapur. Dapur kelihatan bersih dan kemas. Seolahnya langsung tidak digunakan. Tuan Khairil tentunya hanya membeli makanan di luar semenjak ibu tidak lagi datang. Jelas ketara ketika melihat banyak bekas makanan dalam tong sampah yang belum dibuang.
Aku membuka peti sejuk. Melihat masih ada beberapa ketul ayam dan kacang panjang, aku mengeluarkannya untuk menyediakan hidangan makan malam. Aku bercadang mengoreng kacang panjang dan ayam dimasak kicap. Rasanya sudah memadai untuk juadah malam ini. Esok, aku akan meminta Tuan Khairil membeli barangan dapur jika ingin menu yang lain pula.
Sedang asyik menyiang bawang, Tuan Khairil masuk. Dia berdiri di sebelahku dengan senyuman lebar. Sempat dia memuji cara aku menyiapkan makanan dengan penuh teratur dan bersih. Aku sekadar membalas pujiannya itu dengan senyum yang dibuat-buat.
Sebenarnya aku kurang selesa kalau sewaktu di dapur, ada orang yang melihat. Di rumah sendiripun, adik beradikku dilarang menggangguku. Aku lebih senang buat kerja dapur tanpa bantuan sesiapa. Lebih memudahkan aku berkreatif untuk mencuba pelbagai resipi.


“Tuan Khairil masuklah dulu. Siap nanti saya panggil makan,” ujarku perlahan tetapi cukup mampu didengari Tuan Khairil.
Mungkin Tuan Khairil menyedari gementarku, dia segera melangkah pergi. Aku menarik nafas lega. Tanganku kembali lincah. Tidak sampai setengah jam, semuanya siap. Kacang panjang goreng campur telur dan ayam masak kicap. Minta-minta Tuan Khairil menggemari masakanku itu.
Setelah menghidangkan masakan itu di meja, aku meminta diri. Tuan Khairil yang sedang membaca di ruang tamu mengerling memandangku. Aku melangkah penuh sopan menuju ke pintu. Langkah terhenti apabila mendengar Tuan Khairil memanggil namaku. Aku berpaling dan tercegat kaku.
“Umur adik berapa?” tanya Tuan Khairil.
“Tujuh belas tahun!” jawabku dengan sedikit debar. Aku sebenarnya masih mencari keselesaan untuk berhadapan dengan Tuan Khairil. Dia majikan ibu. Aku tidak mahu sebarang tindakan maupun tutur kataku kelihatan kurang sopan di mata Tuan Khairil.
“Tentu adik seorang pelajar yang rajin kan?”
“Biasa saja Tuan Khairil…”
“Tahun ni SPM kan? Kalau perlu bantuan apa-apa, jangan segan-segan, beritahu saja. Dulu abang pelajar terbaik di sekolah tau, “ balas Tuan Khairil mula menampakkan sikap ramahnya.
“Terima kasih Tuan Khairil. Saya ni lemah sikit subjek Bahasa Inggeris dan Matematik,” ujarku berterus terang.
“Laa, tak payah bertuan-tuanlah, panggil abang sajalah senang, “ suruh Tuan Khairil tersenyum mesra.
Aku angguk. Debaran kerana ketidakselesaan tadi sedikit sebanyak seakan undur diri.


Dia menghantar aku hingga ke muka pintu. Sewaktu bersalaman, Tuan Khairil menyelitkan not RM50 ke dalam poket baju. Aku cuba menolak tetapi dia meminta aku menyimpannya. Katanya buat belanja sekolah. Aku ucap terima kasih dan terus berlari balik dengan hati girang. Nampaknya minggu ini bolehlah berbelanja lebih sedikit.

***

“MULANYA perhubungan itu berjalan seperti biasa. Ada kelapangan aku akan datang ke rumahnya. Memasak atau mengemas apa yang perlu. Adakalanya aku bersendirian di rumah besar itu. Tuan Khairil selalu kerja luar. Jarang balik rumah, “ cerita Brian.
“Sejak bila pulak hubungan itu berlarutan ke tahap yang tidak sepatutnya?” tanya saya seakan memujuk. Saya rasa tanpa penerangan lanjut pun Brian tetap faham maksud saya.
“Semuanya terjadi pada suatu malam selepas seminggu aku berulang alik ke rumahnya. Waktu itu aku datang sebelah petang. Lepas dia ajar Bahasa Inggeris, dia bertanya apakah aku ada rancangan apa-apa. Aku jawablah tak ada. Mendengar jawapan aku tu, dia kelihatan gembira. Hairan jugak aku. Sebab apa dia begitu gembira. Tetapi selepas dia memberitahu agar aku bermalam di rumahnya, aku mula tak senang duduk,”
“Brian terus bersetujulah?” pancing saya.
“Mulanya hairan jugak tetapi melihat dia beriya-iya benar mengajak, aku pun bersetuju. Tambahan pulak dia mengatakan ada surprise untuk aku. Sebut saja tentang surprise aku memang dah tak sabar lagi. Memang pantang aku kalau benda-benda surprise ni,” balas Brian sambil ketawa.
“Jadi sebab terlalu nak surprise, tu yang terjebak ye?”
“Agaknya dah takdir kot!”
“Amboi mudahnya menyalahkan takdir. Dia tu yang sengaja menempah maut,” usik saya.
“Bagi aku takdir atau kebetulan tu tak jauh beza. Kalau dah tersurat aku melalui pengalaman sebegitu, ianya tetap akan berlaku kan?”
“Brian terlalu muda waktu tu. Masih remaja. Belum tahu permainan manusia sebenarnya. Ada yang kita anggap jujur, tapi sebenarnya ada perancangan lain sedang mereka atur.”
“Agaknya lah. Kalau aku tak bermalam, tentu semua itu takkan terjadi kan?” kata Brian seakan menyesali apa yang telah berlaku.

***

MALAM sudah semakin larut. Aku masih juga tidak dapat melelapkan mata. Sekejap mengiring ke kanan. Sekejap pusing ke kiri. Kelopak mata tetap segar. Bosan benar aku dengan keadaan begitu. Sepatutnya sudah lama terlena. Kalau di rumah sendiri, jam sepuluh sudah dibuai mimpi.
Bilik sederhana besar itu memuatkan sebuah katil bujang dengan almari kayu. Tiada perhiasan lain. Tingkapnya pula tidak berlangsir. Aku dapat melihat bayang-bayang pokok terbuai-buai yang terbias daripada tingkap kaca itu. Bilik itu terlalu sederhana tetapi bersih.
Tepat jam sembilan tadi aku tiba, Tuan Khairil menyambut aku dengan muka berseri-seri. Dia mengajak aku makan. Kebetulannya aku masih belum makan, tidak menolak ajakannya itu. Sepanjang masa makan, Tuan Khairil banyak bercerita tentang dirinya. Melalui cerita-ceritanya itu dapatlah aku ketahui banyak perkara.
Dia anak tunggal. Selepas tamat STPM dia berangkat ke United Kingdom.

Hampir empat tahun menuntut di salah sebuah universiti di sana. Dia mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan. Ingin menjadi usahawan katanya.
Tuan Khairil menghulurkan album gambarnya semasa di UK. Tapi aku hairan, dalam kebanyakan gambarnya, dia banyak bergambar dengan seorang lelaki. Lagak mereka cukup mesra.


“Siapa ni?” tanyaku.
“Mana?”
“Ni… yang bergambar dengan abang ni?”
“Itu David, kawan baik abang masa di universiti dulu.”
“Tapi mengapa mesti bergambar macam tu?” tanyaku hairan melihat banyak sekali gambar berpelukan Tuan Khairil dan David dalam keadaan begitu intim.
“Di sana sejuk…” jawab Tuan Khairil pendek.
Aku tidak berhasrat bertanya lagi. Cukuplah sekadar mengetahui namanya. Memang David lelaki tampan. Lelaki Inggeris yang bergaya. Segak dan sasa. Sesuai sekali dengan Tuan Khairil yang tinggi lampai.
“Kalau adik mahu tidur, masuklah bilik dulu?” suruh Tuan Khairil seraya menundingkan jarinya ke sebuah bilik berdekatan ruang tamu.
Memangpun aku berhasrat ingin segera ke bilik. Berdekatan dengan Tuan Khairil, membuatkan aku kurang selesa. Dia terlalu rapat. Sewaktu berbual, sering memegang badanku. Ada saja kelucuan, dia akan menampar lembut bahuku. Tuan Khairil begitu mesra seolahnya sudah lama mengenaliku.


Dalam mengelamun itu, aku teringatkan pesan ibu agar jangan lewat bangun. Aku harus bangun awal untuk menyiapkan sarapan pagi. Ketika aku menyuarakan permintaan Tuan Khairil mengajak bermalam, ibu tidak membantah.
“Pergilah Bahrin. Kasihan Tuan Khairil tu tinggal sorang,” izin ibu. Ayah juga tidak melarang. Mereka tahu aku ke sana selain memasak dan mengemas, aku belajar subjek yang aku kurang faham dengan Tuan Khairil. Atas alasan pelajaran itulah, aku mudah untuk bermalam di rumah Tuan Khairil.
Ahh, cepatlah lena. Aku perlu bangun awal. Bimbang terlewat nanti. Susahlah aku. Apa yang dapat dimasak kalau sudah tergopoh-gopoh. Desis aku dalam hati.
Tuan Khairil tidur di biliknya. Bersebelahan dengan bilikku. Tentunya dia sudah lena. Lampu biliknya sudah dimatikan. Cuma aku yang masih terkebil-kebil dalam kegelapan malam.
Sejurus kemudian kedengaran ketukan di pintu bilik. Dadaku berdebar-deba. Siapa pula yang mengetuknya. Aku mula membayangkan sesuatu yang bukan-bukan. Mungkinkah rumah itu berhantu? Melalui cerita kawan-kawan, sebelum Tuan Khairil pindah, rumah itu ada misteri tersendiri. tuan rumah terdahulu mati menggantung diri!
Berdiri bulu romaku mengingatkan cerita itu. Bagaimana kalau hantu itu datang mengganggu? Aku terasa menggeletar. Ku tarik selimut hingga ke kepala.
Daun pintu terkuak. Ensel berlaga. Bunyinya nyaring sekali. Serentak dengan itu derap langkah kedengaran. Setiba di kaki katil, langkah itu terhenti. Jantungku bagaikan luruh. Aku menahan nafas. Aku pasrah.
Seandainya memang ditakdirkan tewas di tangan ‘hantu’, aku rela. Pun begitu tidak henti henti bibir membaca ayat suci. Biar hantu lari.


“Adik belum tidur ke?” suara lembut berbisik singgah di cupingku. Aku tidak menjawab walaupun aku tahu suara itu mirip suara Tuan Khairil. Tetapi dia sudah lama lena. Bagaimana pula dia boleh bangun di tengah malam begini. Barangkali hantu itu menyamar?
“Boleh abang tidur di sebelah adik?” suara itu terus bertanya dan separuh merayu.


Tiba-tiba aku merasakan sebatang tubuh menindih aku. Aku kematian akal. Perlukah aku menjerit atau menendang tubuh itu?
Dalam berkira-kira itu selimutku ditarik rakus. Degupan jantungku bagaikan terhenti. Oh Tuhan, apa semua ini? Hantukah atau Tuan Khairil yang menggigau?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *