LELAKI DI SEBALIK PELANGI

SEKILAS RASA
 
PADA asalnya Lelaki Di Sebalik Pelangi adalah cerita pengakuan sebenar seorang lelaki yang terlibat dengan dunia yang tidak normal. Saya menemubual Brian dan berkongsi pengalamanya serta mengolah untuk bacaan umum setiap minggu di sebuah majalah mingguan tempat saya bekerja. Waktu itu tajuk siri pengakuan itu berjudul Jejak-Jejak Pondan.
 
Membaca tajuk awalnya, kita sendiri tahu bagaimana cerita pengakuan tersebut.  Sebagai wartawan, saya akui pengakuan Brian waktu itu sesuatu yang kontroversi dan akan menarik perhatian pembaca untuk terus mengikuti perjalanan hidupnya itu.
 
Pengakuan itu sebenarnya lebih panas daripada apa yang saya tulis. Saya sedaya upaya mengolah cerita tersebut agar dapat diterima pembaca tanpa menghilangkan kisah sebenar cerita tersebut.
 
Ramai yang meminta saya menyambung cerita pengakuan itu setelah saya menggantungnya pada episod terakhir selepas beberapa bulan disiarkan secara mingguan. Pembaca ingin tahu apa kesudahan berlaku pada Brian dan mereka yang terbabit.
 
Sebenarnya lama saya menyimpan manuskrip ini dan disunting banyak kali. Keinginan untuk menerbitkan secara fizikal memang ada, Namun saya merasakan masanya akan tiba juga. 
Sepanjang menyiapkan naskhah ini pada 2022, kita dihadapkan dengan pelbagai cerita kehidupan terutama agenda LGBT yang dibawakan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Justeru, saya rasa ia adalah waktu yang sesuai untuk kita berlapang dada dan berfikiran lebih terbuka dengan karya saya ini.
Saya tidak mengatakan apa yang dilalui Brian dan watak dalam novel ini sesuatu yang perlu dipuji dan dituruti, namun saya sedar isu sebegini bukan lagi rahsia. Apa yang saya paparkan ini hanyalah sedikit daripada kemelut dunia golongan itu. 
 
Seperti kata Brian yang meminta saya menyelitkan kata nasihat dan panduan, demikianlah saya mencuba mengolah sebaik mungkin. Saya sekadar menggunakan bakat penulisan yang kerdil ini dengan cara saya menulis. Ia tentu tidak sehebat penulis lain. Namun kerana saya suka memerhati, melihat dan berkongsi pengalaman maka lahirlah Lelaki Di Sebalik Pelangi.
 
Berinspirasi daripada kisah benar, tentu  juga saya perlu menyembunyikan identiti setiap watak  demi menjaga aib dan maruah mereka. Maka usah ditanya secara lebih siapa mereka dan apa yang telah berlaku pada mereka hari ini. Anggaplah penamat yang saya nukilkan itu menjawab segala persoalan.
 
Manusia akan diuji dan terus diuji. Kehidupan di dunia adalah sebuah perjuangan yang panjang. Kita akan dihadapkan dengan liku yang berduri dalam manis dan masam kehidupan. Namun demikianlah realiti kehidupan. Pun begitu, biarpun siapa kita, pada akhirnya kembalilah pada yang SATU. DIA MAHA PENGASIH Lagi MAHA PENGAMPUN. Ameen.
 
 
 
Salam Seikhlas Budi,
Anwar Razali
stailista-glamz.net
 
*************
 
Catatan Sepi Sekeping Hati
 
”Perjalanan hidup aku terlalu banyak pahitnya. Aku tidak pasti apakah masih ada sinar bahagia menanti di esok hari?”
 
SESUNGGUHNYA tiada siapa dalam dunia ini inginkan nasib malang. Tiada siapa juga rela mengharungi lorong berbeza arah. Andai diberi pilihan sekalipun, tentu kita akan memilih kesempurnaan dan kebahagiaan selaku santapan hidup. 
Jika ada kecelakaan maupun kepayahan, ia akan dianggap bukanlah sesuatu yang berpanjangan. Kita tetap juga berdoa dan mengharapkan pada akhirnya dilimpah bahagia.
Namun dalam berimpian hidup sempurna, sama ada kita senangi atau tidak, ada diantara kita terpaksa melalui dunia hitam. Sebuah dunia yang dilalui demi kebetulan dan tidak disangka-sangka. Barangkali juga takdir atau ujian dari-NYA. 
 
Mulanya sangkakan tiada yang memudaratkan. Tetapi setelah terlalu banyak ketelanjuran maka sesuatu yang pada mulanya biasa-biasa sahaja telah bertukar menjadi luar biasa. Dan seterusnya tidak mampu berpatah lagi. Maka hiduplah dalam duka lara dunia yang keliru. 
 
Tetapi sebagaimana syaitan dan nafsu lebih menguasai perasaan, keinsafan itu hanyalah wujud di hati. Ingin berubah tidak pernah kesampaian. Ingin melangkah pergi, kaki bagaikan tidak mahu berpaling lagi.
 
Demikianlah tentang Brian. Hidupnya penuh dengan liku yang kita tidak pernah fikirkan akan melaluinya. Tetapi itulah namanya kehidupan. Dan Brian telah menempuhnya. Biar bagaimana anggapan sesetengah daripada kita, Brian tidak pernah ambil peduli. Baginya orang boleh berkata apa sahaja. Sedangkan dia menanggung sengsara.  Dia yang melalui segalanya…
 
“Kalau fikirkan pandangan orang, sudah lama aku mati…” ujar Brian memulakan bicara. 
“Kita hidup bukan bergantung pada pandangan orang. Putih hitam, kita yang mencorakkannya,” tingkah saya berfalsafah.
“Tapi pandangan oranglah selalunya menjadikan kita hidup dalam serba salah. Serba tak kena. Nak buat itu tak boleh, nak buat ini ada saja mata yang memandang serong.”
“Saya kurang setuju dengan pandangan Brian tu. Kita ada hak memberi apa juga pandangan dan tidak bersetuju. Kesudahannya adalah pilihan kita sendiri.
 
Macam saya cakap tadi, hitam putih warna kanvas hidup kita, kita yang tentukan. Memanglah kita tidak boleh lari daripada melakukan dosa, tetapi kita tetap ada ruang untuk bertaubat bukan?”
“Aku puji pandangan engkau tu, tapi dalam kes aku ni… ia tak mudah. Bak kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sakit bahu memikul, tak sama dengan sakit mata yang memandang!”
“Brian pun ada pandangan sendiri dalam soal memilih yang baik atau buruk. Jadi tak timbul kita perlu peduli sangat dengan pandangan masyarakat. Asalkan kita tahu kita siapa, bagi saya sudah memadai,” jelas saya menyakinkan Brian tentang konsep peduli masyarakat itu.
 
Meskipun hanya dua kali berbual di talian telefon dan pertemuan pagi ini yang pertama, dia ternyata seorang yang peramah. Seperti mana sikapnya yang cepat mesra, saya melihat pertemuan pertama ini akan memudahkan untuk saya mendekati siapa Brian yang sebenar. 
 
Seolahnya sudah lama kami saling mengenali. Dia lebih senang beraku engkau dengan saya. Agaknya lebih mesra atau sudah begitu sikapnya dengan sesiapapun. Terpulanglah. Biar apapun yang ingin fikirkan, saya anggap pertemuan saya dengan Brian merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
 
Kami bertemu di kediaman Brian di sebuah kawasan elit di Petaling Jaya. Teres dua tingkat lot tepi itu benar-benar mencerminkan keperibadian Brian. Susun atur perabot begitu menepati kehendak suasana. Dia hanya bermain dengan rona putih dengan sedikit hiasan sudut yang minimal. 
Rona putih mendominasi setiap ruang. Dari ruang tamu sehinggakan kamar tidur. Segalanya putih. Jika ada rona lain sekalipun hanya jambangan mawar merah yang menghiasi sudut hiasan. 
“Aku suka putih. Sebab tu aku hiaskan serba putih. Biar nampak luas, terang dan suci,” jelas Brian seakan memahami apa yang bermain di hati saya. 
Saya angguk dan mata terus liar meneliti setiap penjuru kediaman. Tidak sekadar nampak bersih dan luas, harum mawar juga jelas memenuhi ruang suasana. 
 
“Dulu aku gemar warna yang terang-terang. Merah, hijau, kuning dan hitam. Setiap sudut aku buat seperti sebuah studio. Memang nampak cantik dan stylo. Tapi ia cepat bosan. Untuk kediaman yang kita ingin berehat setelah penat bekerja, suasananya perlu damai dan tenang. Warna pastel lebih sesuai. Sebab tu aku memilih putih saja,” cerita Brian tentang perubahan dekorasi kediamannya itu.
 
Dapat saya bayangkan betapa meriahnya kalau bermain dengan warna terang sebegitu. Kalau kena gayanya memang memukau. Apatah lagi jika mendapat sentuhan hebat daripada perunding hiasan seperti Brian. Warna yang tidak serasi bersama pun akan tampak sepadan. Menjadi harmoni dengan aksesori yang bersesuaian. 
Brian mengajak saya duduk di ruang tamu. Dari sudut itu, saya dapat melihat sendiri hiasan kediaman ini secara total. Tanpa sedar saya memuji kepakaran menghias. Brian menerima pujian itu dengan senyum lebar. Barangkali pujian saya itu bukan pujian pertamanya. Sesuai dengan kerjayanya selaku perunding hiasan dalaman. Siapa pun yang singgah ke kediaman Brian tentu akan bercakap perkara  sama. Kagum, teruja dan menenangkan. 
 
Sebenarnya, perkenalan saya dengan Brian bermula apabila saya menerima sepucuk surat bersampul biru. Mulanya saya sangka surat tersebut merupakan puluhan surat yang datang daripada pembaca ke meja editorial. Iyalah kan, selaku satu-satunya majalah yang memperjuangkan nasib malang wanita, kami sering menerima pelbagai surat untuk berkongsi komen dan pengalaman. 
 
Nyatanya, hampir keseluruhan surat yang diterima datangnya daripada kaum wanita sendiri. Lelaki adalah juga tetapi tidaklah terlalu ramai.
Namun apabila mendapati surat tersebut diletakkan di meja saya, barulah saya menyedari sememangnya dikhususkan untuk saya membacanya.
Setelah membacanya, saya dapati ia amat istimewa dan terselit suatu cerita yang perlu dibongkarkan. Akhirnya setelah menghubungi, barulah saya mendapat cerita sebenar.
 
Kami membuat temujanji. Pada pagi minggu yang gerimis, saya berada di ruang tamu Brian dengan hidangan nasi lemak dan nescafe panas. Amat menyelerakan terutamanya dalam kedinginan suasana. 
“Kalau diberi pilihan pun, aku tetap ingin hidup seperti orang lain. Berkahwin dan mempunyai anak. Tapi harapan itu sebetulnya tidak mungkin tertunai sampai bila bila agaknya…” tambah Brian lagi.
“Itu cakap-cakap orang yang sudah berputus asa. ALLAH tidak suka dengan sikap macam tu,” bantah saya memujuk.
“Nak kata berputus asa tu, agaknya dah lama aku putus asa. Apa yang tinggal sekarang hanyalah sedikit keinginan untuk meneruskan sisa hidup. Esok lusa dijemput ALLAH, aku reda!”
“Brian seperti menyedari masa untuk menghadapi ALLAH sudah semakin tiba ke?” cungkil saya seraya meneguk nescafe.
“Semua orang akan mati bukan? Termasuk aku jugak. Yang membezakan hanyalah mungkin masa aku sudah hampir kerana perbuatan aku selama ini,” jelas Brian merenung luar jendela. 
 
Pagi itu dia berkemeja merah jambu dengan seluar palazzo berona hitam. Rambutnya yang panjang melepasi bahu dibiarkan lepas bebas. Wajahnya mulus tanpa sebarang cela. Pun begitu saya merasakan Brian tetap bergaya dan begitu terserlah penampilannya.
“Ada orang yang sakit teruk pun tidak semestinya dia pergi awal. Kita yang sihat ni pun belum pasti sihat selamanya,” saya terus memberi pesan dan ingatan agar Brian tidak terlalu prejudis dengan kehidupan yang dilaluinya.
“Aku harap aku mampu berfikir seperti apa yang kau katakan itu, “ balas Brian tersenyum nipis. Wajahnya  sedikit resah dan sedih.
“Insya Allah  Brian mampu!” 
“Entahlah, perjalanan hidup aku terlalu banyak pahitnya. Aku tidak pasti apakah masih ada sinar bahagia menanti di esok hari?”
“Sebab itu saya amat berterima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman yang menarik ini. Sekurangnya mereka yang tak faham dengan kehidupan yang Brian lalui, akan cuba belajar memahami. Kalau tak faham pun mereka akan dapat info bagaimana untuk menerima kehdupan yang tidak semua orang mampu untuk tempuhi,” jelas saya berterima kasih.
“Aku ingin berkongsi kisah ini demi mengabadikan segala momen. Bukan suruh orang meniru kisah aku, tetapi aku sekadar berkongsi cerita. Mana yang baik tu jadikan teladan. Yang buruk tu buang jauh-jauh.”
 
Saya balas kata-kata Brian itu dengan senyum penuh erti. Itulah tujuan saya datang menemubualnya. Berkongsi segala kisah hidupnya. Kisah yang ada di sekeliling kita. Bukan rahsia lagi. Cuma yang menjadi keberanian adalah kesanggupan seseorang itu untuk membongkar cerita silam mereka. Ia bukan mudah. Kesanggupan Brian amat saya puji. 
“Kau rasa dosa orang macam aku ni, akan diampun ALLAH. Aku masih ada ruang untuk ke syurga bersama junjungan mulia kita?” tanya Brian merenung saya dengan pandangan penuh makna.
Saya tidak menjawab pertanyaan Brian itu. Kami tenggelam dalam perasaan masing-masing. Di luar hujan masih belum berhenti. Di dalam hati Brian  seolah dibadai ribut yang begitu meresahkan. 
 
Makanya pagi itu, kedinginan terus mengiringi setiap inci perbualan kami.
Seperti mana gerimis yang membawa dingin, begitu jugalah ceritanya. Siapa menduga di sebalik senyum tawa, kehidupan ‘lelaki’  yang berusia 42 tahun itu, terselit sejuta memori luka yang tidak terjangkal dek akal. Hakikatnya itulah kisah Brian yang saya dekati dalam gerimis pagi itu. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Ut elit tellus, luctus nec ullamcorper mattis, pulvinar dapibus leo.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *